Selepas mengumumkan iPad dan iPad Air baharu, Apple kini telah memperkenalkan pula MacBook Air baharu untuk tahun 2025 yang dikemas kini dengan cip Apple M4. Selain menerima naik taraf cip, MacBook Air 13″ dan 15″ terbaharu ini turut didatangkan dengan warna baru dan menariknya ada tanda harga lebih murah berbanding MacBook Air M3.
Harga Apple MacBook Air (M4) 2025 di Malaysia

MacBook Air M4 setakat ini masih belum tersedia untuk dibeli, tetapi telah disenaraikan di stor dalam talian Apple sebagai “akan datang”. Ditawarkan dalam saiz 13″ dan 15″, berikut adalah harga jualannya di Malaysia sebelum konfigurasi diubahsuai:
MacBook Air 13 (M4) 2025
- CPU 10-teras, GPU 8-teras, 16GB+256GB – RM4,499
- CPU 10-teras, GPU 10-teras, 16GB+512GB – RM5,349
- CPU 10-teras, GPU 10-teras, 24GB+512GB – RM6,199
MacBook Air 15 (M4) 2025
- CPU 10-teras, GPU 10-teras, 16GB+256GB – RM5,499
- CPU 10-teras, GPU 10-teras, 16GB+512GB – RM6,349
- CPU 10-teras, GPU 10-teras, 24GB+512GB – RM7,199
Jika konfigurasi diubahsuai ke tahap maksimum, MacBook Air (M4) 13″ dengan RAM 32GB dan storan SSD 2TB akan berharga RM9,599, manakala versi 15″ akan berharga RM10,599.


Untuk pelajar dan kakitangan institusi pendidikan, harga pendidikan Apple untuk MacBook Air M4 bermula RM4,096 untuk model 13″ dan RM5,096 untuk 15″.
MacBook Air baharu ini tersedia dalam empat pilihan warna termasuk warna Sky Blue baru yang menggantikan Space Grey. Tiga lagi warna adalah Silver, Midnight dan Starlight.
Sebagai perbandingan, MacBook Air M4 memiliki tanda harga RM500 lebih murah berbanding model sebelumnya, MacBook Air M3 yang dilancarkan pada harga RM5,199 dengan RAM 8GB. Pada Oktober 2024, Apple telah meningkatkan daripada RAM 8GB ke 16GB dan turunkan harga permulaannya kepada RM4,999.
Spesifikasi MacBook Air M4

Sebahagian besar perkakasan luaran MacBook Air M4 kekal tidak berubah berbanding model tahun lepas. Keseluruhan dimensinya kekal sama dengan ketebalan 1.12cm dan berat 1.24kg untuk model 13″, manakala versi 15″ memiliki ketebalan 1.15cm dan berat 1.51kg.
MacBook Air M4 masih menampilkan paparan Liquid Retina berukuran 13.6-inci beresolusi 2560×1664 piksel dengan kecerahan puncak 500 nits, sementara model 15-inci turut menggunakan panel paparan sama tetapi dengan resolusi lebih tinggi 2880×1864 piksel.
Cip M4 baharu ini mempunyai 10 teras pada CPU-nya, iaitu dua teras lebih banyak berbanding versi M3. Ia juga menawarkan jalur lebar memori lebih tinggi pada 120GB/s berbanding 100GB/s di M3, serta sokong RAM sehingga 32GB berbanding 24GB di M3.

Lagi perkara yang dinaik taraf adalah, MacBook Air M4 kini menggunakan kamera 12MP dengan Centre Stage yang turut menyokong ciri Desk View, selain boleh lakukan FaceTime pada 1080p. Untuk audio, versi 13″ dilengkapi empat speaker dengan sokongan spatial audio, manakala versi 15″ ada sebanyak enam speaker.
MacBook Air ini juga masih didatangkan dengan pencahayaan pada papan kekunci, Touch ID dan trackpad.
Fungsi ketersambungan yang disokong MacBook Air ini termasuk WiFi 6E dan Bluetooth 5.3, dan kedua-dua model turut mempunyai dua port Thunderbold 4 (USB-C), port pengecasan MagSafe dan jek audio.

Bateri berkapasiti 53.8 Wh dimuatkan pada model 13″ manakala model 15″ menerima bateri lebih besar 66.5Wh. Menurut Apple, kedua-dua model dapat menawarkan masa penggunaan sehingga 15 jam untuk melayari web dan sehingga 18 jam untuk penstriman video.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk MacBook Air M4.