Realme kini telah melancarkan barisan telefon flagship terbaharu mereka, iaitu siri Realme GT 7 secara global dan juga di Malaysia. Model baharu ini menyertai GT 7 Pro yang dilancarkan hujung tahun lepas, dan terdiri daripada tiga model, GT 7, GT 7T serta GT 7 “Dream Edition”, iaitu edisi terhad hasil kerjasama dengan pasukan Aston Martin Aramco Formula One.
Harga dan ketersediaan siri Realme GT 7 di Malaysia

Berikut adalah harga jualan siri Realme GT 7 di Malaysia:
- Realme GT 7 (12GB+512GB) – RM2,599
- Realme GT 7 Dream Edition (16GB+512GB) – RM2,999
- Realme GT 7T (12GB+256GB) – RM1,999


Sebagai promosi pelancarannya, Realme turut menawarkan hadiah percuma bernilai sehingga RM997 yang merangkumi selfie stick, jaminan lanjutan 1 tahun dan jaminan skrin, untuk pembelian dari 31 Mei hingga 30 Jun 2025. Kalau berminat, anda boleh dapatkan siri Realme GT7 stor rasmi Realme, atau gedung rasmi mereka di Lazada dan Shopee.
Shopee
Lazada
Spesifikasi Realme GT 7

Realme GT 7 tampil dengan rekaan seiras model GT 7 Pro, lengkap dengan panel belakang graphene yang dikenali sebagai IceSense. Menurut Realme, bahan ini menawarkan keupayaan pelesapan haba enam kali lebih baik berbanding panel kaca. Daripada segi ketahanan, telefon turut diiktiraf kalis air dan debu IP69.

Di bahagian hadapan, ia dilengkapkan dengan paparan LTPO AMOLED bersaiz 6.78″ dengan resolusi QHD+ (2780×1264) dan ada kadar segar semula 120Hz. Untuk kegunaan luar, skrin ini mempunyai kecerahan puncak mencecah 6,000 nits dan menyokong Dolby Vision.
Kuasa penggerak utama Realme GT 7 dikuasakan cip MediaTek Dimensity 9400e, digandingkan dengan 12GB RAM dan storan 512GB. Ia juga menyokong permainan pada kadar sehingga 120fps untuk permainan seperti Mobile Legends: Bang Bang, PUBG, Subway Surfers, Clash of Clans, Call of Duty: Mobile, Brawl Stars, League of Legends: Wild Rift dan Clash Royale.

Untuk menangkap gambar, Realme GT 7 hadir dengan tiga kamera belakang. Ia adalah kamera utama 50MP f/1.88 menggunakan sensor Sony IMX906 1/1.56, kamera ultralebar 8MP dan kamera telefoto 50MP f/2.0 berkemampuan zum optikal 2x. Selfie pula diambil menggunakan kamera depan 32MP f/2.45.

Membekalkan tenaga pada telefon adalah bateri sebesar 7,000mAh, yang menyokong pengecasan pantas 120W melalui USB-C. Realme mendakwa mengecas dari 0 ke 50% boleh dicapai dalam masa 14 minit, manakala mengecas penuh pula akan mengambil masa sekitar 40 minit. Fungsi Bypass Charging turut tersedia untuk mengurangkan haba ketika bermain sambil dicas.
Dari segi ketersambungan, Realme GT 7 didatangkan dengan WiFi 7, Bluetooth 5.4 dan NFC. Sejurus keluar kotak, ia akan menjalankan Realme UI 6..0 berasaskan Android 15.
Realme GT 7 “Dream Edition”

Realme GT 7 Dream Edition hadir dengan spesifikasi sama seperti model asal, tetapi diberikan sentuhan eksklusif hasil kerjasama dengan pasukan Aston Martin Aramco Formula One. Ia hadir dalam warna hijau Aston Martin Racing dengan logo “Silver Wing”, serta garisan aerodinamik pada panel belakang yang diinspirasikan daripada aliran udara berkelajuan tinggi pada perlumbaan Formula One.




Antaramukanya juga disesuaikan sepenuhnya dengan tema Aston Martion, termasuk pada ikon aplikasi, animasi pengecasan, animasi semasa telefon dihidupkan dan mod GT bertemakan Aston Martin. Realme juga menyertakan kotak eksklusif yang lengkap dengan aksesori bertemakan F1, termasuk pin kad SIM berbentuk kereta F1 dan pelindung telefon “Silver Emblem”.

Sebagai tambahan, model Dream Edition turut dilengkapi dengan RAM lebih besar iaitu 16GB, berbanding 12GB pada model standard.
Spesifikasi Realme GT 7T

Beralih kepada Realme GT 7T, peranti ini dilengkapi paparan AMOLED bersaiz 6.8″ dengan resolusi 1.5K (2800×1280) dan kadar segar semula 120Hz. Namun begitu, ia tidak menggunakan panel LTPO seperti pada model GT 7.
Dari segi prestasi, GT 7T dikuasakan cip MediaTek Dimensity 8400 Max, dipadankan dengan RAM 12GB dan storan 256GB, sedikit lebih kecil berbanding model GT 7. Untuk sistem kamera, ia hampir sama, kecuali kamera utama kini menggunakan sensor Sony IMX896 dan tiada kamera telefoto disertakan.
Selain itu, Realme GT 7T hanya menyokong WiFi 6 berbanding WiFi 7 yang terdapat pada Realme GT 7.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk siri Realme GT 7.