Samsung hari ini telah melancarkan Galaxy Ring di Malaysia. Ia adalah peranti penjejak kesihatan berbentuk cincin yang pertama kali didedahkan Samsung pada awal tahun lalu di acara MWC 2024. Cincin pintar dikuasakan AI ini bukan sahaja boleh menjejak kesihatan, tetapi juga kecergasan dan juga tidur anda dengan reka bentuk yang selesa dan mudah dipakai.
Untuk meraikan pelancarannya, Samsung Malaysia menawarkan diskaun ekslusif bagi pakej pemeriksaan kesihatan, turut bekerjesama dengan Sunway Medical Centre untuk tawarkan diskaun ekslusif bagi pakej pemeriksaan kesihatan, serta percuma Galaxy Ring untuk masa terhad.
Harga dan ketersediaan Samsung Galaxy Ring di Malaysia

Samsung Galaxy Ring dilancarkan di Malaysia pada harga RM2,099. Ia tersedia dalam tiga warna iaitu hitam, perak dan emas dan ditawarkan dalam sembilan saiz di antara 5 hingga 14. Selain itu, setiap Galaxy Ring yang dipesan juga akan disesuaikan mengikut saiz unik jari pengguna untuk memastikan kesesuaian yang ideal.
Bagaimanapun, pada awal pelancarannya dari 9 April hingga 30 April 2025, Galaxy Ring ini ditawarkan secara ekslusif kepada pengguna Galaxy Z dan siri Galaxy S. Mereka yang layak juga perlu mempunyai kod jemputan untuk membuat pembelian. Berikut adalah senarai peranti Galaxy Z dan siri Galaxy S yang terlibat:
- Galaxy S25/ S24/ S23/ S22/ S21/ S20
- Galaxy S24FE/ S23FE/ S22FE/ S21FE
- Galaxy Z Flip 6/ Flip 5/ Flip 4/ Flip 3
- Galaxy Z Fold 6/ Fold 5/ Fold 4/ Fold 3

Berikut pula adalah langkah terperinci untuk anda dapatkan Galaxy Ring di Malaysia:
- Lancarkan apikasi Samsung Members pada telefon pintar anda, pergi ke bahagian “benefit” dan tekan pada banner Galaxy Ring untuk dapatkan kod jemputan anda.
- Setelah menerima kod, ia akan disimpan di bahagian “My Coupons”.
- Kunjungi Samsung Experience Store terdekat untuk anda mencuba sendiri Galaxy Ring
- Pilih saiz dan warna yang sesuai dengan anda Perlu untuk dinyatakan bahawa Galaxy Ring perlu dipakai di jari telunjuk atau jari tengah.
- Setelah menjumpai saiz dan warna yang anda mahukan, anda boleh teruskan pembelian secara dalam talian melalui aplikasi Samsung Members.
Ia akan mengambil masa sekitar 6 minggu untuk Galaxy Ring anda dihasilkan dan dihantar ke rumah anda. Untuk tahu lebih lanjut, anda boleh layari laman produk Galaxy Ring Samsung Malaysia.
Selain itu, Samsung Malaysia juga bekerjasama dengan Sunway Medical Centre untuk menawarkan pakej Pemeriksaan Kesihatan Galaxy ekslusif dari 9 April hingga 30 Jun 2025. Pengguna Galaxy Z dan siri Galaxy S yang layak boleh membeli salah satu daripada pakej pemeriksaan kesihatan menggunakan kod promo yang terdapat di aplikasi Samsung Members mereka.

Lebih menarik, jika anda 100 pembeli terawal pakej pemeriksaan kesihatan tersebut, anda boleh nikmati diskaun 50% ke atas pakej pemeriksaan dan terima Galaxy Ring atau Galaxy Fit 3 secara percuma. Sebarang maklumat lanjut boleh anda dapatkan di halaman kempen ini.
Spesifikasi Galaxy Ring

Samsung Galaxy Ring merupakan cincin pintar yang anda boleh pakai di jari untuk menjejak kesihatan dan kecergasan harian anda. Cincin ini diperbuat daripada titanium dan memiliki berat di antara 2.3g hingga 3.3g bergantung pada saiz Galaxy Ring tersebut.
Untuk menjejak aktiviti pengguna, Galaxy Ring dilengkapi dengan tiga sensor di bahagian dalam cincin. Ini termasuk sensor akselorometer, sensor kadar degupan jantung optikal yang turut berfungsi mengukur tahap oksigen dalam darah, dan juga sensor suhu kulit yang berfungsi untuk memantau kitaran haid wanita.

Daripada segi kecergasan, cincin ini boleh menjejak aktiviti asas macam berjalan dan berlari secara automatik. Namun, kelebihan utama Galaxy Ring ini adalah, ia membolehkan anda untuk menjejak tidur dengan lebih selesa berbanding jam pintar biasa, kerana reka bentuknya mudah untuk dibawa pakai semasa tidur.
Sementara itu, untuk menambah baik kualiti tidur anda, aplikasi Samsung Health juga didatangkan dengan ciri ‘Sleep Coaching’ yang menyediakan analisis tidur anda dan tips untuk tambah baik kualiti tidur anda. Terdapat juga ciri ‘Snore Detection’ macam di jam pintar Galaxy Watch, tetapi ia memerlukan telefon untuk dicas dan berada dekat dengan anda.

Selain daripada memantau kecergasan dan kesihatan pengguna, Galaxy Ring ini juga menyokong kawalan melalui pergerakan. Kalau anda menekan dua kali ibu jari dan jari telunjuk atau jari tengah anda, Galaxy Ring boleh berfungsi sebagai alat kawalan jauh untuk tangkap gambar dan menutup penggera telefon.
Bergantung pada saiz, kapasiti bateri yang dimuatkan adalah berbeza di antara 18mAh hingga 23.5mAh dan Samsung mendakwa jangka hayat cincin boleh mencecah sehingga 7 hariuntuk saiz yang lebih besar 13 dan ke atas. Untuk saiz kecil, anda boleh jangkakan hayat bateri 4 hari.

Cincin boleh dicas menggunakan bekas lut sinar yang memiliki bateri berkapasiti 361mAh dan ia akan mengambil masa 30 minit untuk cas dari 0 ke 40% atau 90 minit untuk cas penuh. Galaxy Ring juga diiktiraf kalis air dan debu IP68 dan 10ATM, bermakna anda boleh memakainya ketika berenang ataupun mandi.
Dalam masa sama, anda juga perlu pastikan Galaxy Ring dipakai pada jari telunjuk atau tengah, serta garisan pada cincin menghadap ke atas tapak tangan. Ini adalah untuk memastikan sensor optikal berada pada kedudukan betul untuk mengukur kadar degupan jantung dengan tepat.
Galaxy Ring juga serasi digunakan dengan peranti Android, tetapi akan berfungsi dengan lebih baik dengan telefon pintar Samsung. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Galaxy Ring.