Selepas hampir dua bulan Apple Intelligence diumumkan, ia kini akhirnya tiba untuk semua pengguna melalui pelancaran iOS 18.1, iPad OS 18.1 dan MacOS Sequoia 15.1. Ia juga telah tersedia untuk pengguna di Malaysia juga dan dalam artikel ini kami nak beritahu cara untuk anda aktifkannya.
Pada awal pelancaran, Apple Intelligence hanya tersedia di dalam bahasa Inggeris US. Namun, Apple ada menjanjikan bahawa mereka akan berikan sokongan bahasa lebih banyak pada masa hadapan.
Perlu tetapkan bahasa ke English US
Untuk menggunakan Apple Intelligence, anda perlu tetapkan bahasa Siri anda kepada Inggeris (US) terlebih dahulu. Anda boleh lakukannya dengan pergi ke tetapan Apple Intelligence & Siri dalam ‘Settings’. Seterusnya, anda juga perlu ubah bahasa kepada English (US) sebagai bahasa utama di tetapan Language & Region dan barulah anda boleh kembali ke tetapan Apple Intelligence & Siri dan aktifkannya.
Namun, berdasarkan percubaan kami, pengguna perlu sertai senarai tunggu terlebih dahulu sebelum Apple Intelligence boleh diaktifkan. Tetapi, tempoh tunggu tidaklah terlalu lama kira-kira 30 minit dan kemudian barulah muncul pilihan ‘Turn On Apple Intelligence’ dan anda perlu tekan pilihan tersebut untuk aktifkannya.
Walaupun sudah dikeluarkan secara rasmi, dilihat Apple Intelligence masih berada dalam peringkat Beta seperti yang dinyatakan di logonya.
Bantuan menulis di Apple Intelligence
Terdapat banyak fungsi AI yang disediakan di Apple Intelligence dan antaranya adalah ‘Writing Tools, yang akan diintegrasi merentasi sistem operasi iOS, iPad OS dan Mac OS. Ciri ini boleh menawarkan bantuan penulisan dengan ia boleh menuliskan semula ayat anda dan membenarkan anda untuk mengubah tona serta gaya penulisan supaya kedengaran lebih profesional, ringkas atau kurang formal.
Selain itu, ia juga boleh bantu untuk proofread dengan menyemak tatabahasa, pilihan perkataan dan struktur ayat anda sambil mencadangkan pembetulan bersesuaian. Terjumpa ayat terlalu panjang? Ciri ini juga boleh bantu untuk rumuskan teks yang panjang kepada poin-poin penting.
Bukan setakat merumuskan teks, Apple Intelligence juga boleh bantu anda merumuskan audio melalui aplikasi Notes ataupun panggilan. Anda hanya perlu tekan rekod, kemudian Apple Intelligence akan menjana dan berikan rumusan penting dalam transkrip menggunakan audio yang direkod.
Siri ada rupa baharu dan kini lebih pintar
Sebahagian daripada Apple Intelligence adalah pembaharuan pada rekaan Siri yang kini tampil dengan lampu bercahaya mengelilingi skrin.
Tetapi bukan itu sahaja pembaharuan Siri, kerana Siri juga kini ada pemahaman bahasa yang lebih baik dan dikatakan boleh berkomunikasi dengan lebih natural. Katakanlah anda tanya soalan tanpa konteks yang cukup, Siri boleh faham dan memberikan respon berdasarkan konteks pertanyaan sebelumnya.
Selain itu, Siri turut boleh menjawab pertanyaan berkenaan cara untuk menggunakan sesuatu fungsi di peranti Apple. Contohnya, anda boleh minta Siri untuk tunjukkan cara untuk menjadualkan penghantaran teks, kemudian Siri akan beritahu caranya satu per satu.
Aplikasi Photo lebih pintar
Fungsi AI juga telah ditambah ke pada aplikasi Photos, dengan pengguna kini boleh membuat carian video atau foto dengan hanya menerangkan apa yang dicari, seterusnya Apple Intelligence akan bawakan anda kepada imej yang berkaitan.
Seperti Object eraser di Galaxy AI, Apple ada memperkenalkan Clean yang membenarkan anda padam imej yang tak diingini dalam gambar.
Anda juga boleh lihat semula memori dalam bentuk filem dengan hanya menaip deskripsi yang bersesuaian. Kemudian Apple Intelligence akan memilih gambar dan video yang sepadan dan merangkumkan video dan imej ke dalam bentuk filem.
Boleh utamakan notifikasi penting
Kalau terlalu banyak notifikasi sehinggakan membanjiri halaman notifikasi, Apple ada memperkenalkan ‘Priority notifications’. Dengannya, notifikasi yang diutamakan akan muncul teratas berbanding notifikasi-notifikasi lain memudahkan anda melihatnya. Malah, notifikasi yang panjang juga akan dirumuskan kepada bentuk pendek supaya mudah dibaca.
Mod ‘Focus’ baharu juga akan memahami kandungan pada notifikasi yang mungkin memerlukan perhatian segera misalnya teks mengenai peringatan untuk mengambil anda selepas sekolah. Aplikasi Mail juga peroleh fungsi serupa dengan ia akan memaparkan e-mel paling penting teratas di Inbox e-mel.
Dalam masa sama, pengguna juga boleh melihat ringkasan mesej e-mel tanpa membuka mesej tersebut dan merumuskan e-mel yang panjang berjela ke dalam bentuk lebih ringkas. Nak balas e-mel dengan cepat? Aplikasi Mail kini ada Smart Reply membolehkan draf e-mel dijana dengan hanya tap melalui pilihan yang ada.
Lebih banyak fungsi AI dan sokongan bahasa akan tiba bermula Disember 2024
Menurut Apple, mereka mengatakan fitur yang diperkenal dalam pelancaran awal Apple Intelligence hanya di peringkat permulaan dan mereka akan mengeluarkan lebih banyak ciri AI bermula Disember 2024. Ini termasuk penjanaan imej AI melalui aplikasi Image Playground dan pilihan untuk mencipta Genmoji, iaitu emoji yang anda boleh sesuaikan berdasarkan deskripsi yang ditulis.
Lagi yang akan tiba hujung tahun ini adalah Image Wand, ciri yang membenarkan anda untuk mengubah lakaran kepada visual yang lebih menarik dengan hanya membulatkan sesuatu lakaran. Bermula Disember, Writing Tools juga akan ada lebih banyak fungsi macam menjadikan teks kedengaran seperti puisi atau menambah perkataan lebih sesuai dalam resume.
Visual intelligence, fungsi yang boleh mengenal pasti objek melalui kamera turut akan tiba mulai Disember nanti.
Macam yang dikatakan awal tadi, Apple Intelligence buat masa ini hanya tersedia dalam bahasa Inggeris US. Namun, Apple memaklumkan lebih banyak bahasa inggeris seperti Australia, Kanada, Ireland, New Zealand, South Africa, United Kingdom akan diperkenalkan pada hujung tahun 2024.
Bermula April 2025, sokongan bahasa lain akan dikeluarkan dan ini termasuk bahasa cina, Inggeris (India), Inggeris (Singapore), Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Korea, Portugis, Sepanyol, Vietnam dan banyak lagi.
Bagi peranti Apple yang menyokong Apple Intelligence, ia termasuk iPhone 16, iPhone 16 Plus, iPhone 16 Pro, iPhone 16 Pro Max, iPhone 15 Pro, iPhone 15 Pro Max, iPad dengan cip A17 Pro atau M1 dan ke atas, serta Mac dengan cip M1 dan ke atas.
[Sumber: Apple]