Honor Malaysia telah mengumumkan ketibaan laptop terbaru mereka, Honor MagicBook Pro 14 untuk pasaran tempatan. Ia merupakan laptop paling berkuasa keluaran Honor setakat ini, dilengkapi cip pemproses Intel Core generasi kedua Core Ultra 5 serta dikatakan ada bateri kapasiti bateri terbesar untuk laptop bersaiz 14-inci.
Harga dan ketersediaan MagicBook Pro 14 di Malaysia

Honor MagicBook Pro 14 ditawarkan di Malaysia dalam satu varian dengan cip Intel Core Ultra 5 225H, RAM LPDDR5X 32GB, dan storan PCIe 4.0 SSD 1TB pada harga RM4,999.
Jualan pertama MagicBook Pro 14 akan bermula di Malaysia pada 13 Jun 2025, dan Honor turut menawarkan hadiah percuma bernilai RM508. Hadiah tersebut adalah langganan 1 tahun Microsoft 365 Personal dan beg galas Honor.
Honor MagicBook Pro 14 tersedia dalam satu warna, iaitu putih dengan kemasan electrophoresis mutiara baharu untuk tekstur yang lebih premium dan tahan calar.
Spesifikasi MagicBook 14

Bercerita tentang spesifikasi, MagicBook Pro 14 menggunakan paparan OLED sentuh 14.6-inci dengan resolusi 3.1K (3120×2080) yang menyokong kadar segar semula 120Hz, cakupan warna gamut 100% DCI-P3, kecerahan puncak 700 nits dan tahap PWM Dimming 4230Hz. Panel yang digunakan turut diiktiraf TÜV Rheinland untuk tawarkan tahap cahaya biru rendah dan bebas flicker.
Seperti yang dinyatakan awal artikel, MagicBook Pro 14 ini diperkasa dengan cip pemproses Intel Core UItra 5 225H ydengan 14 teras dan 14 threads yang mempunyai kelajuan sehingga 4.5GHz. Cip ini turut menampilkan NPU Intel AI Boost untuk memenuhi tugasan berasakan AI, serta GPU terbina Intel Arc 130 T terbina.

Sistem penyejukan MagicBook Pro 14 menggunakan dua kipas generasi baharu dengan bilah berbentuk segitiga, digabungkan dengan saluran pelesapan haba komposit 3D bersaiz 12mm. Gabungan ini dapat tingkatkan kecekapan penyejukan sehingga 25% dan aliran udara sebanyak 23%. Pengguna turut boleh memilih antara mod Pintar 50W untuk penggunaan harian, atau mod Berprestasi Tinggi 65W bagi tugasan yang lebih berat.
Untuk tenaga, MagicBook Pro 14 ini hadir dengan bateri berkapasiti besar 92Whr, yang menurut Honor merupakan bateri terbesar pernah dimuatkan dalam laptop bersaiz 14 inci. Ia dikatakan mampu memberikan sehingga 12 jam masa penggunaan dalam satu isian penuh, manakala mampu bertahan sehingga 6.2 jam untuk penstriman video dalam talian dan 5.2 jam untuk mesyuarat dalam talian.
Jika bateri habis, ia menyokong pengecasan Honor SuperCharge 100W melalui USB-C. Honor mendakwa ini membolehkan laptop dicas sehingga 47 minit dalam 30 minit, dan mengecas penuh boleh dilakukan dalam masa 68 minit.

Menariknya, Honor turut membawakan teknologi Honor Turbo X berasaskan AI pada telefon pintar mereka ke MagicBook Pro 14. Ia dibangunkan bersama Intel dan Microsoft bagi mengoptimumkan prestasi dan hayat bateri, dengan memanfaatkan sepenuhnya sinergi antara perkakasan dan perisian.
Dari segi penawaran port I/O, laptop ini didatangkan dengan dua USBC-C (sokong pengecasan dan DisplayPort), dua USB-A 3.2 Gen 1, satu HDMI 2.1 dan jek audio 3.5mm. Laptop juga menyokong WiFi 6 dan Bluetooth 5.1 bagi sambungan wayarles, dan hadir dengan kamera webcam 1080p, dua speaker dan pengimbas cap jari pada butang kuasa.
Binaan laptop juga mudah alih dengan ringan hanya 1.37kg dan nipis 16.9mm. Sejurus keluar kotak, ia akan menjalankan Microsoft 11 Home.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Honor MagicBook Pro 14.