Macam yang dijanjikan, Oppo hari ini telah rasmi melancarkan telefon lipat terbaru mereka, iaitu Oppo Find N5. Ia dikatakan telefon lipatan buku paling nipis di dunia setakat ini, serta didakwa Oppo adalah telefon lipat pertama yang dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite dan diiktiraf kalis air IPX9.
Harga dan ketersediaan Oppo Find N5 di Malaysia

Oppo Find N5 dilancarkan di Malaysia pada harga RM7,999 untuk RAM 16GB dan storan 512GB. Ini adalah harga yang sama seperti Find N3 terdahulu. Terdapat dua pilihan warna yang ditawarkan untuk Find N5 iaitu hitam dan putih.
Spesifikasi Oppo Find N5

Rupa paras Oppo Find N5 telah pun didedahkan sebelum ini, dengan ia menampilkan rekaan ultra nipis hanya berukuran 8.93mm dalam keadaan terlipat, menjadikannya sedikit lebih tebal daripada telefon bukan lipat biasa. Apabila lipatannya dibuka, ia hanya berukuran 4.21mm, hampir setebal port USB-C yang ada dibawahnya. Oppo mengatakan port USB-C perlu disesuaikan untuk muatkannya pada badan senipis ini.

Selain nipis, Find N5 juga agak ringan dengan berat 229 gram. Rekaan senipis ini dikatakan Oppo dapat dicapai dengan penggunaan engsel Titanium Flexion Hinge baru. Engsel ini menerima pensijilan TUV Rheinland untuk kategori “Reliable Folding” dan Oppo mengatakan engsel pada model terbaru kini 26% lagi nipis dan 36% lagi kukuh berbanding sebelumnya.
Bercakap mengenai skrin, Find N5 telah dinaik taraf untuk ada paparan lebih besar. Paparan dalamannya kini sebesar 8.12-inci, menjadikan paling besar yang terdapat di telefon lipatan buku. Malah, didakwa peranti ini turut menawarkan paparan lebih luas berbanding iPad mini.


Skrin dalaman Find N5 ini adalah jenis LTPO yang menyokong kadar penyegaran 1-120Hz dan kecerahan puncak mencecah 2,450 nits. Sementara itu, paparan di luar pula adalah sebesar 6.62-inci jenis LTPO dan ia menyokong kadar penyegaran 1-120Hz dengan kecerahan puncak lebih tinggi pada 2,450 nits.
Menurut Oppo, kesan lipatan skrin dalaman Find N5 juga kini lebih minima dengan penggunan engsel baru, selain skrinnya turut dilapisi dengan penapis anti silau untuk tambah baik penggunaan skrin di bawah cahaya matahari.

Untuk ketahanan lebih baik, Find N5 menggunakan bingkai aluminium siri 7000 bersama-sama dengan kaca nanocrysta pada skrin luaran dan lapisan tahan jatuh pada skrin dalamannya. Bukan itu sahaja, Find N5 juga dikatakan adlaah telefon lipat pertama yang diiktiraf kalis air IPX9, bermakna ia bukan sahaja boleh diselam dalam air, tetapi juga mampu bertahan pancutan air tekanan tinggi.
Atas papan utama, ia diperkasa cip Snapdragon 8 Elite, pertama yang digunakan di telefon lipat dan cip itu dipadankan dengan RAM LPDDR5X seluas 16GB dan storan UFS 4.0. Oppo Find N5 dijamin akan menerima kemas kini OS selama 4 tahun dan kemas kini keselaman 5 tahun.


Seperti kebanyakan telefon flagship 2025, Find N5 juga didatangkan dengan pelbagai fungsi AI untuk keperluan produktiviti dan pengimejan, termasuk AI Call summary, AI Translation, AI Image Editing dan Google Gemini bersama-sama dengan Circle to Search.
Selain itu, antara muka pada telefon juga telah dioptimumkan untuk menyokong pembukaan sehingga tiga aplikasi serentak dan peranti juga boleh digunakan bersama pen stylus Oppo Pen. Salah satu ciri baharu yang menarik adalah O+ Connect yang membolehkan pengguna untuk mengakses peranti Mac secara jarak jauh dengan hanya menggunakan Oppo Find N5.

Di samping menyokong untuk drag dan drop merentasi aplikasi di telefon pintar, O+ Connect juga menyokong sentuhan untuk menjadikan Find 5 sebagai touchpad. Untuk memanfaatkan ciri ini, aplikasi O+ Connect perlu di pasang pada peranti Mac dan pastikan ia memiliki sambungan internet. Ciri O+ Connect ini akan tersedia serta-merta untuk Mac sejurus pelancaran dan versi untuk Windows akan dilancarkan pada masa hadapan.

Sistem kamera Find N5 masih menggunakan penjenamaan Hasselblad. Di belakang, ia dimuatkan dengan tiga kamera iaitu kamera utama 50MP OIS f1.89 menggunakan sensor LYT700, kamera ultralebar 8MP f/2.2 dan kamera telefoto periskop 50MP OIS f/2.7 yang memanfaatkan sensor Samsung JN5. Kamera telefotonya menawarkan zum hibrid 30x.


Bahagian pengimejannya turut menampilkan AI Telescope zoom yang diperkenalkan pada siri Oppo Find X8. Ia juga lengkap dengan fungsi telemacro yang menawarkan fokus sedekat 10cm. Untuk Selfie, terdapat kamera 8MP pada skrin dalaman dan luarannya.

Membekalkan tenaga pada Find N5 adalah bateri silikon-karbon generasi kedua yang berkapasiti 5600mAh, dengan bateri tersebut hanya berkuran 2.1mm. Untuk mengecas, menyokong pengecasan yang sama seperti Find X8, iaitu 80W SuperVOOCmelalui USB-C yang didakwa Oppo mampu cas ke 100% mengambil masa 47 minit, dan wayarles 50W AirVOOC. Kepala pengecas masih diberikan di dalam kotak dan telefon turut menyokong PD.
Sistem bunyi pada Find N5 adalah stereo dengan dua speaker dan ia menyokong ciri ketersembangunan seperti WiFi 7 dan Bluetooth 5.4.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Oppo Find N5.