Acer hari ini telah memperkenalkan sejumlah produk baharu, termasuk barisan laptop Predator Helios 18 AI dan Helios 16S AI baharu untuk pasaran Malaysia. Kedua-dua laptop ini pada awalnya dilancarkan di CES 2025 dan telah pun dipertontonkan di Malaysia pada Januari lalu.
Selain daripada laptop Predator, Acer turut mengemas kini laptop Acer Aspire 7 dengan GPU yang lebih baharu dan skrin lebih pantas.
Harga Helios 18 AI, Helios Neo 16S AI dan Aspire 7

Berikut adalah harga jualan rasmi ketiga-tiga Helios 18 AI, Helios Neo 16S AI dan Aspire 7 di Malaysia:
- Predator Helios 18 AI (Intel Core Ultra 9 275HX, RTX 5080, RAM DDR5 96GB, SSD 4TB) – RM19,999
- Predator Helios Neo 16S AI (Intel Core Ultra 9 275HX, RTX 5070 Ti, RAM DDR5 32GB, SSD 1TB) – RM11,999
- Aspire 7 (Intel Core i5-12450H, RTX 3050, RAM DDR4 16GB, SSD 512GB) – RM3,299
Kepada mereka yang berminat, tempahan awal untuk Helios 18 AI kini dibuka sehingga 15 Mei, manakala Helios Neo 16S AI pula boleh dipratempah dari 15 Mei hingga 31 Mei, melalui kedai konsep Acer di seluruh Malaysia.


Sebagai promosi pelancarannya, pembeli kedua-dua laptop dalam tempoh tersebut juga akan menerima beg galas Predator bernilai RM599 dan berpeluang untuk membeli monitor Predator XB273 pada harga hanya RM35 berbanding harga asal RM899.
Untuk laptop Aspire 7, ia akan mula dijual bermula 9 Mei. Jika anda membelinya sebelum 23 Mei, anda juga akan menerima speaker Bluetooth bernilai RM179 dan menebus kredit Touch ‘n Go eWallet bernilai RM80 di www.a-redemption.com/greatestrewards2025.
Anda boleh dapatkan Aspire 7 melalui Acer eStore, Lazada, Shopee dan semua pengedar sah Acer di Malaysia.
Spesifikasi Predator Helios 18 AI

Helios 18 AI menawarkan prestasi setaraf desktop dalam bentuk mudah alih. Ia dilengkapi paparan IPS Mini LED bersaiz 18″ dengan resolusi WQXGA 2K dan kadar segar semula sepantas 250Hz. Paparannya turut menyokong cakupan 100% warna gamut DCI-P3 dan kecerahan puncak 1,000 nits.
Atas papan utama, ia diperkasa cip pemproses Intel Core Ultra 9 275HX yang dipadankan dengan RAM DDR5 sebesar 96GB dan storan SSD 4TB. Terdapat juga lebihan dua slot RAM dan satu slot SSD, membolehkan kapasiti RAM diperluas sehingga 192GB dan SSD sehingga 6TB.

Kuasa grafik pula digerakkan oleh GPU GeForce RTX 5080 yang turut menyokong teknolosi DLSS 4 yang meningatkan kadar bingkai permainan untuk pengalaman lagi lancar. Bagi penyejukan, laptop ini menggunakan kipas AeroBlade 3D generasi ke-6, menampilkan bilah ternipis hanya 0.05mm, lantas berikan penyejukan lebih berkesan.
Terdapat sebanyak enam speaker yang dimuatkan pada Helios 18 AI dan ia menggunakan bateri berkapasiti 99Whr dengan pengecasan 400W.




Selain itu, laptop ini turut didatangkan dengan papan kekunci mekanikal MagKey 4.0 dengan kunci WASD yang boleh ditukar ganti. Daripada segi sambungan, ia menyokong WiFi 7 dan ThunderBolt 5 untuk penghantaran data yang pantas.
Spesifikasi Predator Helios Neo 16S AI

Predator Helios Neo 16 AI pula adalah laptop gaming yang memfokuskan rekaan nipis dengan prestasi tertinggi. Badan laptop ini berukuran hanya 18.9mm. Di bahagian depan, ia menggunakan paparan OLED 16″ dengan resolusi WQXGA 2560 x 1600, sokong kadar segar semula 240Hz dan ada cakupan warna penuh DCI-P3.

Seperti Helios 18 AI, laptop ini turut menggunakan Intel Core Ultra 9 275HX, tetapi disediakan dengan RAM DDR5 32GB dan storan SSD seluas 1TB. Berkenaan GPU, ia menggunakan GeForce RTX 5070 TI yang turut menampilkan tenologi NVIDIA DLSS 4 untuk prestasi dan kualiti imej yang dipertingkatkan.



Untuk sistem penyejukan, laptop ini dilengkapi dengan kipas AeroBlade generasi ke-5 serta sebatian logam cecair pada CPU bagi penyejukan yang lebih cekap. Laptop ini juga dimuatkan dengan bateri berkapasiti 76Whr dan menyokong pengecasan pantas sehingga 230W.
Spesifikasi Acer Aspire 7

Akhir sekali adalah Acer Aspire 7. Ia adalah laptop lebih mampu milik dengan spesifikasi sederhana, sesuai untuk kerja-kerja pejabat dan gaming ringan. Ia masih menggunakan cip pemproses Intel Core i5-12450H, tetapi telah dikemas kini dengan GPU RTX 3050.



Ia juga dipadankan dengan RAM DDR4 16GB dan storan SSD PCIe Gen 4 seluas 512GB. Paparannya jenis IPS LCD bersaiz 15.6″ dan sokong kadar segar semula 144Hz. Sambungan yang boleh anda temukan pada laptop termasuk WiFi 6E, Bluetooth 5.2, Thunderbolt 4 dan HDMI 2.1.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Helios 18 AI, Helios Neo 16S AI dan Aspire 7.