ZTE Malaysia telah mengumumkan ketibaan sebuah telefon pintar kelas permulaan terbaharu, iaitu Nubia V70 Max. Berdasarkan nama model, ia merupakan adik kepada V70 Design yang dilancarkan pada awal Januari lalu, tetapi didatangkan dengan rekaan yang tahan lasak, skrin lebih besar dan bateri berkapasiti lebih besar.
Harga Nubia V70 Max di Malaysia

Kalau anda berminat, Nubia V70 Max boleh dibeli di Malaysia sekarang. Terdapat hanya satu varian yang ditawarkan dan berikut adalah harga rasminya di Malaysia:
- Nubia V70 Max (RAM 6GB dan storan 128GB) – RM399
Sebagai perbandingan, V70 Design dijual pada harga RM449, menjadikannya RM50 lebih mahal berbanding V70 Max ini.
Ditawarkan dalam dua pilihan warna hijau dan kelabu, Nubia V70 Max boleh dibeli di kedai fizikal ZTE Malaysia di Wangsa Walk, IOI City Mall dan IOI Mall Puchong. Untuk pembelian dalam talian, ia tersedia didapatkan melalui stor rasmi Nubia di Lazada dan Shopee.
Spesifikasi Nubia V70 Max

Di bahagian hadapan, Nubia V70 Max dipasangkan dengan skrin 6.9-inci jenis LCD yang mempunyai resolusi 720P dan kadar penyegaran 120Hz. Skrinnya sedikit lebih besar berbanding 6.7-inci di V70 Design terdahulu.
Nubia V70 Max ini menampilkan rekaan teguh, menggunakan komponen bingkai yang terdiri daripada plat keluli bersama-sama dengan penutup hadapan yang diperbuat daripada aloi Aluminium-Titanium. Nubia dakwa ini membolehkan telefon untuk tahan jatuh sehingga ketinggan 1.5 meter, selain turut diiktiraf kalis percikan air dan debu IP54, sesuatu yang tiada pada V70 Design.


Atas papan utama, cip Unisoc T7200 dipasangkan di dalam Nubia V70 Max. Ia sebenarnya adalah cip T606 yang dijenamakan semula, iaitu cip yang sama juga terdapat di V70 Design. Bersama cip itu, ia dipadankan dengan RAM 6GB berserta storan 128GB, dan ia menerima kad MikroSD untuk perluasan storan.
Menurut Nubia, V70 Max mampu dijamin mampu menawarkan prestasi lancar 50 bulan kerana memunuhi piawaian yang ditetapkan SGS. Untuk tenaga, ia disalurkan oleh bateri berkapasiti 6,000mAh, 1,000mAh lagi besar berbanding V70 Design dan boleh dicas semula pada kuasa 22.5W USB-C yang sama.

Bahagian kamera belakang terdiri daripada kamera utama 50MP dan dua lagi sensor depth, manakala di hadapan terdapat takuk yang menempatkan kamera selfie 8MP. Takuk tersebut turut boleh diperbesarkan untuk paparkan info seperti pengecasan, panggilan dan main balik lagu menerusi ciri Live Island 2.0.
Sistem pengimejannya turut menampilkan fungsi AI seperti AI Magic Eraser untuk memadam subjek yang tidak diingini, AI Magic Editor untuk tingkatkan kualiti gambar dan AI Lightning-fast Snapshot untuk tangkapan bergerak pantas yang kekal jelas.

Speaker yang digunakan mono dengan teknologi DTS dan pengimbas cap jari ada di butang kuasa di sisi. Ciri ketersambungan yang disokong telefon ini termasuk WiFi 5, Bluetooth 5.2, 4G dan juga NFC. Ia akan menjalankan sistem operasi MyOS.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Nubia V70 Max.