Setelah setahun siri Xiaomi 14 diumumkan di China, Xiaomi telah mengumumkan pula tarikh pelancarkan siri Xiaomi 15. Pelancarannya akan berlangsung di China pada 29 Oktober 2024 dan menyaksikan pengenalan dua peranti iaitu Xiaomi 15 dan Xiaomi 15 Pro, kemudian diikuti dengan Xiaomi 15 Ultra pada tahun hadapan.
Perkara ini dikongsikan Xiaomi menerusi teaser yang dimuat naik di laman Weibo mereka. Malahan, Xiaomi turut mendedahkan beberapa spesifikasi serta rupa rasmi siri Xiaomi 15 yang akan dilancar. Menurut Xiaomi, varian Xiaomi 15 akan ada skrin rata 6.36-inci, iaitu saiz yang sama dengan Xiaomi 14 tetapi dengan bezel lehih nipis pada1.38mm.
Sementara itu, Xiaomi 15 Pro akan ada rekaan lebih nipis dan kukuh, dengan memiliki berat 213g dan badan nipis 8.35mm. Walaupun saiz skrin tidak dinyatakan, skrin Xiaomi 15 Pro dikatakan akan dilindungi kaca baharu Xiaomi Dragon Crystal Glass 2.0. Bagaimanapun, rekaan Xiaomi 15 dan 15 Pro masih dilihat sama seperti generasi sebelumnya, didatangkan dengan modul kamera berkotak dan badan bersisi rata.
Perbezaan ketara yang boleh dilihat adalah modul lampu flash yang telah diletakkan di sebelah kanan modul kamera berbanding di dalam modul kamera. Selain itu, apa yang didedahkan lagi adalah siri Xiaomi akan ada skrin 2K dengan kecerahan puncak setinggi 3,200 nits. Jangka hayat bateri Xiaomi 15 juga telah meningkat sebanyak 23%, manakala Xiaomi 15 Pro pula 38%.
Lebih menarik, turut mendedahkan Xiaomi 15 Pro ada kamera telefon periskop dengan zum 5x dan bateri berkapasiti 6,100mAh, jauh lebih besar daripada 5,000mAh di Xiaomi 14 Pro.
Xiaomi 15 telefon pertama dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite
Seperti yang didedahkan dalam pengumuman Qualcomm sebelum ini, siri Xiaomi 15 akan menjadi telefon Android pertama yang diperkasa cip tebaharu Snapdragon 8 Elite. Selain Xiaomi, terdapat juga jenama lain yang sudah pun menjadualkan pelancaran peranti terbaru mereka dengan cip Snapdragon 8 Elite.
Antarannya adalah Honor dengan akan melancarkan siri Magic 7 pada 30 Oktober di China dan ASUS dengan siri ROG Phone 9 pada 19 November.
Daripada gambar yang diberikan juga, nampaknya Xiaomi masih meneruskan kerjasama dengan Leica untuk bahagian pengimejan siri Xiaomi 15. Boleh dilihat kedua-duanya turut dilengkapi dengan tiga buah kamera di belakang seperti generasi sebelumnya, tetapi butiran mengenai kameranya tidak didedahkan Xiaomi.
Berdasarkan apa yang dikatakan dalam talian, Xiaomi 15 dilapor akan menggunakan tetapan tiga kamera dengan sensor 50MP untuk kamera utama, kamera ultralebar dan kamera telefoto 3.2x. Xiaomi 15 Pro turut dijangka akan memiliki tiga kamera, iaitu kamera utama 50MP menggunakan sensor Light Fusion 900, kamera ultralebar 50MP dan kamera telefoto 50MP.
Kedua-dua Xiaomi 15 dan Xiaomi 15 Pro juga dikatakan akan lengkap dengan skrin AMOLED 120Hz, RAM sehingga 16GB dan storan seluas 1TB, kalis air IP68, serta sokong pengecasan 90W berwayar dan 50W wayarles. Bateri berkapasiti 5,500mAh akan dimuatkan di model Xiaomi 15.
Xiaomi 15 Ultra mungkin dilancar pada Februari
Namun, untuk model Xiaomi 15 Ultra, maklumatnya masih tandus setakat ini dan sumber memaklumkan ia tidak akan dilancarkan di China sebelum Februari 2025. Untuk perbandingan, siri Xiaomi 14 memasuki pasaran Malaysia pada 7 Mac tahun ini dan terdapat dua model yang diperkenal, Xiaomi 14 dan Xiaomi 14 Ultra. Oleh itu, anda boleh jangkakan dua model serupa akan tiba ke Malaysia pada Mac tahun 2025.
Bagi rujukan anda, berikut adalah harga pelancaran Xiaomi 14 dan Xiaomi 14 Ultra di Malaysia:
- Xiaomi 14 (RAM 12GB+ Storan 256GB) – RM3,499
- Xiaomi 14 (RAM 12GB+ Storan 512GB) – RM3,999
- Xiaomi 14 Ultra (RAM 16GB+ Storan 512GB) – RM5,199
Selain telefon pintar siri Xiaomi 15, Xiaomi juga akan memperkenalkan sistem operasi terbaharu, iaitu HyperOS 2.0 berasaskan Android 15, dengan ianya dijangka akan menawarkan pengalaman penggunaan lebih lancar.
Untuk tahu lebih lanjut, anda boleh tonton pelancaran siri Xiaomi 15 yang akan diadakan pada hari Selasa, 29 Oktober pada jam 7 malam waktu Malaysia.
[Sumber: SmartPrix, Weibo Xiaomi]