Seperti yang dijanjikan, Huawei hari ini telah rasmi melancarkan telefon boleh lipat tiga pertama dunia, iaitu Huawei Mate XT Ultimate Design secara global dan juga Malaysia. Pelancarannya berlangsung di Kuala Lumpur dan menyaksikan ketibaan telefon boleh lipat tiga ini ke pasaran yang lebih luas, lima bulan selepas ia diperkenal di China.
Mate XT juga dikatakan adalah telefon boleh lipat paling nipis apabila lipatannya dibuka sepenuhnya dan menampilkan bateri ternipis dalam industri.
Harga dan ketersediaan Huawei Mate XT di Malaysia

Terdapat satu varian yang ditawarkan bagi Mate XT dan berikut adalah harga pelancarannya di Malaysia:
- Huawei Mate XT (RAM 16GB dan storan 1TB) – RM14,999
Kepada mereka yang berminat, Mate XT boleh dipratempah bermula hari ini sehingga 14 Mac 2025 melalui stor dalam talian Huawei serta gedung rasmi Huawei di Shopee, Lazada dan TikTok. Mereka yang menempah awal akan terima perlindungan skrin selama 1 tahun bernilai RM3,999.
Mate XT boleh didapatkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan merah.
Spesifikasi Huawei Mate XT

Huawei Mate XT adalah telefon boleh lipat paling nipis, dengan hanya berukuran 3.6mm apabila lipatan dibuka sepenuhnya. Dalam keadaan skrinnya dilipat sepenuhnya, ia berukuran 12.8mm. Huawei dakwa Mate XT adalah telefon dengan skrin besar paling ringan, dengan berat hanya 289g.


Di bahagian paparan. Mate XT didatangkan dengan skrin LTPO OLED sebesar 10.2″ dengan resolusi 3K dan sokong kadar 90Hz, yang boleh dilipat dalam tiga bahagian. Apabila dalam keadaan terlipat sepenuhnya, skrinnya seluas 6.4″ dengan resolusi 2232×1008, manakala 7.9″ dalam resolusi 2232×2048 apabila dalam mod dua skrin.
Atas papan utama, Mate XT dikuasakan cip Kirin 9010 dengan kombinasi RAM 16GB dan storan 1TB

Bergerak ke bahagian pengimejan, Mate XT menggunakan sistem kamera Ultra Aperture XMage. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP dengan apertur yang boleh dilaras di antara f/1.4-f/4.0, kamera telefoto periskop 12MP OIS dengan kemampuan zum optikal 5.5x dan satu lagi kamera ultralebar 12MP yang turut berfungsi sebagai kamera makro.

Di hadapan, terdapat kamera selfie 8MP yang diletakkan di atas skrin pertamanya. Kapasiti bateri yang dilengkapkan adalah sebesar 5,600mAh dan ia dikatakan bateri ternipis dalam industri, berukuran hanya 1.9mm. Bateri boleh dicas semula pada kuasa 66W melalui USB-C atau pengecasan wayarles Qi pada kuasa 50W.

Sistem operasi yang dijalankan Huawei Mate XT adalah HarmonyOS 4.2.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman spesifikasi Huawei Mate XT.