Selepas melancarkan HMD Pulse dan Skyline, HMD kini telah memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar berjenama mereka tersendiri iaitu HMD Fusion. Ia merupakan telefon berkelas permulaan yang berkedudukan di antara siri Pulse dan Skyline. Kali ini, HMD memfokuskan rekaan modular dengan sarung telefon yang boleh ditukar ganti dengan pelbagai fungsi, yang dipanggil sebagai “Fusion Outfits”.
Rekaan modular dengan sarung boleh ditukar ganti
Rekaan modular ini boleh dilakukan menggunakan sambungan “pogo pin” di belakang telefon. Dengannya, HMD Fusion boleh ditambah dengan fungsi tambahan seperti pengecasan wayarles, lampu ring terbina untuk selfie serta perlindungan lebih tahan lasak menjadikan telefon kalis air IP68.

Lebih menarik, HMD turut menawarkan kebolehan untuk pengguna menghasilkan cetakan 3D rekaan sarung tersendiri menggunakan HMD Fusion Development Toolkit. Kit alat itu menyediakan garis bentuk dan dimensi telefon, antara muka pin yang digunakan serta maklumat berkenaan pembangunan perisian dan pengaturcaraan untuk membolehkan ia berfungsi.

Kaedah modular menggunakan pin HMD ini bukanlah kali pertama yang pernah diperkenalkan. Ia pernah dihasilkan oleh Motorola dengan telefon Moto Z sekitar tahun 2016, namun gagal dan tidak mendapat sambutan. Agak menarik untuk saksikan sama ada HMD akan berjaya dengan rekaan telefon modular HDM Fusion ini.
Kebolehbaikan generasi ke-2
Daripada segi rekaan telefon, HMD Fusion ini menampilkan panel belakang separa lut sinar yang menampakkan skru dan komponen bateri, selain pin sambungan di bawah.

Seperti telefon HMD Sklyine, HMD Fusion terbaru ini turut ada ‘kebolehbaikan generasi ke-2’ untuk kemudahan membaiki komponen seperti bateri, skrin, panel belakang dan port pengecas menggunakan panduan iFixit.
Spesifikasi HMD Fusion

Berkenaan spesifikasi, HMD Fusion merupakan telefon berkelas permulaan dikuasakan cip Snapdragon 4 Gen 2 yang menyokong rangkaian 5G. Cip itu dipadankan dengan RAM 6GB dan storan 128GB. Ia juga masih mengekalkan slot kad mikro-SD untuk membolebkan storan diperluas lagi 1TB.

Panel paparan yang digunakan pada HMD Fusion adalah LCD berukuran 6.56-inci dengan resolusi hanya HD 270p. Skrin itu juga menyokong kadar penyegaran 90Hz dan kecerahan puncak 600 nits. Di atas skrin, terdapat kamera hadapan 50MP dan di belakang pula ia menggunakan dua kamera iaitu kamera utama 108MP dan kamera depth 2MP.

Tenaga telefon disalurkan oleh bateri berkapasiti 5,000mAh dengan HMD dakwa telefon ada jangka hayat sehingga 65 jam. Untuk mengecas, ia menyokong pengecasan 33W USB-C tetapi HMD memaklumkan blok pengecas tidak disertakan dalam kotak.
Untuk perisian, HMD Fusion didatangkan dengan Android 14 dan HMD menjanjikan kemas kini OS 2 kali dan keselamatan selama 3 tahun. Selain itu, ciri lain yang ada pada HMD Fusion ini termasuk Bluetooth 5.1, NFC, 5G, pengimbas cap jari di butang kuasa dan diiktiraf kalis percikan IP54.
Harga dan ketersediaan HMD Fusion
Disebabkan HMD Fusion telefon berkelas permulaan, harganya jauh lebih murah berbanding HMD Skyline yang dilancar awal Ogos lalu. HMD Fusion dilancarkan di peringkat antarabangsa pada harga EUR 249 (~RM1,199) dan akan tiba di pasaran Eropah pada mulanya dan kemudian pasaran Amerika Syarikat, menurut laporan GSMArena.
Tiada maklumat berkenaan pelancaran HMD Fusion di Malaysia, tetapi berkemungkinan ia juga akan tiba di pasaran tempatan pada masa hadapan memandangkan dua telefon HMD lain, siri Pulse dan Skyline dijual secara rasmi di Malaysia.
Sebarang maklumat lanjut anda boleh dapatkan di laman produk HMD Fusion.