Honor Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan lima peranti baru di Malaysia tidak lama lagi. Ia adalah sebahagian daripada rancangan Alpha Plan yang mereka umumkan di MWC 2025 sebagai usaha untuk mengubah syarikatnya daripada sekadar pengeluar telefon pintar kepada peneraju dalam ekosistem peranti yang dipacu AI.
Butiran mengenai lima peranti yang akan dilancarkan masih lagi belum didedahkan. Namun, melihat pada imej teaser yang dikongsikan, kita boleh jangkakan bahawa peranti tersebut akan merangkumi dua tablet, satu jam pintar, satu fon telinga dan satu laptop. Berdasarkan pengumuman Honor ketika MWC 2025, ini mungkin adalah senarai peranti yang Honor akan lancarkan di Malaysia.
Honor Pad V9

Honor Pad V9 telah dilancarkan secara global pada Disember tahun lepas. Ia merupakan tablet berkelas pertengahan yang tampil dengan skrin IPS LCD berukuran dengan resolusi 2.8K dan kadar penyegaran 144Hz. Tablet ini dikuasakan cip MediaTek Dimensity 8350 yang dipadankan bersama RAM sehingga 12GB dan storan 512GB.
Lain-lain spesifikasinya termasuk dilengkapi lapan speaker, bateri 10,100mAh, sokong pengecasan 35W USB-C dan menggunakan kamera belakang 13MP dan kamera depan 8MP.
Honor MagicBook Pro 14 2025

Seterusnya adalah laptop MagicBook Pro 14. Ia merupakan laptop dengan skrin peka sentuhan bersaiz 14-inci yang mempunyai resolusi 3.1K jenis OLED. Atas papan utama, ia diperkasa cip Intel Core Ultra 9 dengan bateri 92Whr yang didakwa Honor adalah kapasiti terbesar yang dimuatkan dalam laptop 14-inci dengan jangka hayat mencecah 12 jam.
Honor Watch Ultra 5

Honor Watch Ultra 5 adalah jam pintar flagship terbaru Honor yang dilancarkan pada MWC 2025. Ia didatangkan dengan kerangka titanium bersama-sama dengan kaca nilam untuk melindungi komponen skrinnya. Skrinnya AMOLED-nya sebesar 1.5-inci beresolusi 466 x 466 dengan kadar penyegaran 60Hz.
Badan jam juga diiktiraf kalis air IP68 dan 5ATM, serta ia dilengkapi dengan lebih 100 mod sukan untuk menjejak aktiviti kecergasan pemakai. Selain mempunyai fungsi penjejakan ECG, jam ini turut ada bateri 480mAh yang dikatakan dapat menawarkan masa penggunaan 15 hari.
Namun, jika perhatikan betul-betul, imej jam pintar jam pintar pada teaser memperlihatkan muka jam berbentuk petak, seakan Apple Watch, berbeza sekali dengan rekaan Watch Ultra 5 yang berbentuk bulat. Jadi, untuk kepastian, perlulah tunggu pengumuman dari Honor Malaysia.
Honor Earbuds Open

Fon telinga yang di dalam imej teaser berkemungkinan adalah Honor Earbuds Open. Namun, sebenarnya, fon telinga itu telah pun dilancarkan di Malaysia pada awal Januari lepas pada harga RM699. Jadi, tidaklah pasti sama ada Honor akan memperkenalkan versi yang dikemas kini ataupun varian yang baru.
Honor Earbuds Open dilengkapi dengan pemandu audio 16mm dengan ANC menggunakan tiga mikforon yang ia miliki. Fon telinga ini diperbuat daripada bahan silikon yang dikatakan mesra kulit dan mempunyai berat 7.9 gram untuk setiap fon telinga. Honor mendakwa fon Earbuds Open ini ada jangka hayat bateru 6 jam, dan boleh mencapai sehingga 22 jam dengan bekas pengecasnya.
Tablet baru?
Selain daripada empat produk yang disebutkan, terdapat satu lagi tablet yang ditunjukkan dalam imej teaser yang tidak pernah diperlihatkan sebelum ini. Modul kameranya menunjukkan rekaan yang berbeza berbanding Pad V9, maka ini mungkin adalah model tablet yang pertama kali akan diperkenalkan.