Pengumuman harga anggaran Proton e.MAS 7 di Setia City Convention Centre Setia Alam baru-baru ini telah cetuskan perdebatan dalam kalangan netizen. Angka RM120,000 dilihat satu kumpulan ini sebagai mahal dan sepatutnya harga EV Proton itu berada bawah RM100,000 untuk beri peluang lebih ramai rakyat Malaysia merasai manfaat kenderaan hijau ini.
Proton eMAS 7: Kenapa EV marhaen ini bukan sekadar rebadge Geely Galaxy E5
Malahan, anda yang membandingkan harga anggaran e.MAS 7 dengan kembarnya iaitu Geely Galaxy E5 untuk pasaran China. Adakah adil untuk bandingkan kedua-dua model ini? Mari kita lihat.
Proton e.MAS 7 adalah CBU, buat masa ini
Walaupun dilaporkan ia bukanlah rebadge semata-mata, hakikat yang perlu diterima adalah Proton e.MAS 7 buat masa ini adalah CBU, iaitu datangnya daripada kilang China. Perlu diingatkan yang harga seperti yang dinyatakan sebelum ini adalah anggaran dan kami jangkakan ia adalah lebih tinggi kerana Proton e.MAS 7 ada specs lebih premium berbanding pesaingnya di Malaysia.
Proton e.MAS 7 diuji secara intensif, lepasi banjir 400mm
Ia ada bateri besar 60.22kWh dan sistem pengecasan lebih pantas. Kedua-dua ini mungkin menjadikan harga sebenar menokok sehingga RM20,000 berbanding harga anggaran.
Harga Geely Galaxy E5 di China
Untuk rujukan Proton e.MAS 7 di Malaysia ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dan Premium.
Di China pula, Geely Galaxy E5 ditawarkan dalam lima varian. Dua model paling bawah ada bateri paling kecil dengan jarak gerak CLTC 440km sementara tiga varian teratas ada jarak kembara lebih jauh pada 530km. Harga permulaan Galaxy E5 di sana adalah CNY109,800 (~RM67,000) sementara harga varian paling premium adalah CNY145,800 (~RM89,000).
Proton e.MAS 7: Tempahan dibuka, deposit RM500 diperlukan
Sekiranya pertukaran matawang secara langsung dilakukan, jelas kelihatan yang Proton e.MAS 7 ditawarkan pada harga yang jauh lebih tinggi. Adakah Proton nak untung besar? Mari lihat bagaimana penawaran EV lain.
Harga EV Malaysia vs. China
Smart #1 Malaysia vs. China
EV seperti Smart #1 Pro ditawarkan di Malaysia pada harga RM169,800. Model dengan bateri lebih besar iaitu Smart #1 Premium dijual pada harga RM209,000. Apakah harga model yang sama di China?
Varian termurah Smart #1 di China boleh didapatkan penggunanya pada harga CNY154,900 (~RM95,000). Lagi menarik, varian berspesifikasi tertinggi ada tanda harga CNY199,900 (~RN122,000) sahaja. Beza hampir RM90,000 dengan harga jualan di Malaysia!
Bukan itu sahaja, Smart #1 Brabus di Malaysia harganya adalah RM249,000 walhal di China harganya CNY284,900 (~RM175,000).
Tesla Malaysia vs. China
Satu lagi jenama yang menarik untuk dibandingkan adalah Tesla. Kita ambil contoh Tesla Model 3. Baru-baru ini, Tesla Malaysia ada lakukan penyelarasan harga untuk model ini. Jadi, berikut adalah senarai harga terkini Tesla Model 3 di Malaysia:
- Tesla Model 3 RWD – bermula RM181,000
- Tesla Model 3 Long Range AWD – bermula RM210,000
- Tesla Model 3 Performance – bermula RM242,000
Sekiranya anda merentasi Laut China Selatan dan pergi ke negara tanah besar itu, harga permulaan Tesla Model 3 di sana hanyalah CNY231,900 (~RM142,000). Versi Long Range AWD diniagakan pada CNY271,700 (~RM167,000) dan akhir sekali versi Performance pada CNY335,900 (~RM206,000).
Nampak macam pembeli Tesla di China nikmati EV itu pada harga RM40,000 lebih murah berbanding kita di Malaysia.
Satu perkara yang perlu diketengahkan adalah spesifikasi teknikal EV China dan Malaysia mungkin tak sama walaupun mereka adalah model yang sama. Contohnya, Tesla di China hanya ada AC on-board charger 7kW sedangkan di Malaysia, ia ada OBC 11kW 3 fasa. Situasi yang sama juga berlaku pada Proton e.MAS 7 dengan Geely Galaxy E5.
Kenapa EV China lebih murah?
Seperti biasa, barangan tempatan biasanya ditawarkan pada harga lebih murah. China sebagai kilang EV banyak jenama tidak terkecuali. Malah terdapat laporan yang banyak jenama EV China “membuang harga” dan meminimumkan margin keuntungan hanya untuk kekal bersaing dalam arena automotif.
Harga meningkat bila EV keluar China sebab adanya kos tambahan. Contohnya, kos penghantaran ke negara destinasi disamping struktur cukai yang dikenakan oleh mereka.
Itu belum mengambil kira kos untuk membangunkan rangkaian pusat pelanggan, kemudahan servis selepas pembelian, gudang penyimpanan alat ganti, dan banyak lagi hal-hal berkaitan rantaian pembekalan yang berlaku disebalik tabir.
Insentif kerajaan juga adalah salah satu faktor kenapa EV di China lebih murah. Contohnya, kalau anda beli EV di China antara 1 Januari 2024 hingga 31 DIsember 2025, anda ada pelepasan cukai sehingga CNY30,000 (~RM18,000).
Ketimbang Malaysia, walaupun EV CBU yang masuki Malaysia ada pelepasan cukai eksais dan import sehingga 2025, EV CBU masih ada cukai jualan yang telah mula dikenakan bermula April 2023.
Bukan EV China sahaja murah, telefon pintar juga murah!
Harga lebih murah di China bukan hanya melibatkan EV. Boleh dikatakan segala jenis barang keluaran mereka. Contohnya Xiaomi 14 (RAM 12GB + 256GB) di sana boleh didapatkan pada harga CNY4,299 (~RM2,600) dan bila masuk Malaysia, harganya jadi RM3,499. Huawei Pura 70 Ultra (16GB + 1TB) di China, harganya CNY10,999 (~RM6,700) tapi di tempat kita, harganya melambung ke RM7,199.
Jadi, dapatlah disimpulkan yang harga akhir sesuatu produk adalah bergantung kepada pelbagai faktor.
Sumber: SoyaCincau.com