Selain melancarkan CMF Phone 2 Pro, jenama mampu milik Nothing ini turut memperkenalkan tiga fon putik baharu, iaitu CMF Buds 2, Buds 2 Plus dan Buds 2a. Ketiga-tiga fon putik hadir dengan fungsi penyaring hingar aktif (ANC), tetapi dengan teknologi ANC dan saiz pemacu audio yang berbeza.
Harga dan ketersediaan CMF Buds 2, Buds 2 Plus dan Buds 2a di Malaysia

Sama seperti CMF Phone 2 Pro, sejurus pengumumannya, tempahan awal untuk ketiga-tiga fon putik CMF buds 2, Buds 2 Plus dan Buds 2a telah pun dibuka di Malaysia sekarang. Jualan pertama bermula 6 Mei. Anda boleh dapatkannya melalui laman web Nothing, atau stor mereka di Lazada dan Shopee.
Berikut adalah harga jualan ketiga-tiga fon putik di Malaysia:
- CMF Buds 2 – RM199 (Shopee, Lazada)
- CMF Buds 2 Plus – RM229 (Shopee, Lazada)
- CMF Buds 2a – RM159 (Shopee, Lazada)


Untuk pembelian secara luar talian, anda boleh dapatkannya di semua pengedar sah Nothing di seluruh negara, kecuali untuk CMF Buds 2 Plus yang tersedia ekslusif dalam talian. Berikut adalah semua pengedar sah Nothing di Malaysia:
- DirectD
- TMT
- Uban Republic
- Vivid Concepts
- TAC Mobile
- SS Solution
- Nothing Image Store – Plaza Low Yat
Spesifikasi CMF Buds 2

Bermula dengan CMF Buds 2, ia hadir dengan pemacu audio bersaiz 11mm jenis PMI dengan sokongan Dirac Opteo. Dengan menyokong codec AAC dan SBC, fon putik ini turut dilengkapkan dengan teknologi CMF Ultra Bass dan Spatial Audio untuk pengalaman mendengar yang lebih imersif.
Bagi melenyapkan bunyi bising, CMF Buds 2 ini mempunyai fungsi ANC hibrid dengan keupayaan menyaring hingar sehingga 48dB. Ia juga mempunyai 6 mikrofon HD yang dibantu Clear Voice Technology 3.0 dan Wind Noise reduction 3.0 untuk memastikan panggilan yang kekal jelas.

Daripada segi sambungan, fon putik menggunakan Bluetooth 5.4 dengan sokongan Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair. Hayat bateri pada fon putik dikatakan boleh mencecah sehingga 7.5 jam dengan ANC atau mod ketelusan (Transparency) diaktifkan, manakala boleh mencecah sehingga 32 jam lamanya dengan bekas pengecas.
Fon putik turut menerima pengiktirafan kalis percikan air dan debu IP55, sementara bekas pengecas pula diiktiraf kalis percikan air IPX2. CMF Buds 2 ditawarkan dalam warna hijau, kelabu dan oren.
Spesifikasi CMF Buds 2 Plus

Beralih ke CMF Buds 2 Plus, ia adalah model paling premium dalam barisannya. Ia datang dengan pemacu audio 12mm jenis LCP, serta menyokong teknologi Hi-Res Wireless Audio dalam format LDAC, bersama-sama dengan AAC dan SBC.
Sistem ANC Hibrid juga dikenakan pada CMF Buds 2 Plus dengan kemampuan menyaring hingar sehingga 50dB, dan turut dilengkapkan dengan ciri Smart Adaptive Mode dan Spatial Audio.
Selain itu, ia turut menggunakan sambungan Bluetooth 5.4, dan boleh dipaut dengan pantas pada peranti melalui Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair. Sebanyak 6 mikrofon HD terdapat pada fon putik, juga dengan Clear Voice Technology 3.0 dan Wind Noise reduction 3.0.

CMF mendakwa Buds 2 Plus boleh menawarkan masa penggunaan sehingga 7.5 jam pada fon putik dengan mod ANC atau ketelusan dihidupkan, manakala sehingga 33 jam jika digunakan bersama bekas pengecas. Seperti Buds 2, Buds 2 Plus ini turut memiliki kalis percikan air IP55 pada putik dan IPX2 pada bekasnya.
Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu biru dan kelabu.
Spesifikasi CMF Buds 2a

Akhir sekali adalah giliran model paling mampu milik, iaitu CMF Buds 2a. Audionya dikeluarkan oleh pemacu audio Bio-fibre 12.4mm yang telah ditala oleh Dirac. Ia juga didatangkan dengan teknologi CMF Ultra Bass 2.0 dan menyokong codec AAC dan SBC melalui Bluetooth 5.4.
Berkenaan ANC, Buds 2a dikatakan berupaya untuk menyingkirkan bunyi hingar sehingga 42dB dan turut memiliki mod ketelusan. Untuk melakukan panggilan, terdapat 4 mikrofon HD pada fon putik dengan Clear Voice Technology dan Wind Noise Reduction 2.0.

Daripada segi bateri, fon putik dikatakan boleh menawarkan masa main lagu sehingga 5 jam dengan mod ANC dan ketelusan dihidupkan dan sehingga 23 jam dengan bekas pengecas. Tahap kekalisan air pada fon putik adalah pada IP54, manakala IPX2 pada bekas.
CMF Buds 2a tersedia dalam warna kelabu gela, kelabu cerah dan oren.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk CMF Buds 2, Buds 2 Plus dan Buds 2a.