Siri Honor 200 telah dilancar di China akhir bulan lepas. Kini Honor Malaysia mengesahkan bahawa ia akan dilancar di sini tidak lama lagi. Malah, ia akan menjadi siri pertama model bernombor Honor akan datang dalam versi Pro. Sebelum ini, siri bernombor Honor tidak pernah datang dalam versi Pro ke Malaysia.
Tarikh pelancaran siri Honor 200 masih belum ditetapkan, tetapi Honor Malaysia telah membuat sesi pandu uji. Boleh dikatakan, tiada lagi rahsia mengenai spesifikasi dan rupa siri Honor 200, namun spesifikasi akhirnya masih belum dapat disahkan.
Bagaimanapun, Honor telah berkongsi beberapa spesifikasi utama untuk Honor 200 Pro dan ia kelihatan sangat menarik. Ini kerana ia akan dikuasakan cip kelas flagship, Snapdragon 8s Gen 3. Walaupun prestasi cip ini di bawah Snapdragon 8 Gen 2, ia masih cip yang sangat berkuasa.
Untuk tenaga, Honor 200 Pro akan menggunakan bateri karbon silikon berkapasiti 5,200mAh. Ia adalah jenis bateri yang sama digunakan pada telefon Honor Magic 6 Pro. Bateri ini menawarkan jangka hayat yang lebih lama dengan prestasi yang diyakini, berbanding bateri biasa.
Di samping itu, Honor 200 Pro turut menyokong pengecasan berwayar super pantas, Honor SuperCharge 100W. Bateri boleh diisi dari 0 ke 100% dalam masa 41 minit sahaja. Selain itu, pengecasan tanpa wayar turut diterima menerusi sokongan Honor SuperCharge Wireless 66W.
Di aspek kamera pula, ia dilengkapi kamera utama 50MP yang menggunakan sensor H9000 1/1.3-inci bersama OIS dan EIS, sensor yang sama terdapat di telefon Honor Magic 6 Pro. Ia juga dipasang dengan kamera telefoto 50MP dengan sensor Sony IMX856, pertama digunakan di telefon pintar. Terdapat juga kamera hadapan 50MP yang terletak di dalam lubang di dahi skrin.
Honor 200 Pro juga memiliki cipset Honor C1 + RF untuk sambungan rangkaian yang optimum, walaupun dalam liputan rendah selain meningkatkan prestasi rangkaian 5G. Sistem operasi MagicOS 8.0 dilengkapi kuasa AI, akan digunakan buat pertama kali di telefon pintar Honor.
Memang nampak hebat perkakas yang digunakan oleh Honor 200 Pro. Tetapi ia pasti akan memberi kesan kepada harganya. Kita akan melihat ia berharga di atas RM2,000 dan tidak mustahil, harganya melebihi RM3,000. Bersaing dengan peranti seperti Xiaomi 14.
Bacaan Berkaitan
- Honor Band 9 diperkenal, ada skrin AMOLED lebih besar pada harga sama RM199
- Honor MagicBook X 16 dikemas kini dengan Intel Core i5-12450H pada harga RM2,999
- Honor Pad 9 5G kini rasmi, diperkasa Snapdragon 6 Gen 1 dengan 8 speaker pada harga RM1,799
- Magic 6 Pro boleh didapatkan pengguna Malaysia pada tanda harga RM4,499