Hari yang dinantikan ramai telah tiba. Proton hari ini telah rasmi melancarkan kenderaan elektrik nasional pertama, iaitu Proton e.MAS 7. Selain daripada maklumat harga, pelancaran ini juga memperlihatkan rupa sebenar EV pertama Proton ini kepada khalayak ramai.
Harga dan promosi Proton e.MAS 7 di Malaysia
Sebelum ini, Proton e.MAS 7 dianggarkan berharga sekitar RM120,000. Ditawarkan dalam dua varian, berikut adalah harga jualan Proton e.MAS 7 di Malaysia:
- Proton e.MAS 7 Prime – RM109,800
- Proton e.MAS 7 Premium – RM123,800
Namun, sempena pelancarannya, Proton menyediakan rebat RM4000 untuk 3,000 pembeli terawal menjadikan EV pertama Proton itu boleh didapati lebih murah pada harga berikut:
- Proton e.MAS 7 Prime – RM105,800
- Proton e.MAS 7 Premium – RM119,800
Pembeli e.MAS 7 juga akan didatangkan dengan pakej berjumlah sehingga RM8,000. Ini termasuk pengecas rumah 7kW (bernilai RM1,500), penyesuai V2L (bernilai RM500), kadar faedah serendah 1.98%, data internet tanpa had (bernilai RM1,800), rebat tukar beli RM1,200 di Carsome serta waranti kenderaan 6 tahun dan waranti komponen dan bateri 8 tahun/160,000km.
Terdapat lima pilihan warna yang disediakan bagi Proton e.MAS 7 iaitu perak, hijau, kelabu, pink cair dan putih. Kesemua varian e.MAS 7 juga akan didatangkan dengan interior kabin berwarna biru.
Proton e.Mas 7: Ukuran & Berat
Kedua-dua varian Prime dan Premium memiliki ukuran yang sama iaitu 4,615 x 1,901 x 1,670 mm. Berikut adalah rujukan dimensi SUV elektrik yang sudahpun berada dalam pasaran dan akan bersaing dengannya:
- BYD Atto 3 (4,455 x 1,875 x 1,615mm)
- Chery Omoda E5 (4,400 x 1,830 x 1,590mm)
- GAC Aion Y Plus (4,535 x 1,870 x 1,650mm)
- Leapmotor C10 (4,739 x 1,900 x 1,680mm)
- MG ZS EV (4,314 x 1,809 x 1,625mm)
- Tesla Model Y (4,750 x 1,921 x 1,624mm)
- Xpeng G6 (4,753 x 1920 x 1650mm)
Dalam kalangan 7 pesaing tadi, ia ke-4 paling panjang, ke-4 paling lebar, dan ke-3 paling tinggi. Jadi, anda boleh jangkakan ruang dalamannya.
Premium yang mempunyai kapasiti bateri lebih besar memiliki berat keseluruhan lebih tinggi iaitu 1,765kg sementara varian Prime mencatatkan 1,662kg di atas penimbang. Kapasiti but yang mereka miliki adalah 461L. Kerusi penumbang belakang boleh dilipat untuk membuka sehingga 1,877L ruang penyimpanan.
Masih di bahagian luar, Proton e.MAS 7 Premium mempunyai kelebihan pada segi kehadiran panoramic sunroof, power tailgate, dan active grille shutter.
Proton e.MAS 7: Motor elektrik & Prestasi
Proton e.MAS 7 menggunakan motor 12-dalam-1 yang mampu menghasilkan output kuasa maksimum setinggi 160kW (215hp) dengan tork setinggi 320Nm. Kereta ini boleh pecut ke dari 0-100km dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksimum ditetapkan pada 175km/j.
Tiada perbezaan pada segi output kuasa untuk varian. Jadi anda nikmati kuasa yang sama tak kira sama ada memandu e.MAS 7 Premium ataupun e.MAS 7 Prime. Sistem pengampai pun sama dengan depan menggunakan McPherson Independent Suspension sementara bahagian belakang menggunakan Multilink Independent Suspension.
Bahagian saiz tayar ada perbezaan. Apabila Prime diberikan roda bersaiz 18” bersarung tayar Giti, Premium yang lebih mahal diberikan roda bersaiz 19” bersarung Goodyear.
Proton e.MAS 7: Bateri & Pengecasan
Seperti yang dikongsikan sewaktu pengendalan model ini dalam bulan Ogos 2024 dahulu, Proton e.MAS 7 menggunakan teknologi Aegis Short Blade Battery.
Varian Prime untuk EV ini dibekalkan bateri berkapasiti 49.52kWh dan ia diterjemah kepada jarak kembara 345km (WLTP). Varian yan glebih mahal dibekalkan bateri 60.22kWh dengan jarak kembara mencapai 410km.
