Samsung akhirnya telah melancarkan Galaxy S25 Edge, telefon pintar Galaxy S paling nipis setakat ini. Ia menampilkan badan titanium dengan tebal hanya 5.8mm dan berat 163g, menjadikannya bukan sekadar telefon nipis, tetapi satu pencapaian kejuruteraan yang mengagumkan, menurut Samsung.
Samsung turut mengatakan bahawa Galaxy S25 Edge membawa konsep telefon pintar nipis ke tahap lebih tinggi, sambil mengekalkan rekaan ikonik siri Galaxy S.
Spesifikasi Galaxy S25 Edge

Galaxy S25 Edge dilengkapi dengan paparan Dynamic AMOLED 2X bersaiz 6.7″ Quad HD+ (3120×1440) dengan kadar segar semula 120Hz, sama seperti siri Galaxy S25 lain. Tetapi, model Edge didatangkan dengan kaca Corning Gorilla Glass Ceramic 2 yang lebih tahan lasak pada skrin hadapan, manakala panel belakang menggunakan Gorilla Glass Victus 2.


Untuk perlindungan, Galaxy S25 Edge ini juga menerima penarafan IP68 terhadap air dan debu. Terdapat tiga pilihan warna yang ditawarkan untuk Galaxy S25 Edge iaitu hitam titanium, perak titanium dan biru titanium.
Atas papan utama, Galaxy S25 Edge turut dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite for Galaxy, sama seperti model Galaxy S25 yang lain. Cip ini menawarkan keupayaan pemprosesan AI atas peranti yang lebih canggih untuk menyokong Galaxy AI. Ia digandingkan dengan RAM 12GB dan storan dalaman sehingga 512GB.

Tentang kamera, Galaxy S25 Edge menampilkan tetapan dua kamera belakang, tanpa kamera telefoto. Sistem kameranya terdiri daripada kamera utama 200MP f/1.7 dengan OIS yang menawarkan zum optikal 2x, serta kamera ultralebar 12MP f/2.2. Selfie pula boleh ditangkap menggunakan kamera depan 12MP f/2.2 yang terletak di dalam lubang di atas skrin.

Sebagai peranti nipis, Galaxy S25 Edge dilengkapi dengan bateri yang lebih kecil iaitu 3,900mAh. Ia menyokong pengecasan pantas 25W melalui USB-C yang mampu mengecas dari 0-55% dalam masa kira-kira 30 minit. Selain itu, Galaxy S25 Edge juga menyokong pengecasan tanpa wayar pantas dan pengecasan tanpa wayar terbalik.
Ciri ketersambungan yang ada pada Galaxy S25 Edge termasuk 5G, WiFi 7, Bluetooth 5.4, UWB dan NFC. Sejurus keluar kotak, telefon ini akan menjalankan sistem operasi One UI 7 berasaskan Android 15. Ia juga dijamin menerima kemas kini OS sebanyak 7 kali dan keselamatan 7 tahun.
Samsung Galaxy S25 Edge hanya ditawarkan di pasaran terpilih

Walau bagaimanapun, bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Galaxy S25 Edge, malangnya ia tidak ditawarkan di pasaran Malaysia. Buat masa ini, ia hanya tersedia di beberapa pasaran terpilih termasuk Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, Australia dan China. Pelanggan di pasaran yang disebutkan tadi boleh membuat tempahan untuk peranti hari ini, 13 Mei 2025 dan peranti akan dijual secara meluas bermula 23 Mei 2025.
Berikut adalah harga jualan Galaxy S25 Edge di pasaran AS:
- RAM 12GB dan storan 256GB – USD1,099 (~RM4,759)
- RAM 12GB dan storan 512GB – USD1,299 (~RM4,759)
Daripada segi harga, Galaxy S25 Edge berada di antara model tertinggi Samsung Galaxy S25 Ultra dan Samsung Galaxy S25+. Sebagai promosi tempahan awalnya, Samsung turut menawarkan naik taraf storan dua kali ganda, bermakna anda boleh beli varian dengan storan 512GB pada harga 256GB.