Acer telah mengembangkan lagi penawaran laptop Copilot+ AI mereka dengan dua model baharu Swift Edge 14 AI dan Swift Go AI (dalam saiz 14 dan 16 inci). Kedua-dua model ini dikuasakan cip terkini Intel Core Ultra 200V Series yang dilengkapi NPU terbina, serta hadir dengan rekaan nipis dan skrin OLED, direka untuk memenuhi keperluan produktiviti dan kreativiti moden.
Spesifikasi Swift Edge 14 AI

Swift Edge 14 AI menampilkan reka bentuk ultra ringan dengan berat hanya 0.99 kg. Ia menggunakan casis ultra nipis diperbuat daripada aloi magnesium-aluminium, yang bukan sahaja lebih ringan berbanding aluminium biasa tetapi juga lebih tahan lasak. Binaan laptop ini juga mematuhi piawaian ketahanan Military Grade MIL-STD 810H, bermakna ia cukup lasak untuk digunakan di pelbagai situasi harian.

Bahagian skrin laptop didatangkan dengan panel OLED bersaiz 14-inci dengan resolusi 3K, yang turut menyokong cakupan 100% warna gamut DCI-P3 dan VESA DisplayHDR TrueBlack 500 memberikan visual yang tajam dan warna yang tepat. Ia juga laptop pertama Acer yang menggunakan kaca Corning Gorilla Matte Pro pada permukaan skrin, iaitu lapisan khas yang mengurangkan pantulan skrin sehingga 95% sambil meningkatkan keterlihatan skrin di luar.


Atas papan utama, Swift Edge 14 AI ditawarkan dengan pilihan cip pemproses sehingga Intel Core Ultra 9 288V. Bahagian GPU-nya menampilkan Intel Arc terbina, dan laptop menyokong RAM LPDDR5X sehingga 32GB dan storan PCIe Gen 4 SSD sehingga 1TB. Hayat bateri pula dijanjikan menawarkan masa penggunaan sehingga 21 jam.

Selain itu, pad sesentuh laptop ini dilengkapi dengan “AI Activity Indicator”, iaitu lampu khas yang menyala apabila ciri AI seperti NPU atau Copilot sedang beroperasi. Ciri ini memudahkan pengguna mengetahui secara langsung apabila fungsi AI aktif di belakang tabir. Sementara itu, papan kekuncinya menggunakan kemasan lembut dengan salutan UV khas yangyang tahan calar dan kotoran.
Spesifikasi Swift Go 14 dan Swift Go 16 AI

Swift Go 14 AI pula menyasarkan pengguna yang mahukan ciri AI premium dalam pakej lebih mampu milik. Ia hadir dalam dua saiz, iaitu 14-inci dan 16 inci, dengan masing-masing menggunakan skrin OLED bernisbah 16:10. Skrin ini turut menyokong VESA DisplayHDR True Black 500 dan dilengkapi Eyesafe 2.0 untuk keselesaan mata.


Bergantung pada model, Swift Go 16 AI ditawarkan dengan pilihan skrin sehingga OLED beresolusi WUXGA+ (2048×1280), manakala versi 14-inci pula hanya dilengkapi dengan panel OLED WUXGA (1920×1200). Kedua-dua laptop juga menampilkan rekaan nipis hanya 15.9mm dengan casis diperbuat daripada aluminium. Model 14-inci memiliki berat 1.39kg, semenara model 16-inci pula 1.6kg.

Selain ada rekaan nipis dan ringan, model Swift Go AI baharu ini turut menawarkan Acer Multi-Control dengan kawalan media, serta panggilan video terus dari permukaan pad sesentuh. Ia turut menyokong ciri MyKey yang membenarkan pengguna membuka beberapa aplikasi serentak dengan hanya satu klik.

Kdua-dua Swift Go 14 dan 16 AI disediakan dengan pilihan cip pemproses sehingga Intel Core Ultra 7 258V, bersama GPU Intel Arc terbina. Ia turut didatangkan dengan RAM LPDDR5X 32GB dan storan dalam PCIe Gen 4 SSD sehingga 2TB. Kedua-dua laptop ini dikatakan boleh menawarkan hayat penggunaan sehingga 16 jam untuk melayari laman web.
Kamera, mikrofon dan keselamatan pintar pada laptop Swift AI terbaharu
Ketiga-tiga laptop Acer Swift AI terbaru ini juga dilengkapi kamera webcam IR 1080p yang menyokong pengecaman wajah melalui Windows Hello untuk log masuk yang lebih selamat. Teknologi Acer User Sensing membolehkan skrin dikunci secara automatik apabila pengguna meninggalkan laptop, dan dibuka semula bila kembali.

Acer PurifiedVoice 2.0 pula membantu mengurangkan bunyi latar, menjadikan suara lebih jelas semasa panggilan video, menggunakan tiga mikrofon pada laptop. Laptop ini juga dilengkapi dengan beberapa lagi ciri AI lain, termasuk Acer Assist yang membolehkan pencarian sesuatu maklumat berdasarkan dokumen di dalam komputer.
Dari segi sambungan, ketiga-tiga laptop ini dilengkapi dengan HDMI 2.1, dua port USB-C yang menyokong Thunderbolt 4, serta sokongan untuk Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.4.
Harga dan ketersediaan Swift Edge 14 AI dan Swift Go AI
Berkenaan harga dan ketersediaan, Acer Swift Edge 14 AI dijadualkan tiba di pasaran Eropah bermula Jun ini dengan harga permulaan EUR1,599 (~RM7,730). Swift Go 14 AI pula akan menyusul pada bulan Julai, ditawarkan pada harga bermula EUR1,199 (~RM5,796), manakala model Swift Go 16 AI memasuki pasaran Eropah pada Ogos dengan tanda harga bermula EUR1,299 (~RM6,729).
Buat masa ini, Acer Malaysia masih belum memberikan sebarang maklumat sama ada laptop baharu ini akan ditawarkan di Malaysia ataupun tidak.