Infinix akhirnya telah melancarkan telefon gaming GT terbaru mereka, Infinix GT 30 Pro. Pelancaran di Malaysia ini menandakan kemunculan pertama model tersebut di peringkat antarabangsa, dan ia menerima perubahan besar dari segi rekaannya berbanding telefon GT sebelumnya.
Malah, model kali ini juga tampil dengan butang bahu yang dipanggil sebagai GT Trigger. Dalam masa sama, Infinix mendedahkan GT 30 Pro adalah telefon gaming rasmi untuk Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia Musim ke-16.
Harga dan ketersediaan Infinix GT 30 Pro

Infinix GT 30 Pro ditawarkan dalam dua varian di Malaysia, dengan harga seperti berikut:
- Infinix GT 30 Pro (12GB + 256GB): RM1,299
- Infinix GT 30 Pro (12GB + 512GB): RM1,499
Orang ramai boleh dapatkan GT 30 Pro melalui stor rasmi Infinix di Lazada, Shopee dan TikTok, serta di semua pengedar sah mereka di Malaysia. Untuk meraikan pelancarannya, pembelian GT 30 Pro juga akan disertakan dengan hadiah percuma iaitu kipas penyejuk MagCharge Cooler dan sarung MagCase, sementara stok masih ada.
Dari segi warna, model storan 256GB tersedia dalam tiga pilihan warna, iaitu hitam, putih dan perak. Model storan 512GB pula ekslusif tersedia dalam warna hitam.
Spesifikasi Infinix GT 30 Pro

Seperti GT10 Pro dan GT20 Pro terdahulu, Infinix GT 30 Pro masih meneruskan rekaan diinspirasikan daripada Mecha, namun tampil dengan rekaan berbeza sepenuhnya. Infinix mengatakan GT 30 Pro dibina dengan rangka CNC yang diukir dengan tekstur mekanikal berserta menggunakan kerangka komposit yang tahan lasak.
Pada panel belakang, GT 30 Pro ini dilengkapi dengan empat bahagian lampu RGB yang dipanggil sebagai “Mechanical Light Waves”, menampilkan lebih 14 mod gaming dan lebih 20 kesan pencahayaan. Lampu ini turut boleh berinteraksi dengan panggilan, mesej, pengecasan, lagu dan aksi di dalam game.

Macam kebanyakan telefon gaming, Infinix GT 30 Pro ini turut didatangkan dengan butang bahu, yang mereka gelar sebagai GT Trigger. Butang ini memiliki kadar pensampelan sentuh setinggi 2160Hz, dan turut berfungsi sebagai butang produktiviti untuk menangkap gambar, lancarkan aplikasi dan kawalan media.


Di hadapan, telefon ini dikenakan dengan paparan AMOLED 6.78″ beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz. Kecerahan puncak panel boleh mencecah setinggi 4,500 nits.

Atas papan utama, Infinix GT 30 Pro dikuasakan cip MediaTek Dimensity 8350 yang dipadankan dengan RAM LPDDR5X seluas 12GB dan storan UFS 4.0 pantas sebesar 512GB. Ia juga didatangkan dengan sistem penyejukan 3D Vapor Cloud Chamber, dan menyokong pengecasan Bypass Charging 2.0.
Infinix turut menyatakan GT 30 Pro juga adalam peranti GT pertama yang menawarkan Sistem FPS Penuh Sepanjang Hari, membolehkan game seperti Mobile Legends dimainkan pada kadar bingkai tinggi 120FPS secara berterusan.

Sistem kamera GT 30 Pro menampilkan tetapan dua kamera belakang, iaitu kamera utama 108MP dan kamera ultralebar 8MP. Selfie pula boleh ditangkap menggunakan kamera depan 13MP ditempatkan dalam lubang di dahi skrin. Membekalkan tenaga pada GT 30 Pro adalah bater 5,500mAh yang menyokong pengecasan 45W USB-C, berserta pengecasan wayarles 30W.

Sejurus keluar kotak, GT 30 Pro menjalankan sistem operasi XOS GT berasakan Android 15. Infinix turut menjanjikan telefon menerima kemas kini OS sehingga dua tahun dan keselamatan tiga tahun.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Infinix GT 30 Pro.