Lenovo hari ini telah melancarkan barisan laptop Aura Edition terbaharu yang terdiri dalam tiga model, iaitu Yoga Slim 7i, ThinkPad X9 dan ThinkPad X1 Carbon Aura Edition (generasi ke-13). Ketiga-tiganya laptop ini telah dikemas kini dengan cip Intel Core Ultra 200V Lunar Lake yang membawakan kemampuan AI dipertingkatkan untuk tambah baik produktiviti serta kreativiti pengguna.
Berbanding dengan laptop Lenovo biasa, laptop Aura Edition dilengkapi ciri pintar ekslusif yang hanya terdapat di edisi ini. Ini termasuk seperti Smart Mode yang membolehkan kawalan PC yang lebih tersuai dan juga Smart Share yang membenarkan ketersambungan lancar antara telefon Android dan iOS untuk perindahan fail dengan hanya tap telefon di sisi skrin laptop.
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/120225-Lenovo-AI-PC-2.jpg?resize=1024%2C536&ssl=1)
Bukan itu sahaja, laptop Aura Edition juga didatangkan dengan fungsi Smart Care yang menawarkan sokongan troubleshooting dan akses kepada juruteknik Lenovo 24/7 melalui chat, e-mel atau panggilan.
Harga Lenovo Yoga Slim 7i, ThinkPad X9 dan ThinkPad X1 dan ThinkPad X1 Carbon Aura Edition di Malaysia
Kepada mereka yang berminat, ketiga-tiga laptop Yoga Slim 7i, ThinkPad X9 dan Think Pad X1 ini boleh didapatkan di Malaysia bermula hari ini. Berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- Yoga Slim 7i Aura Edition (14″ & 15″) – Bermula RM4,999 & RM5,883
- ThinkPad X9 Aura Edition (14″) – Bermula RM6,189.23
- ThinkPad X1 Carbon Aura Edition (14″) – Bermula RM9,676
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/120225-Lenovo-Yoga-Slim-7i-2.jpg?resize=1024%2C576&ssl=1)
Untuk membuat pembelian, anda boleh singgah ke stor online Lenovo Malaysia, Lenovo Exclusive Stores di seluruh Malaysia atau pengedar sah Lenovo di Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Lenovo Yoga Slim 7i Aura Edition
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/120225-Lenovo-Yoga-Slim-7i-6.jpg?resize=1024%2C576&ssl=1)
Bermula dengan Lenovo Yoga Slim 7i Aura Edition, ia merupakan laptop yang menawarkan keseimbangan prestasi dan tahap mudah alih tinggi. Badan laptop ini nipis 13.9mm menggunakan casis unibody dan tersedia dalam dua saiz iaitu 14-inci dan 15-inci.
Laptop ini dilengkapi dengan paparan OLED jenis Puresight Pro 2.8k yang dikatakan mampu menawarkan warna tepat dengan visual menarik, serta sokong kadar penyegaran sehingga 120Hz dan kecerahan puncak mencecah 500 nits. Paparannya juga mesra mata kerana menerima pengiktirafan TUV dalam penghasilan cahaya biru rendah dan tersedia dalam pilihan paparan peka sentuhan ataupun tidak.
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/120225-Lenovo-Yoga-Slim-7i.jpg?resize=1024%2C576&ssl=1)
Atas papan utama, Yoga Slim 7i disediakan dalam dua piilihan cip pemproses, sama ada Intel Core Ultra 5 228V atau Core Ultra 7 258V. Bersama cip itu, laptop ini dipadankan dengan RAM LPDDR5X 32GB dan storan dalaman PCIe Gen4 sehingga 1TB. Dengan AI Core yang dapat mengoptimumkan beban kerja, laptop ini ada hayat bateri lebih 18 jam menggunakan bateri 70Whr yang dimilikinya. Bateri itu boleh diisi pada kuasa 65W.
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/120225-Lenovo-Yoga-Slim-7i-3.jpg?resize=1024%2C576&ssl=1)
Laptop ini juga mempunyai empat speaker berteknologi Dolby Atmos, mikrofon dengan pembatalan hingar dan papan kekunci yang diperbaharui dengan jarak tekan 1.5mm dan juga kamera webcam 5M IR di atas skrin. Penawaran port I/O-nya termasuk dua port Thunderbolt 4, satu slot kad mikroSD, satu HDMI 2.1, satu USB-A dan jek audio. Laptop ini juga menyokong WiFi 7 dan Bluetooth 5.4.
