Siri iPhone 16 sudah dilancarkan Apple. Dua model dalam siri ini, iPhone 16 dan iPhone 16 Pro telah pun boleh mula dipra-tempah bermula 13 September dan akan mula dijual secara rasmi di Malaysia tidak lama lagi, pada 20 September 2024.
Ini merupakan kali pertama iPhone terbaru tersedia di Malaysia seawal ini, dan ianya mungkin disebabkan kewujudan Apple Store sulung di Malaysia bertempat di Tun Razak Exchange TRX. Untuk pengetahuan anda, iPhone 15 sebelum ini tersedia dipra-tempah di Malaysia seminggu selepas pengumumannya, dan hanya mula dijual seminggu selepas itu.
Dengan adanya Apple Store pertama di Malaysia, ia pasti lebih memudahkan pengguna untuk lakukan trade-in peranti lama di stor fizikal Apple bagi mendapatkan kredit untuk membolehkan iPhone 16 dibeli pada harga lebih murah.
Senarai harga trade-in iPhone di Apple Store
Berdasarkan laman trade-in Apple Malaysia, Apple menawarkan kredit antara RM200 hingga RM4,750 bergantung pada model dan keadaan iPhone jika anda tukar beli iPhone lama anda untuk membeli iPhone yang baharu. iPhone paling lama yang masih layak untuk ditukar beli adalah iPhone 7 Plus yang dilancarkan pada tahun 2016.
Namun, Apple tidak menyatakan secara spesifik harga yang ditawarkan untuk setiap jenis storan sesuatu model, sebaliknya menyatakan anggaran harga tukar beli setiap model iPhone. Berikut adalah anggaran harganya untuk setiap model:
- iPhone 15 Pro Max – sehingga RM4,750
- iPhone 15 Pro – sehingga RM4,150
- iPhone 15 Plus – sehingga RM3,500
- iPhone 15 – sehingga RM2,950
- iPhone 14 Pro Max – sehingga RM3,450
- iPhone 14 Pro – sehingga RM 3,050
- iPhone 14 Plus – sehingga RM 2,300
- iPhone 14 – sehingga RM2,150
- iPhone SE (generasi ke-3) – sehingga RM800
- iPhone 13 Pro Max – sehingga RM2,600
- iPhone 13 Pro – sehingga RM2,100
- iPhone 13 – sehingga RM1,700
- iPhone 13 mini – sehingga RM1,300
- iPhone 12 Pro Max – sehingga RM1,700
- iPhone 12 Pro – sehingga RM1,500
- iPhone 12 – sehingga RM1,150
- iPhone 12 mini – sehingga RM850
- iPhone SE (generasi ke-2) – sehingga RM350
- iPhone 11 Pro Max – sehingga RM1,150
- iPhone 11 Pro – sehingga RM1,000
- iPhone 11 – sehingga RM750
- iPhone XS Max – sehingga RM800
- iPhone XS – sehingga RM550
- iPhone XR – sehingga RM550
- iPhone X – sehingga RM400
- iPhone 8 Plus – sehingga RM350
- iPhone 8 – sehingga RM250
- iPhone 7 Plus – sehingga RM250
Dua cara mudah trade-in iPhone di Apple Store
Terdapat dua cara untuk anda lakukan trade-in di Apple Store Malaysia. Satu adalah secara dalam talian dan satu lagi adalah secara fizikal melalui Apple Store TRX.
3 langkah trade-in iPhone secara dalam talian di Apple Store H3
Untuk trade-in secara dalam talian, terdapat tiga langkah yang anda perlu ikuti.
Pertama sekali, semasa membeli iPhone, anda boleh pilih pilihan trade-in sewaktu mengkonfigurasi iPhone. Kemudian anda perlu berikan beberapa maklumat, antaranya alamat untuk Apple menghantar kit pembungkusan, model dan storan iPhone lama bersama-sama dengan nombor siri. Harga iPhone lama akan ditetapkan berdasarkan model dan kapasiti storan.
Langkah yang kedua, anda perlu sediakan iPhone lama anda untuk trade-in. Untuk lakukannya, anda akan terima e-mel pengesahan darpada Apple dan e-mel itu juga mengandungi segala panduan untuk anda mempersiap dan membungkus iPhone lama anda menggunakan kit yang diberikan Apple, supaya peranti lama anda boleh dihantar ke Apple.
Berikut adalah cara-cara untuk sediakan iPhone sebelum trade-in.
- Backup dan padamkan segala maklumat di telefon anda
- Keluarkan kad SIM jika anda gunakan kad sim fizikal, atau hentikan perkhidmatan eSIM dengan menghubungi telco yang anda guna
- Masukkan iPhone lama ke dalam kit penghantaran yang disediakan Apple
- Lipat kotak dengan kemas mengikut langkah yang ditetapkan
- Hantar iPhone anda ke Apple.
Keseluruhan proses trade-in dalam talian akan mengambil masa 2 hingga 3 minggu untuk selesai selepas anda menghantar peranti kepada Apple. Apple juga memerlukan masa 3-5 hari untuk menilai keadaan peranti anda. Pembayaran dengan nilai kredit peranti lama yang ditebus hanya akan ditolak sesudah Apple mengesahkan keadaan peranti tersebut.
Perlu untuk dinyatakan bahawa peranti ditukar beli juga hendaklah dihantar dalam masa 14 hari selepas anda menerima pesanan iPhone baharu anda.
Selain itu, anda tak semestinya perlu memulangkan aksesori lain seperti kabel dan kepala pengecas untuk mendapatkan kredit maksimum bagi tukar beli. Apple akan mengitar semula aksesori tersebut dan nilai tukar beli tidak akan terkesan jika anda tak menyertakan aksesori dengan peranti. Kalau anda membatalkan trade-in tapi telah menghantar peranti bersama-sama aksesori, aksesori tersebut tidak akan dipulangkan.
Bawa iPhone ke Apple Store untuk trade-in
Jika anda memilih untuk trade-in secara fizikal di Apple Store, caranya lebih mudah dan cepat sebab anda tak perlu bungkuskan peranti lama, serta staf Apple boleh periksa dan menilai iPhone anda serta-merta. Walaupun staf Apple boleh tunjukkan cara untuk backup iPhone lama anda, Apple mencadangkan yang proses backup dilakukan sebelum anda tiba di Apple Store untuk lebih jimat masa. Anda boleh rujuk laman sokongan Apple untuk ketahui langkahnya.
Katalah anda masih belum mahu membeli sesuatu lagi, anda boleh trade-in peranti lama dan mendapat kredit dalam bentuk Apple Store Gift Card. Anda boleh gunakan Apple Store Gift Card tersebut pada bila-bila masa untuk pembelian barangan Apple pada masa hadapan. Anda juga boleh mendapatkan anggaran nilai iPhone lama anda dalam talian, kemudiannya memilih untuk tukar beli iPhone lama anda di stor fizikal Apple.
Nilai iPhone anda akan ditetapkan berdasarkan model dan keadaannya. Seperti trade-in dalam talian, anda juga tak perlu pulangkan semula kotak, kabel dan kepala pengecas untuk mendapatkan kredit maksimum kerana aksesori tak memberikan impak pada nilai trade-in.
Layari laman rasmi program trade-in Apple untuk maklumat lanjut.