Acer Malaysia telah memperkenalkan barisan monitor gaming terbaharu di bawah jenama AOPEN. Ia merangkumi empat model, dengan dua daripadanya adalah monitor gaming melengkung 32HC5QU S3 dan 27HC5R Z1, di samping dua lagi monitor paparan rata 27KG3U M3 dan 25MV1Q Z1.
Barisan monitor baharu ini dikatakan menyediakan pengalaman gaming mengasyikkan pada harga berpatutan. Ia dilengkapi dengan AMD FreeSync, sokongan HDR10, kadar penyegaran sepantas 280Hz serta dikatakan mempunyai tahap cahaya biru rendah untuk melindungi mata pengguna.
Harga monitor AOPEN di Malaysia


Kepada mereka yang berminat, keempat-empat monitor gaming AOPEN ini boleh didapatkan di Malaysia sekarang pada harga seperti berikut:
- AOPEN 32HC5QU S3 – RM899
- AOPEN 27HC5R Z1 – RM699
- AOPEN 27KG3U M3 – RM699
- AOPEN 25MV1Q Z1 – RM569


Untuk membuat pembelian, anda boleh singgah ke stor online Acer, atau gedung rasmi mereka di Lazada dan Shopee.
Spesifikasi monitor gaming AOPEN baharu

Bermula dengan AOPEN 32HC5QU S3, ia adalah monitor gaming melengkung dengan skrin bersaiz 31.5-inci menggunakan panel paparan VA beresolusi WQHD. Skrinnya ada lengkungan 1500R menawarkan pandangan yang luas, serta menyokong kadar penyegaran 180Hz dan masa respons TVR (Turbo Visual Response) serendah 1ms. Ia juga dilengkapi dengan dua speaker berkuasa 2W.
Kedua, AOPEN 27HC5R Z1 juga merupakan monitor melengkung dengan lengkungan 1500R, tetapi dengan skrin 27-inci. Ia menggunakan panel paparan VA dengan resolusi FHD, cakupan warna sRGB 99%, sokong kadar penyegaran lebih pantas 280Hz dan masa respons TVR 1ms. Terdapat juga dua speaker berkuasa 2W pada monitor.

Seterusnya adalah AOPEN 27KG3U M3. Ia satu-satunya monitor ini dalam barisan yang hadir dengan panel paparan IPS LCD. Ia berukuran 27-inci dengan resolusi WQHD, serta sokong kadar segar semula 180Hz dan masa respons GTG 0.5ms, selain turut menyokong HDR10 untuk kontras warna yang dipertingkatkan.

Akhir sekali dan paling murah, AOPEN 25MV1Q Z1 yang tampil dengan skrin 24.5-inci. Panel paparan yang digunakan adalah jenis VA dengan kadar penyegaran 180Hz, masa respons TVR 1ms dan menggunakan resolusi FHD. Paparannya turut mempunyai cakupan warna sRGB 99% dan bunyi monitor dikeluarkan speaker berkuasa 2W.
Dalam masa sama, kesemua monitor turut memiliki dua port HDMI, satu DisplayPort dan satu jek audio, serta serasi dengan pelekap VESA.
Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh layari laman produk monitor AOPEN.