Pelancaran MyKad generasi baharu pada 17 September 2026 yang menampilkan susun atur baharu serta 53 ciri keselamatan kini mencetuskan pelbagai isu teknikal buat pengguna.
Walaupun baru seminggu dikeluarkan, Mykad baharu ini gagal melepasi pengesahan sistem identiti digital (eKYC) pada pelbagai perkhidmatan utama termasuk bank digital, Touch ‘n Go eWallet, dan aplikasi MyDigital ID disebabkan masalah ketidakserasian rekaan dan susun atur sistem imbasan.
Aplikasi kewangan gagal mengesahkan MyKad baharu

Antara masalah utama yang dihadapi pengguna ialah isu pengesahan eKYC, di mana sistem pengesahan identiti digital pada pelbagai aplikasi kewangan gagal mengenali MyKad baharu. Isu ini menjejas perkhidmatan seperti Ryt Bank, AEON Bank, GXBank, serta aplikasi Touch ‘n Go eWallet.
Memandangkan kebanyakan sistem eKYC memerlukan pengguna mengimbas bahagian hadapan dan belakang MyKad, sesetengah platform gagal mengenali susun atur baharu berkenaan.
Terdapat pemegang MyKad baharu yang cuba mengesahkan identiti mereka pada aplikasi Touch n’ Go, namun sistem mengeluarkan mesej ralat yang menyatakan jenis ID tidak sah. Akibatnya, sistem-sistem ini perlu dikemas kini terlebih dahulu bagi menyokong rekaan MyKad baharu tersebut.
Pendaftaran dalam talian MyDigital turut terjejas

Masalah ini turut menjejas perkhidmatan identiti kebangsaan seperti aplikasi MyDigital ID. Apabila pemegang MyKad baharu cuba mengimbas kad mereka bagi tujuan pengesahan, aplikasi berkenaan memaparkan mesej ralat bertulis ID salah dikesan, pastikan MyKad yang betul berada di dalam bingkai.
Masalah ini berlaku memandangkan templat imbasan pada aplikasi tersebut masih menggunakan rekaan MyKad lama, di mana kedudukan gambar berada di sebelah kanan dan cip di sebelah kiri.

Susulan isu berkenaan, pihak MyDigital ID telah mengeluarkan notis rasmi bagi mengesahkan bahawa pengguna kali pertama yang memegang MyKad baharu tidak dapat melengkapkan pendaftaran secara dalam talian buat masa ini. Pihak mereka kini sedang menjalankan kemas kini sistem dan sokongan pendaftaran dalam talian bagi pemegang MyKad baharu dijangka hanya akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Oktober 2026.
Daftar MyDigital ID di kiosk

Pengguna sedia ada MyDigital ID yang telah menggantikan kad pengenalan mereka dengan MyKad baharu, tiada sebarang kesan terhadap sijil MyDigital ID sedia ada dan mereka boleh terus menggunakan platform tersebut seperti biasa.
Walau bagaimanapun, bagi pengguna kali pertama yang cuba mendaftar MyDigital ID menggunakan MyKad rekaan baharu ini, mereka perlu menggunakan kiosk fizikal MyDigital ID buat masa sekarang. Sila ambil perhatian bahawa cip kad kini terletak di bahagian belakang, jadi anda perlu membalikkan MyKad tersebut sebelum memasukkannya ke dalam pembaca kad (card reader).
Pssttt 📷, ada yang baru tukar ke IC baharu dan nak daftar MyDigital ID ?
— MyDigital_ID (@mydigital_ID) September 18, 2026
Korang boleh check dulu video ni sebelum buat pendaftaran.
Untuk pertanyaan lebih lanjut boleh hubungi kami di :
Hotline : +603 8687 2772
E-mel : [email protected] pic.twitter.com/hTTrxMLu6s
Cara daftar MyDigital guna MyKad baharu di kiosk:
- Pilih bahasa
- Baca PDPA dan tekan setuju
- Bagi pemegang Kad Pengenalan baharu, halakan bahagian cip MyKad ke atas dan masukkan kad pengenalan anda
- Pilih Daftar MyDigital ID
- Kemudian imbas cap jari dan sahkan butiran peribadi anda
- Buka aplikasi MyDigital ID di telefon pintar dan pilih Daftar di kiosk
- Imbas wajah untuk melengkapkan eKYC, pastikan wajah dalam bulatan sehingga proses selesai
- Selepas itu, set kata laluan anda minima 12 aksara termasuk huruf, nombor dan simbol
- Aktifkan biometrik jika perlu
Pengguna baharu boleh mendaftar di salah satu daripada hampir 700 kiosk MyDigital ID seluruh negara. Perlu diingatkan kerana cip berada di bahagian belakang kad, pastikan MyKad baharu diterbalikkan sebelum dimasukkan ke dalam mesin pembaca.
Selain itu, jika anda membuat atau menggantikan MyKad di JPN, maklumkan kepada pegawai untuk melakukan pra-pendaftaran MyDigital ID secara terus. Langkah ini membolehkan anda melengkapkan pendaftaran di telefon pintar tanpa perlu mengimbas kad (eKYC)
Tak perlu terburu-buru ganti MyKad baharu
Kalau MyKad lama anda masih elok dan boleh dibaca, simpan sahaja dulu. MyKad generasi baharu kini mengalami isu teknikal di mana sistem eKYC pada sesetengah aplikasi bank digital, e-dompet, dan MyDigital ID gagal mengesan rekaan baharu tersebut.
Malah JPN pun dah sahkan, kad lama anda masih sah digunakan dan tidak akan menjejaskan sebarang bantuan kerajaan seperti BUDI95. Jadi lebih baik tunggu sistem dari pihak bank dan kerajaan diperkemas terlebih dahulu baru tukar.
Sumber : SoyaCincau, SoyaCincau






