Selain melancarkan Zenbook A14, Asus Malaysia turut memperkenalkan keluarga Vivobook terbaru, iaitu Vivobook 14/16 untuk tahun 2025. Keluarga Vivobook terbaru ini menampilkan pilihan cip Snapdragon X, AMD Ryzen AI dan Intel Core Ultra (Series 2) sambil menggabungkan kuasa, tahap portabiliti tinggi dan rekaan yang tahan lasak.
Harga dan ketersediaan Asus Vivobook 14/16 di Malaysia
Laptop Vivobook 14/16 terbaru ini akan mula dijual di Malaysia mulai 7 Mac 2025. Menariknya, model Snapdragon X dan AMD Ryzen memiliki tanda harga yang sama untuk kedua-dua saiz 14-inci dan 16-inci. Berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- Asus Vivobook 14/16, Snapdragon X, RAM LPDDR5x 16GB, storan SSD 1TB – RM2,999
- Asus Vivobook 14/16, AMD Ryzen AI 7 350, RAM DDR5 16GB, storan SSD 512GB – RM3,499
- Asus Vivobook 16, Intel Core Ultra 5 225H, RAM DDR5 16GB, storan SSD 1TB – RM3,399


Sekitranya tersedia nanti, anda boleh dapatkannya di stor online Asus Malaysia.
Spesifikasi Asus Vivobook 14/16

Walaupun tampil dalam pilihan cip pemproses yang berlainan, kesemua varian terkini Asus Vivobook 14/16 ini berkongsi perkakasan luaran yang sama. Tersedia dalam saiz sama ada 14-inci atau 16-inci, Vivobook terbaru ini didatangkan dengan paparan IPS LCD dengan resolusi FHD+ (1920 x 1200) dalam nisbah 16:10 dan sokong kecerahan puncak 300 nits.

Binaan laptop juga agak ringan dan nipis, bermula 1.46kg dan 1.79cm untuk varian 14-inci. Pun begitu, Vivobook 14/16 didatangkan dengan rekaan yang tahan lasak memenuhi piawaian MIL-STD-810H, selain tersedia dalam dua warna biru untuk model 14-inci dan emas untuk model 16-inci.

Seperti yang dinyatakan di atas, anda boleh dapatkan Vivobook 14/16 dalam tiga pilihan cip pemproses sama ada Snapdragon X, Ryzen AI 7 350 atau Intel Core Ultra 5 225H. Sementara kesemua model dilengkapi dengan RAM 16GB, model AMD Ryzen hadir dengan storan 512GB, manakala model Snapdragon X dan Core Ultra 5 pula mempunyai storan lebih besar 1TB.


Hayat bateri laptop dikatakan boleh mencecah sehingga 29 jam, tetapi terdapat perbezaan pada segi kapasiti bateri yang dimuatkan. Varian laptop Snapdragon X menerima bateri 50Whr, sementara dua lagi varian menerima bateri 42Whr. Namun, semua varian menyokong pengecasan 65W dan Asus mengatakan laptop boleh dicas ke 60% dalam masa 49 minit.




Penawaran port yang boleh ditemukan pada Vivobook 14/16 termasuk dua USB-C (USB 4) yang menyokong DisplayPort dan PD, dua USB-A (USB 3.2 Gen 1), satu HDMI (HDMI 2.1 pada model Snapdragon dan AMD, HDMI 1.4 pada model Intel) dan jek audio 3.5mm. Untuk ketersambungan, ia menyokong WiFi 6 dan Bluetooth 5.3.


Ciri-ciri lain yang ada pada laptop termasuk papan kekunci ErgoSense dengan jarak tekan 1.7mm, touchpad 30% lebih besar dengan sokongan Smart Gesture, dan juga sistem dua speaker bersama-sama dengan mikrofon dengan teknologi pembatalan hingar AI. Vivobook 14/16 juga dilengkapi kamera webcam FHD IR yang menyokong Windows Hello dan menjalankan Windows 11 Home.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Asus Vivobook 14/16.