Spesifikasi ThinkPad X9 Aura Edition
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/120225-Lenovo-ThinkPad-X9.jpg?resize=1024%2C576&ssl=1)
Beralih kepada ThinkPad X9 Aura Edition, ia adalah laptop yang direka buat pekerja Hybrid yang mahukan prestasi tinggi, rekaan nipis dan ringan, sambil mengekalkan fungsi penting dan badan tahan lasak. Badannya diperbuat daripada bahan teguh yang melepasi gred tentera MIL-STD-810H dan berukuran nipis hanya 13mm dan berat 1.24kg.
Paparan yang dimiliki ThinkPad X9 adalah sebesar 14″ jenis OLED dengan resolusi 2.8k dan ia sokong kadar penyegaran sehingga 120Hz, kecerahan puncak 500 nits dan tersedia dalam pilihan paparan peka sentuhan. Paparannya juga memenuhi piawaian TUV Rhiendland dalam penghasilan cahaya biru rendah.
Berkenaan cip pemproses, ThinkPad X9 Aura Edition diperkasa dengan Core Ultra 5 226V untuk varian asa dan sehingga Core Ultra 7 268V vPro. Ini digabungkan bersama RAM LPDDR5x 32GB dan storan PCIe Gen4 sehingga 2TB. Di atas skrin, terdapat kamera webcam 4K menggunakan sensor 8MP dan ia dilengkapi dua mikrofon dengan ciri pembatalan hingar dan dua speaker yang menyokong Dolby Atmos.
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/120225-Lenovo-ThinkPad-X9-4.jpg?resize=1024%2C576&ssl=1)
Kapasiti bateri yang dimuatkan adalah 55Whr dan yang menariknya, baterinya mudah ditukar ganti oleh pengguna. Jika kehabisan bateri, ia boleh dicas pada kuasa 65W.
Walaupun nipis, laptop ini menampilkan pilihan port mencukupi. Ini termasuk HDMI 2.1, dua port Thunderbolt 4, dan jek audio 3.5mm. Ia juga menyokong WiFi 7, Bluetooth 5.4 dan mempunyai pad sesentuh kaca haptik dan juga papan kekunci yang didakwa kalis tumpahan air.
Spesifikasi ThinkPad X1 Carbon
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/250212-lenovo-thinkpad-x1-carbon-gen-13-aura-edition-1536x865-1.jpg?resize=1024%2C577&ssl=1)
Yang terakhir adalah ThinkPad X1 Carbon. Ia merupakan generasi ke-13 dan telah dikemas kini untuk ada kerangka lebih nipis dan ringan. Beratnya kurang daripada 1kg, menjadikannya paling ringan siri ThinkPad X1 Carbon. Namun begitu, ia masih mengekalkan rekaan tahan lasak melepasi piawaian MIL-STD-810H dan memiliki ketebalan 14.37mm.
ThinkPad X1 Carbon ini dilengkapi dengan paparan OLED 14″ yang memiliki resolusi 2.8K dengan kecerahan puncak sehingga 500 nits dan kadar penyegaran 120Hz. Ia dikuasakan cip Intel Core Ultra 7 258V dengan RAM LPDDR5x dan storan dalaman PCIe Gen 5 seluas 2TB. Seperti ThinkPad X9, bateri laptop ini juga boleh ditukar ganti pengguna dengan mudah dan menyokong pencecasan 65W.
![](https://i0.wp.com/bm.soyacincau.com/wp-content/uploads/2025/02/120225-Lenovo-AI-PC-1.jpg?resize=1024%2C499&ssl=1)
Namun, kapasiti baterinya sedikit besar pada 57Whr dan didatangkan bersama pengecas GaN di dalam kotak. Pad sesentuhnya juga tampil dengan pad sesentuh haptik dan diintegrasikan dengan tiga butang fizikal di atasnya. Terdapat juga kamera webcam 8MP IR di atas skrin.
Untuk ketersambungan, laptop ini menyokong WiFi 7, Bluetooth 5.3 dan memiliki port dua Thunderbolt 4, dua USB-A, satu HDMI 2.1 dan jek audio 3.5mm.
Untuk maklumat lagi lanjut, anda boleh layari laman produk Yoga Slim 7i, ThinkPad X9 dan ThinkPad X1 Carbon.