Apabila perlu dicas, varian premium menerima kuasa DC pada paras 100kW. Varian prime ada sistem pengecasan lebih perlahan pada 80kW. Namun begitu, kelajuan untuk mengecas 30% ke 80% menggunakan DC adalah sama iaitu 20 minit.
Kedua-dua varian juga boleh menerima arus AC sehingga 11kW dan katanya mengambil masa sepantas 4.9 jam untuk mengisi 30% kepada 80%.
Ciri V2L disokong Proton e.MAS 7, menjadikannya sesuai dibawa camping. Dengan penyesuai, ia boleh keluarkan sehingga 3.2kW kuasa untuk anda jalankan peralatan elektrik yang diingini.
Proton e.MAS 7: Kabin, inforia, dan kluster instrumen
Beralih ke bahagian dalam Proton e.MAS 7. Bila duduk di kerusi pemandu, anda dihidangkan dengan skrin inforia gergasi 15.4” beresolusi 2.5K.
Ia diperkasa cip berkuasa tinggi, katanya 7nm. Kluster instrumen untuk paparkan maklumat pemanduan pula bersaiz 10.2” disamping ada juga HUD untuk berikan maklumat tambahan. Namun, HUD hanya ada untuk varian Premium.
Lampu kabin dengan fungsi RGB 256 warna juga disediakan untuk Premium sahaja. Lagi kelebihan diberikan pada Premium adalah kerusi kulit dengan pengudaraan dan memori. Sistem audio Proton e.MAS 7 juga berbeza pada segi kelengkapan.
Bilangan speaker sebanyak 16 unit diberikan pada varian Premium, jadi anda dapat speaker juga di headrest kerusi pemandu. Varian Prime dapat 6 unit speaker, semuanya dipasang di keliling badan kereta.
Pada segi pemanduan, hanya varian Premium adan ciri penyesuaian pada segi kedudukan pemanduan, menggunakan motor elektrik. Untuk kemudahan, Proton memberikan pad pengecas wayarles di konsol tengah untuk kedua-dua varian.
Proton e.MAS 7: Sistem Bantu Pandu
Proton e.MAS 7 ada sistem bantu pandu (ADAS) seperti berikut:
- Intelligent Cruise Control (ICC)
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Automatic Emergency Braking (AEB)
- Forward Collision Warning (FCW)
- Dynamic Brake Support (DBS)
- Lane Departure Warning (LDW)
- Lane Departure Prevention (LDP)
- Emergency Lane Keeping Assist (ELKA)
- Rear Collision Warning (RCW)
- Rear Cross Traffic Alert RCTA)
- Rear Cross Traffic Braking (RCTB)
- Lane Change Assist (LCA)
- Blind Spot Detection (BSD)
- Door Open Warning (DOW)
- Traffic Sign Identification (TSI)
Tiada perbezaan pada segi fungsi merentasi varian termasuklah pada kehadiran kamera keliling 360 darjah. Kalau ada pun, varian Premium tiada sistem radar hadapan.
Proton e.MAS 7: Beza varian Prime dan Premium
Sebagai rumusan, Proton e.MAS 7 Prime dan Proton e.MAS 7 Premium ada beberapa perbezaan daripada segi spesifikasi. Kelebihan pada yang ada pada Premium adalah seperti:
- Bateri lebih besar 60.22kWh yang diterjemah pada jarak pandu lebih jauh
- Sistem pengecasan DC lebih pantas pada 100kW
- Ciri dalaman lain seperti panoramic sunroof, power tailgate, active grille shutter
- Premium ada tayar lebih besar, 19”
Tawaran istimewa Proton e.MAS 7 untuk pembaca SoyaCincau
Selain promosi pelancaran, khas untuk pembaca SoyaCincau, anda boleh dapatkan lebih banyak manfaat jika anda menempah Proton e.MAS 7. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah tiga langkah tersebut:
- Isi borang tempahan awal Proton.eMAS 7
- Pindahkan bayaran tempahan RM500 ke akaun yang dinyatakan dalam borang tempahan (PENTING: masukkan kod promo EMAS7SC dalam deskripsi pembayaran)
- Hantar screenshot resit pembayaran bersama dengan gambar kad pengenalan (depan dan belakang) melalui WhatsApp di nombor +603-3310 0030.
Itu sahaja langkahnya. Anda tak perlu risau tentang kehilangan deposit, sebab bayaran RM500 akan dikembalikan sepenuhnya kepada anda jika anda berubah fikiran. Kalau anda sebarang pertanyaan mengenai tawaran istimewa Protone.MAS 7 untuk pembaca SoyaCincau.com, anda boleh mesej kami di WhatsApp di nombor +603 3310 0030 atau klik sahaja di sini.