Berikutan teaser yang dikeluarkan Xiaomi sebelum ini, kini Xiaomi telah melancarkan secara rasmi Xiaomi 15 dan Xiaomi 15 Pro, telefon pintar flagship terbaru mereka di China. Ia adalah telefon pertama yang diperkasa cip Snapdragon 8 Elite dan menerima naik taraf seperti bateri lebih besar, bezel lagi nipis dan kamera Leica yang dipertingkatkan berbanding Xiaomi 14 terdahulu.
Spesifikasi Xiaomi 15 Pro
Xiaomi 15 Pro merupakan model lebih besar dan tampil dengan skrin 6.73-inci jenis OLED LTPO beresolusi 2670 x 1200 dan kadar penyegaran adaptif boleh pergi sehingga 120Hz atau serendah 1Hz untuk jimat tenaga. Kecerahan puncak yang disokong skrin ini adalah setinggi 3,200 nits dan paparannya kini ada bezel lebih nipis berukuran 1.38mm.
Xiaomi mengatakan rekaan Xiaomi 15 Pro dicipta untuk berikan pengalaman yang terbaik semasa dalam tangan, dengan ianya memiliki paparan sedikit melengkung dan bingkai aluminium.
Atas papan utama, ia dikuasakan cip terbaharu Snapdragon 8 Elite 3nm dengan kelajuan clockspeed sehingga 4.32GHz. Cip itu digandingkan dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 4.0 sehingga 1TB. Untuk menampung prestasi tingginya, Xiaomi turut mengatakan mereka telah melengkapkan 15 Pro dengan ruang penyejukan 14% lagi besar berbanding generasi sebelumnya.
Bahagian kameranya masih menggunakan tiga lensa Leica Summilux, tetapi tampil dengan keupayaan mengezum lebih baik. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP dengan apertur sebesar f/1.44, kamera ultralebar 50MP dan kamera telefoto periskop 50MP menggunakan sensor Sony IMX 858.
Sensor kamera telefoto ini juga adalah sensor yang sama diguna pakai di Xiaomi 14 Ultra dan ini membolehkan 15 Pro untuk ada jarak fokal sehingga 120mm dengan kemampuan zum optikal 5x atau zum lossless 10x. Sementara itu, tangkapan selfie boleh dilakukan menggunakan kamera 32MP.
Komponen telefon ini dihidupkan oleh bateri berkapasiti 6,100mAh, 1,220mAh lebih besar berbanding 14 Pro terdahulu. Telefon boleh dicas dengan kuasa 90W melalui USB-C atau 50W secara wayarles. 15 Pro juga ada kalis air IP68 dan akan menggunakan sistem operasi HyperOS 2.0 terbaru berasaskan Android 15.
Terdapat empat warna tersedia iaitu kelabu, putih, hijau dan satu lagi Liquid Silver Edition yang menampilkan panel belakang unik dengan kesan ripple.
Spesifikasi Xiaomi 15
Beralih ke Xiaomi 15, ia mengekalkan saiz kompak seperti generasi sebelumnya. Tetapi kini, Xiaomi telah mereka bentuk badannya semula untuk ada pengagihan berat lebih seimbang 50:50. Ini kerana Xiaomi 14 sebelum ini ada berat yang tidak seimbang di bahagian atas dan bawah disebabkan modul kameranya yang besar.
Di hadapan, ia didatangkan dengan skrin LTPO OLED 6.36-inci serta sokong kadar penyegaran adaptif 1-120Hz dan kecerahan puncak 3,200 nits. Seperti model Pro, ia juga diperakasa cip Snapdragon 8 Elite yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB.
Untuk pengimejan, sistem tiga kamera Leica Summilux turut digunakan pada Xiaomi 15. Ia merangkumi kamera utama 50MP yang menggunakan sensor 1/1.31 jenis Light Fusion 900, kamera ultralebar 50MP dan kamera telefoto 50MP yang boleh zum optikal 3x. Menurut Xiaomi, lensa telefotonya turut menggunakan sensor 28nm baharu yang ada prestasi tangkapan dekat lebih baik.
Bahagian bateri juga telah dinaik taraf, dengan Xiaomi 15 dimuatkan bateri 5,400mAh berbanding 4,610mAh di Xiaomi 14. Sokongan pengecasan adalah sama dengan model Pro, iaitu boleh mengecas pantas 90W USB-C dan 50W secara wayarles. Ia juga akan menjalankan HyperOS 2.0 berasaskan Android 15 sejurus keluar kotak dan diiktiraf kalis air IP68.
Ia juga tersedia dalam lima pilihan warna termasuk hitam, putih, hijau, ungu serta Liquid Silver Edition.
Xiaomi 15 Custom Edition dan Limited Edition
Lebih menarik, selain daripada Liquid Silver Edition, Xiaomi 15 turut diperkenal dengan edisi terhad yang dinamakan Custom Edition dan Limited Edition. Custom Edition menyediakan pilihan bingkai hitam atau putih, serta pelbagai warna untuk panel belakang Xiaomi dengan 20 pilihan warna yang tersedia.
Manakala, Limited Edition adalah rekaan lebih premium menggunakan bingkai besi berkilat dengan panel belakang yang diperbuat daripada kulit vegan nano-tech. Terdapat tiga warna iaitu kelabu, oren dan putih yang ditawarkan dalam edisi ini. Setiap model dalam Limited Edition ini juga akan didatangkan dengan sarung kad dan pasport yang bersepadan warna.
Harga Xiaomi 15 dan Xiaomi 15 Pro
Xiaomi 15 dan Xiaomi 15 Pro didatangkan dalam beberapa varian dengan konfigurasi RAM sehingga 16GB dan storan seluas 1TB. Berikut adalah harga pelancarannya di China:
Xiaomi 15
- Xiaomi 15 (12GB+256GB) – CNY4,499 (~RM2,763)
- Xiaomi 15 (12GB+512GB) – CNY4,799 (~RM2,952)
- Xiaomi 15 (16GB+512GB) – CNY4,999 (~RM3,075)
- Xiaomi 15 (16GB+1TB) – CNY5,499 (~RM3,383)
- Xiaomi 15 Liquid Silver Edition – CNY4,699 (~RM2,890)
- Xiaomi 15 Custom Edition (16GB+512GB) – CNY4,999 (~RM3,075)
- Xiaomi 15 Limited Edition (16GB+1TB) – CNY5,999 (~RM3,690)
Xiaomi 15 Pro
- Xiaomi 15 Pro (12GB+256GB) – CNY5,299 (~RM3,260)
- Xiaomi 15 Pro (16GB+512GB) – CNY5,799 (~RM3,260)
- Xiaomi 15 Pro (16GB+1TB) – CNY6,499 (~RM3,567)
- Xiaomi 15 Pro Liquid Silver Edition – CNY5,499 (~RM3,383)
Tiada maklumat pelancarannya di luar China buat masa ini. Untuk rujukan anda, siri Xiaomi 14 dilancar di peringkat antarabangsa pada bulan Februari dan memasuki pasaran Malaysia pada awal Mac 2024. Xiaomi 14 dilancarkan di Malaysia dalam dua varian pada harga seperti berikut:
- Xiaomi 14 (RAM 12GB+ Storan 256GB) – RM3,499
- Xiaomi 14 (RAM 12GB+ Storan 512GB) – RM3,999
Oleh itu, anda boleh jangkakan siri Xiaomi 15 akan dilancarkan di Malaysia Mac tahun hadapan.