Xiaomi nampaknya bakal membawa masuk sebuah tablet terbaru ke pasaran Malaysia, iaitu Redmi Pad SE 8.7. Ia merupakan versi lebih kecil Redmi Pad SE 11 yang diperkenal sekitar September tahun lalu, tetapi hadir dengan sokongan rangkaian 4G. Tablet ini juga telah pun dilancarkan di India, jadi berkemungkinan Malaysia menjadi pasaran seterusnya menerimanya.
Menjelang pelancarannya di Malaysia, terdapat pengedar tempatan yang telah pun mula senaraikan Redmi Pad SE 8.7, yang turut mendedahkan harga serta spesifikasi penuh tablet ini. Berdasarkan penyenaraian itu, Redmi Pad SE 8.7 ditawarkan dalam dua varian dengan konfigurasi RAM 6GB dan storan 128GB yang sama. Varian WiFi berharga RM599, manakala varian 4G pula disenaraikan pada harga RM699.
Selain itu, tablet ini juga tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu hijau, biru dan hitam bagi kedua-dua varian. Berkenaan spesifikasi pula, kelihatan pasaran Malaysia menerima spesifikasi yang sama seperti di India.
Spesifikasi Redmi Pad SE 8.7
Redmi Pad SE 8.7 menggunakan paparan LCD 8.7-inci dengan resolusi 800×1340 dalam nisbah 5:3. Skrinnya turut sokong kadar penyegaran 90Hz dan ada kecerahan puncak 600 nits. Atas papan utama, tablet ini diperkasa cip MediaTek Helio G85 12nm yang dipadankan dengan RAM 6GB dan storan 128GB. Storan turut boleh diperluas menggunakan kad Mikro-SD.
Sistem pengimejannya tidak berubah berbanding Redmi Pad SE 11 sebelum ini. Redmi Pad SE 8.7 didatangkan kamera belakang 8MP dan kamera depan 5MP. Bateri yang dilengkapkan pula berkapasiti 6,650mAh dan ia menyokong pengecasan 10W melalui USB-C.
Sistem bunyi pula dikeluarkan dari dua unit speaker dan sejurus keluar kotak, tablet akan menjalankan MIUI Pad 14 berasaskan Android 14.
Beza Redmi Pad SE 11 dan Redmi Pad SE 8.7
Bagaimanapun, selain tambahan sokongan 4G, dilihat Redmi Pad SE 8.7 ada spesifikasi sedikit turun taraf berbanding Redmi Pad SE 11. Ini kerana Redmi Pad 11 dikuasakan cip Snapdragon 680 6nm dan ada RAM lebih besar 8GB dan storan seluas 256GB. Kapasiti bateri juga lebih besar pada 8,000mAh dan ia memiliki empat unit speaker berbanding dua speaker di Redmi Pad SE 8.7.
Redmi Pad SE 8.7 telah disenaraikan di SIRIM
Sementara masih tiada maklumat bila Redmi Pad SE 8.7 akan dilancar di Malaysia, tablet itu telah pun menerima pengesahan SIRIM dengan ia didaftarkan pada 12 Julai 2024. Ini lantas menandakan pelancarannya mungkin akan diadakan tidak lama lagi. Sekiranya diperkenal kelak, Redmi Pad SE 8.7 akan menjadi tablet 4G LTE termurah dengan storan besar 128GB di pasaran.
Setakat saya cari, tablet 4G murah lain adalah Galaxy Tab A9 dengan storan 64GB berharga RM699 dan Honor Pad X8 yang sedikit tua usianya, pada harga RM699 dengan storan dalaman 64GB.
[Sumber: Lowyat.net]