Rapid KL telah memperluaskan penerimaan pembayaran kad kredit dan debit di beberapa stesen laluan MRT, termasuk sokongan untuk Apple Pay, Samsung Pay dan Google Pay. Walau bagaimanapun, implementasi tersebut tidak dilakukan di autogate, sebaliknya di mesin pembelian token.
Jika anda masih ingat, hampir dua tahun lalu, pengendali agensi dan pengangkutan awam telah diarahkan untuk beralih kepada sistem pembayaran terbuka sebagai usaha untuk menhapuskan monopoli Touch ‘n Go.
RapidKL laksanakan sistem pembayaran terbuka di mesin pembelian token MRT
Berdasarkan tinjauan kami di stesen, terminal pembayaran kad telah dipasang di mesin token sedia ada di stesen MRT Bukit Bintang dan Tun Razak Exchange (TRX). Kami diberitahu bahawa pemasangan terminal kad ini sedang dijalankan dan ia akan diperlua ke stesen MRT yang lain dalam beberapa minggu akan datang.
Untuk membeli token menggunakan kad kredit dan kad debit, anda hanya perlu beli token seperti biasa dengan memilih destinasi dan kuantiti, kemudian tekan kad kredit sebagai pilihan pembayaran. Seterusnya, tap sahaja kad atau peranti (Apple Pay/Samsung Pay/Google Pay) pada terminal kad untuk selesaikan transaksi.
Walaupun kaedah ini dapat memudahkan mereka yang tak mempunyai tunai mencukupi untuk beli token satu hala, ia masih memerlukan pengguna untuk beratur di mesin token sebelum memasuki platform.
Sebagai perspektif anda, KTM Komuter telah pun melaksanakan pembayaran tanpa tunai sepenuhnya bermula 1 Januari 2025 dan memasangkan terminal kad di autogate.
Untuk anda yang nak menaiki MRT buat jangka masa pendek, pas MyCity yang ditawarkan Rapid KL masih lebih murah, bermula RM6 untuk pas sehari yang memberikan perjalanan tanpa had seluruh rangkaian MRT, LRT, BRT, Monorel dan bas Rapid KL. Namun, pengguna masih perlu menggunakan kad Touch ‘n Go dan mengaktifkannya di kaunter stesen.
Persoalan yang masih timbul mengenai pelaksanaan tanpa sentuh oleh Rapid KL
Setakat ini, masih tidak diketahui sama adan sistem pembayaran terbuka yang sama akan dilaksanakan di laluan tren Rapid KL yang lain termasuk LRT, Monorel dan BRT. Hampir lima tahun yang lepas, Rapid KL ada menjalankan ujian pembayaran tanpa sentuh dengan memasangkan terminal kad MyDebit di autogate di stesen LRT terpilih seperti Wangsa Maju, Lembah Subang dan Pasar Seni. Namun, ia tidak dilaksanakan secara meluas untuk kegunaan orang awam.
Perasan benda ni kat LRT Wangsa Maju tadi. RapidKL pun dah boleh buat direct payment guna kad ATM. Touch n Go pulak nak tunggu tahun 3030 baru boleh topup online agaknya. pic.twitter.com/YJhGyTwu7Z
— snowman (@orangsalji83) September 22, 2020
Pelaksanaan yang ideal adalah dengan memasangkan terminal kad terus di autogate, kerana ia akan mengurangkan langkah untuk pengguna membeli token. Pengguna boleh tap masuk dan tap keluar dengan mudah menggunakan kad kredit/debit ataupun telefon pintar dan jam pintar yang menyokong Apple Pay, Samsung Pay atau Google Pay.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini ada mendedahkan bahawa pengguna pas tanpa had My50 akan boleh memperbaharui pas mereka menerusi Touch ‘n Go eWallet dan beralih daripada penggunaan MyKad sebagai satu-satunya kaedah pembayaran. Loke berkata yang selepas integrasi sistem selesai, pengguna akan boleh menggunakan kad TNG atau telefon pintar melalui kod QR.
Rapid KL sebelum ini pernah menjalankan ujian percubaan pembayaran menggunakan kod QR di Touch ‘n Go eWallet, tetapi tidak dilaksanakan selepas ujiannya tamat.
[Sumber: SoyaCincau]