Vivo telah melancarkan secara rasmi siri Vivo X200 di China, barisan telefon pintar flagship terbaharu bagi menggantikan siri Vivo X100 yang mereka lancar awal tahun ini. Tidak seperti generasi sebelumnya, siri Vivo X200 kini merangkumi lebih banyak model, terdiri daripada Vivo X200, Vivo X200 Pro dan Vivo X200 Pro Mini.
Untuk siri terbaharu ini, Vivo masih bekerjasama dengan ZEISS bagi sistem pengimejannya dan menariknya, tiga telefon dalam siri ini adalah telefon pintar pertama yang menggunakan cip MediaTek Dimensity 9400 dan kapasiti bateri besar.
Spesifikasi Vivo X200 Pro dan Pro mini
Sebagai model Pro, Vivo X200 Pro dan Vivo X200 Pro mini berkongsi banyak spesifikasi yang serupa, cuma perbezaannya terletak pada saiz dan sensor kamera telefoto periskopnya. X200 Pro didatangkan dengan skrin LTPO AMOLED bersaiz 6.78-inci dengan resolusi 1260 x 2800 dan kadar penyegaran 120Hz. Skrinnya juga menyokong kecerahan puncak pada 4,500 nits.
Sementara itu, X200 Pro mini pula ada paparan lebih kecil berukuran 6.31-inci, juga jenis LTPO AMOLED bersaiz beresolusi 1216 x 2640. Kadar penyegaran dan kecerahan puncak yang disokong adalah sama, iaitu 120Hz dan 4,500 nits.
Seperti yang dikatakan awal tadi, Vivo X200 Pro dan Pro mini ini dikuasakan cip MediaTek Dimensity 9400, yang dibangunkan menggunakan proses 3nm TSMC dan ada teras utama Cortex-X925 berkelajuan 3.62GHz. Cip itu dipadankan dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan dalaman UFS 4.0 seluas 1TB. Selain itu, Vivo turut memuatkan cip pengimejan V3+ pada kedua-dua model ini.
Bercakap mengenai kamera, X200 Pro dipacu tiga buah kamera di belakang. Ia adalah kamera utama 50MP OIS menggunakan sensor 1/1.28-inci, kamera ultralebar 50MP dengan autofokus dan kamera telefoto APO 200MP OIS yang berkemampuan zum optikal sehingga 3.7x. Kamera selfie 32MP digunakan pada kedua-dua X200 Pro dan Pro mini.
X200 Pro mini turut ada kamera utama dan ultralebar yang sama, tetapi kamera telefotonya ada kiraan megapiksel lebih rendah pada 50MP OIS dengan keupayaan zum optikal 3x. Salutan ZEISS T turut digunakan pada kamera utama dan telefoto kedua-dua varian, dengan salutan ini dikatakan dapat mengurangkan pantulan dan memulihkan warna asal objek dengan tepat.
Untuk tenaga, menghidupkan varian X200 Pro adalah bateri besar berkapasiti 6,000mAh, manakala X200 Pro mini pula dihidupkan oleh bateri 5,700mAh. Namun, kelajuan pengecasan yang disokong adalah pada paras sama, 90W USB-C dan secara wayarles 30W.
Kedua-dua model Pro ini turut dilengkapi dengan sokongan ketersambungan satelit dan menggunakan sambungan seperti Bluetooth 5.4, WiFi 7 dan 5G. Tetapi, hanya model Pro sahaja yang menggunakan pengimbas cap jari ultrasonik, manakala Pro mini menggunakan jenis optikal.
Spesifikasi Vivo X200
Vivo X200 pula merupakan varian terendah dalam barisannya. Ia menggunakan panel paparan 6.67-inci beresolusi 1260 x 2800 jenis AMOLED dan tiada LTPO. Macam varian Pro, skrinnya turut sokong kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan puncak 4,500nits.
Lagi yang sama, X200 dikuasakan cip MediaTek Dimensity 9400 yang digandingkan dengan RAM LPDDR5X 16GB dan storan UFS 4.0 sehingga 1TB, di samping juga ada cip pengimejan V3+. Kapasiti bateri yang dilengkapkan di X200 adalah sebesar 5,800mAh dan ia turut menyokong pengecasan pantas 90W, tetapi tiada sokongan pengecasan wayarles seperti yang model Pro ada.
Sistem kamera X200 juga dipacu tiga buah kamera di belakang. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor 1/1.56″ lebih kecil berbanding Pro, kamera telefoto APO 50MP sama seperti Pro mini, dan juga kamera ultralebar 50MP dengan autofokus. Tangkapan selfie boleh dilakukan dengan kamera hadapan 32MP.
Namun, sementara model Pro menyokong sambungan melalui satelit, X200 sebaliknya hanya menyokong komunikasi Bluetooth dengan kebolehan menghantar mesej suara sejauh 2km dan mesej SOS sehingga 4km. Seperti Pro mini, X200 juga memiliki pengimbas cap jari jenis optikal.
Sistem operasi yang digunakan pada ketiga-tiga telefon dalam siri Vivo X200 adalah OriginOS 5 berasaskan Android 15, sejurus keluar kotak. Semua varian dalam barisan ini juga menerima tahap kekalisan air IP68/IP69.
Harga siri Vivo X200 di China
Berkenaan harga, siri Vivo X200 dilancarkan di China dalam beberapa varian dan berikut adalah harga permulaannya untuk konfigurasi RAM12GB dan storan 256GB:
- Vivo X200 Pro (RAM12GB dan storan 256GB) – bermula CNY5,299 (~RM3,209)
- Vivo X200 Pro mini (RAM12GB dan storan 256GB) – bermula CNY4,699 (~RM2,846)
- Vivo X200 (RAM 12GB dan storan 256GB) – bermula CNY4,299 (~RM2,603)
Sebagai perbandingan, ini adalah harga pelancaran siri Vivo X100 di Malaysia:
- Vivo X100 Pro (16GB + 512GB) – RM4,599
- Vivo X100 (16GB + 512GB) – RM3,499
Memandangkan siri Vivo X100 dilancarkan di Malaysia, anda boleh jangkakan siri Vivo X200 terbaru ini juga akan tiba pasaran tempatan. Untuk rujukan anda siri Vivo X100 dilancarkan di China pada November 2023 dan hanya masuk pasaran Malaysia pada awal Januari 2024.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Vivo X200, X200 Pro dan X200 Pro mini.