HMD nampaknya telah membawa masuk sebuah telefon pintar terbaru untuk pasaran Malaysia, iaitu HMD Skyline. Ia adalah telefon berkelas pertengahan dan merupakan telefon paling berkuasa di bawah jenama HMD setakat ini, serta memiliki kemudahan untuk menggantikan komponen telefon dengan mudah.
Harga HMD Skyline di Malaysia
Walaupun tiada pengumuman rasmi daripada syarikat Nokia itu, HMD Skyline telah pun disenaraikan di stor rasmi mereka di Shopee. Ia ditawarkan dalam satu varian dengan RAM 12GB dan storan 256GB pada harga RM2,399. Anda juga boleh dapatkannya dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, biru, dan merah jambu.

Meskipun begitu, kelihatan ia masih boleh belum dibeli buat masa ini. Bagaimanapun, ketibaan HMD Skyline di Malaysia bukanlah mengejutkan kerana telefon ini telah pun diacah HMD melalui laman Facebook mereka sebelum ini.
Apa yang boleh dibaiki sendiri di HMD Skyline?

Apa yang membuatkan telefon ini menarik adalah ia memilki kemudahan dibaiki sendiri, yang didakwa HMD ada ‘kebolehbaikan generasi ke-2’. Menurut HMD, sebahagian komponen telefon ini boleh digantikan dengan mudah melalui panduan menyeluruh yang disediakan oleh iFixit.

Antara bahagian yang boleh diganti dengan sendiri di HMD Skyline adalah bahagian panel belakang, bateri, papan utama, skrin dan juga speaker. iFixit turut menyatakan komponen yang diperlukan serta langkah satu persatu secara terperinci untuk memudahkan pengguna melakukan gantian komponen yang rosak. Panduan tersebut boleh diakses melalui laman web iFixit di sini.
Spesifikasi HMD Skyline

Lagi perkara menarik tentang HMD Skyline ini adalah ia menggunakan rekaan berkotak seakan telefon Nokia Lumia. Pada skrinnya, ia didatangkan dengan paparan pOLED 6.55-inci bernisbah 20:9 dengan resolusi HD Penuh dan kadar penyegaran 144Hz. Tahap kecerahan skrinnya adalah setinggi 1,000 nits dan komponen skrin dilindungi kaca Corning Gorilla 3.
Melihat di bahagian dalam, ia diperkasa cip Qualcomm Snapdragon 7s Gen 2 dengan gandingan RAM 12GB dan storan 256GB. Malahan, ia juga menyokong slot kad mikro-SD untuk peluasan storan lagi 512GB.

Untuk tenaga, telefon ini dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 4,600mAh yang boleh diganti semula, serta menyokong pengecasan pantas 33W. Pengecasan wayarles magnetik turut disokong pada paras 15W, dan ia juga boleh melakukan pengecasan wayarles terbalik 5W. Namun, HMD menyatakan kepala pengecas tak didatangkan bersama telefon.

Di belakang, sistem tiga kamera digunakan padanya menampilkan kamera utama 108MP OIS, kamera ultralebar 13MP dan kamera telefoto 50MP dengan keupayaan zum optikal 2x. Di hadapan pula, lubang di atas skrin menempatkan kamera selfie 50MP dengan autofokus.

Sistem speakernya adalah jenis stereo dengan ciri OZO audio dan telefon turut memiliki tahap kalis percikan air IP54. Selain butang kuasa yang berfungsi untuk pengimbasan cap jari, telefon ini juga ada satu lagi butang yang boleh disesuaikan fungsinya. Sistem operasi yang dijalankan Skyline adalah Android 14 dan HMD menjanjikan kemas kini OS dua kali dan keselamatan tiga tahun.



Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman spesifikasi HMD Skyline.
[Sumber: LowYat]