Berikutan pengumuman sebelum ini, kini iQoo telah melancarkan secara rasmi telefon gaming terbaru mereka, iQoo Neo 10 untuk pasaran Malaysia. Pelancaran ini juga menandakan ketibaan pertama model Neo di pasaran kita.
Telefon gaming ini juga tampil sebagai telefon pertama di Malaysia dengan cip flagship terbaharu Qualcomm Snapdragon 8s Gen 4, serta dilengkapi dengan skrin berkadar penyegaran pantas, kapasiti bateri besar dan pengecasan pantas.
Harga dan ketersediaan iQoo Neo 10 di Malaysia

iQoo membawa masuk dua model Neo 10 ke Malaysia dan berikut adalah harga jualan rasminya di sini:
- iQoo Neo 10 (16GB+512GB) – RM2,199
- iQoo Neo 10 (12GB+256GB) – RM1,999 (eksklusif online)
Jualan pertama iQoo Neo 10 akan bermula hari ini, 5 Jun hingga 9 Julai 2025. Sebagai promosi pelancarannya, iQoo turut menyediakan tawaran menarik kepada pembeli iQoo Neo 10, seperti:

iQoo Neo 10 RAM 16GB + storan 512GB
- Hadiah percuma bernilai sehingga RM628 (lanjutan waranti 1 tahun, jaminan perlindungan skrin 180 hari dan fon putik iQoo Buds 1i)
- Diskaun RM100 melalui pembayaran SPayLater
- Pelan ansuran dengan kadar faedah 0%

iQoo Neo 10 RAM 12GB + storan 256GB
- Hadiah percuma bernilai sehingga RM499 (lanjutan waranti 1 tahun, jaminan perlindungan skrin 180 hari dan fon putik iQoo Buds 1i)
- Diskaun pelajar dan pensyarah RM100
Tambahan pula, lebih banyak penjimatan turut boleh dinikmati pengguna melalui jualan Shopee 6.6 yang akan berlangsung dari 5 Jun jam 8 malam sehingga 14 Jun 2025 jam 7.59 malam. Jikalau berminat, anda boleh dapatkan iQoo Neo 10 menerusi E-stor Vivo, atau gedung rasmi iQoo di bawah:
iQoo Neo 10 RAM 16GB + storan 512GB – (Lazada, Shopee, TikTok)
iQoo Neo 10 RAM 12GB + storan 256GB – (Lazada, Shopee, TikTok)
Dari segi warna, iQoo Neo 10 ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu emas dan hitam.
Spesifikasi iQoo Neo 10

Kuasa penggerak utama iQoo Neo 10 adalah cip Qualcomm Snapdragon 8s Gen 4 4nm. Cip ini mempunyai 8 teras dengan kelajuan clockspeed sehingga 3.21Ghz. Kemudian, ia dipadankan dengan RAM LPDD5X Ultra sehingga 16GB dan storan UFS 4.1 sehingga 512GB. Selain itu, telefon ini juga dilengkapi dengan satu lagi cip, iaitu Superkomputer Q1 yang dikatakan membantu menawarkan visual beresolusi tinggi serta kadar bingkai lebih lancar sehingga 144FPS ketika gaming.

Di bahagian muka, telefon ini dimuatkan dengan skrin AMOLED 6.78-inci beresolusi 1.5K (2800×1260) yang menyokong kadar segar semula 144Hz, kadar pensampelan sentuh setinggi 3,000Hz dan kecerahan puncak mencecah 5,500 nits. Skrinnya turut menerima pengiktirafan SGS 5 Bintang yang dapat memastikan skrin kekal jelas kelihatan di bawah cahaya matahari.

Untuk perlindungan, kaca Sheild melapisi komponen skrin dan telefon juga diiktiraf kalis percikan air dan debu IP65.
Sistem pengimejan iQoo Neo 10 tediri daripada dua kamera belakang. Ia adalah kamera utama 50MP yang mengguna pakai sensor Sony IMX882 dengan OIS, serta kamera ultralebar 8MP. Kamera depan pula menggunakan sensor 32MP yang terletak di dalam lubang dahi skrin.

Membekalkan tenaga pada telefon adalah bateri silikon BlueVolt generasi ketiga berkapasiti sebesar 7,000mAh. Dikatakan ia boleh menawarkan masa main video sehingga 23 jam dan navigasi peta selama 11 jam. Jika kehabisan bateri, ia menyokong pengecasan pantas 120W FlashCharge, yang didakwa iQoo mampu mengecas dari 1% ke 100% mengambil masa hanya 36 minit.

Terdapat juga sokongan Bypass Charging, dan untuk memastikan telefon kekal sejuk semasa penggunaan berat, telefon ini juga hadir dengan penggunaan ruang wap penyejuk VC seluas 7,000mm², kepingan grafit serta gel pengalir haba. Secara keseluruhan, sistem ini menyediakan keluasan penyejukan mencecah 27,000mm.




Walaupun berbateri besar, iQoo Neo 10 tampil dengan rekaan nipis hanya 8.09mm dan berat 206g, serta tahan lasak yang melepasi standard ketenteraan untuk kalis jatuh. Ia juga mempunyai speaker stereo, motor linear paksi X, serta menyokong pemancar inframerah, NFC, WiFi 7, Bluetooth 5.4 dan pengimbas cap jari dalam skrin.



Sejurus keluar kotak, ia akan menjalankan sistem operasi Funtouch OS 15 yang juga lengkap dengan fungsi AI seperti Live Call Translation, AI Note Assist dan Gemini, serta ciri pengeditan imej Magic Move, Remove People dan Live Cutout.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk iQoo Neo 10.