Proton telah mendedahkan bahawa e.MAS7 (eMas 7) adalah model pertama jenama itu yang akan temui pengguna Malaysia dalam tahun 2024. Berdasarkan teaser hinggalah kenderaan yang berbalut pelekat penyamaran, memang tidak syak lagi bahawa eMas 7 adalah “kembar” Geely Galaxy E5.
Maka, laungan rebadge pun kedengaran dalam dunia maya tentang eMas 7 adalah versi rebadge kepada Galaxy E5. Namun, tahukah anda ia bukanlah seperti yang anda fikirkan.
Benarkah Proton eMas 7 versi rebadge Galaxy E5?
Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah sewaktu sesi media eksklusif eMas 7 ada memberitahu EV Proton pertama ini dibangunkan bersama-sama dengan Geely.
Proton. mereka menghantar 230 jurutera ke China untuk sama-sama membangunkan eMas 7. Berdasarkan gambar yang dikongsikan, kelihatan kumpulan jurutera tersebut berangkat ke China dalam bulan Disember 2022.
Ia agak menarik kerana dalam bulan September tahun yang sama, Proton tubuhkan Pro-Net, subsidiari yang akan kendalikan jualan kereta elektrik Proton. Kemudian, tak lama selepas itu, dalam bulan Februari 2023 pula, Geely melancarkan siri EV baharu mereka iaitu Geely Galaxy dengan salah satu ahli dalam siri itu adalah Geely Galaxy E5.
Hal ini bermakna, sebelum siri Galaxy dilancarkan lagi Proton sudah mula membangunkan Galaxy E5 bersama-sama Geely. Dilaporkan bahawa, versi RHD (right hand drive) dan LHD (left hand drive) kereta ini dibangunkan serentak iaitu untuk pasaran domestik serta pasaran eksport China.
Walaupun tidak diceritakan secara khusus, Proton terlibat dalam bahagian seperti strategi produk, kejuruteraan, rekaan, QC, serta pembangunan ekosistem tempatan. Misalnya, pemandu eMas 7 kelak boleh menggunakan sistem inforia untuk cari tempat mengecas dalam rangkaian pnegecas rakan niaga Pro-Net.
Jadi, boleh disimpulkan, penglibatan Proton dalam pembangunan EV bukanlah sekadar semudah rebadge.
Spesifikasi Proton eMas 7
Tidak banyak maklumat yang Proton kongsikan tentang eMas 7 sewaktu pengumuman nama varian itu. Yang mereka beritahu adalah ini model pertama yang dihasilkan di atas platform Global Modular Architecture (GMA). Model ini mendukung kod nama GMA 01 dan perkara ini penting.
Hal ini kerana, dalam masa terdekat, akan ada GMA 02 dan GMA 03 untuk fasa pertama penghasilan model berasaskan GMA. Sama ada dua model seterusnya ini turut merupakan EV tidak pula diketahui kerana GMA boleh beradaptasi dengan enjin petrol.
Kita juga dimaklumkan bahawa Proton eMas 7 terletak dalam SUV segmen-C. Dua dimensi yang Proton berikan adalah panjang 4,615mm dan jarak gandar 2,750mm iaitu angka yang sama dengan Galaxy E5.
Sebagai perbandingan, berikut adalah panjang dan jarak gandar untuk beberapa EV elektrik yang ada di Malaysia:
- BYD Atto 3
- Panjang 4,455mm
- Jarak gandar 2,720mm
- Chery Omoda E5
- Panjang 4,420mm
- Jarak gandar 2,630mm
- MG ZS EV
- Panjang 4,323mm
- Jarak gandar 2,585mm
- Neta X
- Panjang 4,619mm
- Jarak gandar 2,770mm
- Volvo XC40 Recharge
- Panjang 4,400mm
- Jarak gandar 2,702mm
Seterusnya adalah eMas 7 mempunyai sistem pacuan elektrik 12 dalam 1 dengan berat keseluruhan sistem pada 82.5kg. Dengan maklumat output kuasa 1.94kW/kg yang mampu dikeluarkan sistem motor eMas 7, pengiraan ke belakang membuahkan angka 160kW sebagai output motor eMas 7.
Perkara ini agak menarik kerana untuk Galaxy E5, dikatakan yang sistem pacuan elektriknya mempunyai 11 komponen dalam 1. Dari manakah komponen ke-12 hadir pada sistem pacuan elektrik eMas 7, tidaklah dikongsikan Proton.
Di bahagian bateri, eMas 7 akan mengguna pakai teknologi Aegis Short Blade Battery generasi baharu yang diintegrasikan kepada badannya secara Cell-to-Body (CTB).
Sewaktu teknologi bateri ini diumumkan, Geely telah mengujinya dalam keadaan paling ekstrim. Bateri Aegis Short Blade lepasi:
- Dedahan kepada api bersuhu 1,000° C
- Rendaman dalam air masin selama 48 jam
- Dihentak berulang kali
- Ujian suhu dibawah -35° pada ketinggian 5,000m
- Ditebuk dan ditembak tanpa fenomena Thermal Runaway
Kepingan maklumat terkahir yang dikongsikan Proton adalah eMas 7 akan dilengkapi sistem inforia berasaskan Flyme Auto. Sistem itu ada panel paparan 2.5K beresolusi tinggi bersama-sama maklumat peta pengeacs EV yang dimasukkan oleh Proton sendiri.
Flyme Auto adalah sistem operasi untuk automotif yang dibangunkan oleh Meizu. Benar, ia dibangunkan oleh pengeluar telefon pintar apabila fokus mereka berubah selepas Geely mengambil alih Meizu dalam bulan Disember 2023 dulu.
Harga Proton eMas 7 bawah RM100,000?
Buat masa ini, kita masih belum ada sebarang EV berharga bawah RM100,000. Ia disebabkan syarat-syarat yang diletakkan MITI sehingga 31 Disember 2025 yang mengatakan harga jualan atas kenderaan hendaklah tidak kurang daripada RM100,000.
Kembarnya di China, Geely Galaxy E5, ditawarkan dalam pasaran China dalam 5 varian. Kesemua varian ini menggunakan konfigurasi motor yang sama. Dua varian paling rendah dilengkapi bateri berkapasiti 49.52kWh. Berikut adalah senarai harga Galaxy E5 di China:
- RMB112,800 (~RM70,087)
- RMB122,800 (~RM76,300)
- RMB128,800 (~RM80,028)
- RMB138,800 (~RM86,242)
- RMB148,800 (~RM92,445)
Kereta elektrik paling mampu milik boleh anda dapatkan di Malaysia sekrang adalah Neta V dengan tanda harga pelancaran RM99,800 sedangkan di Thailand, harga pelancarannya adalah THB549,000 (~RM68,800). Jadi, satu-satunya untuk kita beroleh EV berharga kurang daripada itu adalah dengan EV pemasangan tempatan.
Perkara itu mungkin sedang dalam proses kerana dalam bulan Oktober 2023 lalu, Li Shufu, Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. mengumumkan komitment pelaburan RM32 billion di Automotive High-Tech Valley (AHTV) Tanjung Malim. Lokasi ini katanya akan dijadikan hab pengeluaran serantau untuk varian RHD kenderaan berjenama Geely ataupun subsidiarinya.