Seperti yang dikatakan dalam laporan sebelum ini, Realme hari ini telah rasmi melancarkan dua ahli terbaru dalam siri Realme 13, iaitu Realme 13 dan Realme 13+. Ia merupakan telefon berkelas pertengahan dan kemas kini daripada siri Realme 12 yang dilancar sekitar April lepas.
Harga dan ketersediaan siri Realme 13 di Malaysia
Kepada mereka yang berminat, Realme 13+ boleh didapatkan di Malaysia bermula 19 Oktober 2024, manakala Realme 13 pula bermula 1 November 2024. Berikut adalah harga jualan dan varian yang ditawarkan di Malaysia:
- Realme 13+ (RAM 12GB dan storan 512GB) – RM1,799
- Realme 13+ (RAM 12GB dan storan 256GB) – RM1,399
- Realme 13 (RAM 12GB dan storan 256GB) – RM1,199
Lebih menarik, Realme 13+ turut boleh dibeli pada harga lebih murah pada harga RM1,699 untuk promosi pembelian awalnya, bermula 19 Oktober hingga 18 November 2024. Pembeli dalam tempoh ini turut akan disertakan dengan fon putik Realme, waranti selama 730 hari dan jaminan penggantian skrin sekiranya rosak dalam masa 1 tahun, dengan kesemuanya bernilai RM799.
Sementara itu, promosi pembelian awal Realme 13 akan diadakan mulai 1 November hingga 30 November, dan pembelian akan didatangkan dengan waranti selama 730 hari dan jaminan penggantian skrin sekiranya rosak dalam masa 1 tahun yang bernilai RM449.
Jikalau berminat, anda boleh dapatkan Realme 13 dan Realme 13+ di stor rasmi Realme Lazada dan Shopee. Ia juga akan tersedia didapatkan melalui telco CelcomDigi, Maxis, Umobile, Redone, Yes 5G, Unifi dan pengedar sah seperti Urban Repbulic dan DirectD.
Spesifikasi Realme 13+
Realme 13+ adalah varian yang lebih premium berbanding Realme 13 biasa. Model Realme 13+ didatangkan dengan skrin OLED 6.67-inci beresolusi FHD+, serta sokong kadar penyegaran 120Hz dan kecerahan puncak setinggi 2,000 nits.
Atas papan utama, seperti yang dikatakan tadi, ia dikuasakan cip MediaTek Dimensity 7300 Energy 4nm. Cip ini digandingkan dengan RAM LPDDR4X sebesar 12GB dan storan UFS 3.1 seluas 512GB. Kapasiti RAM boleh diperluas secara maya 14GB lagi, menjumlahkan 26GB yang boleh digunakan.
Menambah baik pengalaman gaming adalah, kadar bingkai skrin Realme 13+ ini dikatakan boleh kekal pada 90fps untuk 6 game yang disokong. Ini termasuk Call of Duty: Mobile, Free Fire, Honor of Kings (HOK), Mobile Legends: Bang Bang and PlayerUnknown’s Battleground (PUBG).
Selain itu, Realme 13+ turut dilengkapi GT Mode yang menawarkan penyesuaian fungsi gaming seperti yang ada di telefon Realme GT 6. Untuk memastikan penyejukan baik, telefon ini menggunakan Stainles Steel Vapor Chamber sebesar 6050mm2 yang mampu menurunkan suhu sebanyak 19 darjah.
Di belakang, sistem pengimejannya menggunakan tetapan dua kamera, iaitu kamera utama 50MP OIS menggunakan sensor Sony LYT-600 dan kamera depth. Lubang di skrin pula tempatkan kamera selfie 16MP.
Tenaga telefon dibekalkan oleh bateri berkapasiti 5,000mAh dan ia sokong pengecasan pantas 80W melalui USB-C. Realme dakwa mengecas 5 minit boleh berikan masa gaming sehingga 1 jam dan telefon dapat dicas dari 0% hingga 50% dalam masa 19 minit.
Ia juga memiliki kalis percikan air dan debu IP65, pengimbas cap jadi dalam skrin, speaker stereo dan jek audio 3.5mm. Ciri sambungan yang disokong Realme 13+ termasuk WiFi 6, Bluetooth 5,4, NFC dan 5G.
Sistem operasi yang digunakan sejurus keluar kotak adalah Realme UI 5.0 berasaskan Android 14. Terdapat dua pilihan warna disediakan iaitu emas dan ungu gelap. Kelihatan Realme 13+ diberikan sedikit naik taraf berbanding Realme 12+, walaupun rekaan masih sama. Ini kerana Realme 13+ didatangkan dengan cip lebih berkuasa, storan lebih besar dan sokongan pengecasan lagi pantas. Tetapi sistem kameranya kehilangan kamera ultralebar.
Untuk rujukan anda, Realme 12+ ada skrin AMOLED 6.67-inci 120Hz, dikuasakan cip Dimensity 7050, ada storan 256GB dan pengecasan pada 67W. Selain kamera utama 50MP menggunakan sensor sama LYT-600, Realme 12+ juga mempunyai lensa ultralebar 8MP dan makro 2MP.
Spesifikasi Realme 13
Realme 13 pula adalah model lebih rendah dan memiliki spesifikasi yang lebih santai. Skrinnya sebesar 6.72-inci menggunakan panel paparan LCD pada resolusi FHD+ dan sokong kadar pengegaran 120Hz. Kecerahan puncak skrinnya adalah pada 580 nits.
Kuasa telefon ini digerakkan oleh cip Dimensity 6300 6nm yang dipadankan dengan RAM12GB dan storan 256GB, tetapi tidak dinyatakan jenis RAM dan storan yang digunakan. Seperti Realme 13+, peluasan RAM secara maya boleh dilakukan lagi 14GB, menjumlahkan 26GB yang boleh digunakan.
Fungsi gaming melalui GT Mode turut ada di Realme 13 dan untuk sistem penyejukannya, ia didatangkan dengan Stainless Steel Vapor Chamber besaiz 2249mm2 lebih kecil daripada Realme 13+ dan berupaya untuk turunkan suhu telefon sehingga 12 darjah.
Sistem kameranya juga menggunakan dua kamera di belakang iaitu kamera utama 50MP OIS dan sensor depth, bersama-sama dengan kamera selfie 16MP di hadapan. Kapasiti bateri yang dilengkapkan juga adalah 5,000mAh dan pengecasan boleh dilakukan pada paras 45W.
Realme 13 turut hadir dengan speaker stereo, jek audio 3.5mm, dan diiktiraf kalis percikan air dan debu IP64. Ciri sambungan yang anda boleh temui termasuk Bluetooth 5.3, WiFi 5 dan 5G. Ia juga akan didatangkan dengan sistem operasi Realme UI 5.0 berasaskan Android 14 dan tersedia dalam dua pilihan warna iaitu hijau dan ungu gelap.
Kalau bandingkan dengan model Realme 12 sebelum ini, spesifikasi Realme 13 terbaru ini tidak banyak berubah, malah rekaan pun sama. Tetapi model Realme 13 ada storan lebih kecil dan diberikan turun taraf pada sensor kamera.