Xiaomi 15 Ultra turut rasmi dilancarkan di pentas antarabangsa dan kini tersedia untuk dipratempah di Malaysia. Sebagai pengganti kepada Xiaomi 14 Ultra, ia adalah model tertinggi dalam barisan Xiaomi 15 yang memfokuskan fotografi, menampilkan sistem kuadkamera yang dibangunkan bersama Leica.
Walaupun ia kelihatan seperti kemas kini kecil, flagship terbaru ini kini dipertingkatkan untuk ada kamera telefoto dengan resolusi jauh lebih tinggi.
Harga dan ketersediaan Xiaomi 15 Ultra di Malaysia

Xiaomi 15 Ultra ditawarkan dalam dua pilihan storan dan berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- 16GB + 512GB – RM5,199
- 16GB + 1TB – RM5,699
Ia tersedia dalam tiga warna iaitu hitam, putih dan perak. Mereka yang berminat boleh dapatkannya melalui stor dalam talian Xiaomi Mi.com, atau gedung rasmi mereka di Lazada dan Shopee.

Sebagai promosi tempahan awal, Xiaomi Malaysia turut menyertakan pembelian dengan kit fotografi Legend Edition Xiaomi 15 Ultra bernilai RM799, fon telinga Xiaomi OpenWear Stereo bernilai RM599 dan rebat RM100. Ini bermakna, versi storan 512GB Xiaomi 15 Ultra boleh dibeli pada harga RM5,099, manakala versi storan 1TB boleh dibeli pada harga RM5,599.
Tawaran tempahan awal oleh Xiaomi Malaysia ini akan tersedia sehingga 7 Mac, sementara stok masih ada.
Spesifikasi Xiaomi 15 Ultra

Seperti yang dikatakan tadi, Xiaomi 15 Ultra adalah model tertinggi dalam siri flagship Xiaomi 15. Di hadapan, ia dikenakan dengan paparan berukuran 6.73″ jenis AMOLED dengan resolusi 3200×1440. Ia juga sangat cerah dengan memiliki kecerahan puncak 3,200 nits dan sokong kadar penyegaran 120Hz.
Menjadi tunjang utama kepada Xiaomi 15 Ultra adalah cip Snapdragon 8 Elite yang dipadankan dengan RAM LPDDR5X seluas 16GB dan storan UFS 4.1 sehingga 1TB.

Fokus utama pada Xiaomi 15 Ultra terletak pada sistem kuadkameranya yang dibangunkan bersama Leica. Ia masih menampilkan kamera utama 50MP f/1.63 dengan jarak fokal 23mm menggunakan sensor Sony LYT-900, tetapi kini sudah tidak menyokong apertur boleh ubah seperti generasi sebelumnya.
Naik taraf terbesar adalah, berbanding kamera telefoto 50MP, Xiaomi 15 Ultra kini dilengkapi kamera telefoto 200MP 100mm yang menggunakan sensor besar 1/1.4″ Samsung HP9 dan mampu menawarkan zum optikal 4.3x. Terdapat juga kamera telefoto kedua 50MP f/1.8 70mm mampu zum optikal 3x dan kamera ultralebar 50MP, di samping kamera selfie 32MP.

Membekalkan tenaga pada peranti adalah bateri 5,410mAh yang menyokong pengecasan 90W USB-C dan wayarles 80W. Ia juga dilengkapi dengan tahap kekalisan air IP68, pemancar inframerah, Bluetooth 6.0, WiFi 7 dan akan menjalankan sistem operasi HyperOS 2 berasaskan Android 15.
Kit fotografi Xiaomi 15 Ultra

Untuk memaksimumkan pengalaman fotografi dengan Xiaomi 15 Ultra, seperti sebelum ini, Xiaomi turut menyediakan kit fotografi baru yang telah dipertingkatkan. Selain dikenakan dengan rupa lebih premium dan cengkaman lagi baik, kit ini juga didatangkan dengan aksesori untuk sokongan jari yang boleh ditanggal, butang shutter kamera boleh tukar dan kapasiti bateri terbina 2,000mAh.





Kit ini boleh disambungkan pada Xiaomi 15 Ultra menggunakan port USB-C, dan kit juga kalis diiktiraf kalis percikan air IP54. Kit fotografi baru ini dijual pada harga RM799 dan ia disertakan secara percuma dengan tempahan awal, sementar astok masih ada.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Xiaomi 15 Ultra, anda boleh layari laman produknya di sini.