Sony telah melancarkan fon putik terbaru mereka, iaitu WF-C710N untuk pasaran Malaysia. Ia adalah fon putik Sony dengan penyaring hingar aktif (ANC) yang lebih mampu milik, dan merupakan kemas kini daripada WF-C700N yang telah Sony umumkan pada tahun 2023.
Fon putik WF-C710N mengekalkan sebahagian besar spesifikasi sama dengan WF-C700N, tetapi didatangkan dengan rekaan sedikit baru serta ada hayat bateri lebih panjang. Malah, harganya juga lebih murah.
Harga Sony WF-C710N di Malaysia

Bagi pengguna Malaysia yang berminat, fon putik Sony WF-C710N telah tersedia didapatkan di Malaysia sekarang pada harga RM499. Untuk rujukan anda, WF-C700N terdahulu dilancarkan pada harga RM549.
Lebih menarik, pada ketika ini, Sony turut menawarkan diskaun RM100 untuk WF-C710N, menjadikannya boleh didapati serendah RM399 melalui stor online Sony, serta gedung rasmi mereka di Lazada dan Shopee.



Dalam masa sama, Sony turut mengumukan fon telinga WH-CH720N tersedia dalam warna merah jambu baharu, dan WH-CH520 menerima varian warna merah jambu dan kuning baharu.
Spesifikasi Sony WF-C710N

Macam yang dikatakan awal tadi, fon putik WF-C710N ini menawarkan fungsi penyaring hingar aktif (ANC), dan Sony mengatakan ia telah dipertingkatkan dengan teknologi ‘Dual Noise Sensor’ untuk membatalkan bunyi luar dengan lebih berkesan, menggunakan dua mikrofonnya.


Terdapat juga mod Ambien yang membolehkan pengguna lebih peka terhadap bunyi persekitaran, dengan pelarasan sehingga 20 tahap, serta mod Adaptive Sound Control yang melaraskan tahap bunyi ambien secara automatik mengikut situasi.


Selain itu, hayat bateri WF-C710N juga telah ditambah baik. Pada fon putik, ia boleh berikan masa penggunaan sehingga 8.5 jam dengan ANC aktif atau 12.5 jam dengan ANC dimatikan. Bersama bekas pengecas, ia boleh menawarkan masa penggunaan sehingga 30 jam, dan mengecas 5 minit boleh berikan masa main 60 minit.

Audio fon putik dikeluarkan oleh pemandu 5mm, yang dibantu teknologi Digital Sound Enhancement Engine (DSEE) dan talaan seimbang untuk bunyi bass berdentum dan vokal yang jelas. Pengguna juga boleh menyesuaikan bunyi mengikut citara tersendiri menggunakan EQ tersuai pada aplikasi.
Bekas pengecasnyga juga memiliki rekaan kompak dan mudah dibawan dengan berat 38 gram, serta fon putik turut diiktiraf kalis percikan air IPX4. Padanan dengan peranti boleh dilakukan melalui Bluetooth 5.3, dan menyokong kodek audio seperti SBC dan AAC.




Ia tersedia dalam empat pilihan warna iaitu hitam, merah jambu, putih dan biru lut sinar. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Sony WF-C710N.