Xiaomi telah rasmi melancarkan peti sejuk pintar pertama mereka di Malaysia, iaitu Mijia Refrigerator Cross Door 510L. Sebagai sebahagian daripada ekosistem rumah pintar Xiaomi, peti sejuk pintar ini hadir dengan kapasiti besar, dilengkapi ciri pintar, teknologi kebersihan terkini serta memiliki rekaan cukup minimalis.
Ini merupakan peralatan rumah pintar kedua Xiaomi yang ditawarkan di Malaysia, selepas Mijia Smart Air Conditioners yang telah diperkenal tiga bulan lalu. Malaysia juga menjadi pasaran pertama di luar China yang menerima pelancaran rasmi Mijia Refrigerator.
Harga dan ketersediaan peti sejuk Mijia Refrigerator Cross Door 510L di Malaysia

Kepada yang berminat, peti sejuk Mijia Refrigerator Cross Door 510L dijual di Malaysia pada harga RM2,899. Sebagai promosi pembelian awalnya, Xiaomi Malaysia turut menawarkan peti sejuk ini pada harga promosi, hanya RM2,399 untuk waktu terhad bermula 5 Jun 2025 pukul 8 malam.
Orang ramai yang ingin membuat pembelian boleh berbuat demikian melalui Mi.com serta Lazada dan Shopee.
Harga pembelian yang dinyatakan turut disertakan dengan penghantaran dan pemasangan percuma di Semenanjung Malaysia, dan turut didatangkan dengan waranti 2 tahun serta waranti pemampat 10 tahun.
Untuk alternatif, peti sejuk Mijia Refrigerator ini juga boleh didapatkan di stor fizikal Xiaomi seperti di bawah:
- IPC Shopping Centre
- Central i-City
- AEON Mall Bukit Tinggi
- Setia City Mall
- Pavilion KL
- Setapak Central
- IOI Mall Puchong
- The Mines
- Queensbay Mall
- Gurney Plaza
- AEON Mall Bandaraya Melaka
Mijia Refrigerator Cross Door 510L

Mijia Refrigerator boleh dianggap sebagai peti sejuk kompak berkapasiti 510L dengan rekaan empat pintu yang boleh dibuka sehingga 90 darjah. Ia menawarkan ruang penyimpanan 332L untuk bahagian peti sejuk dan 178L untuk bahagian pembeku.
Untuk susun atur yang lebih kemas dan mudah diakses, bahagian peti sejuk dilengkapi dua laci, termasuk satu laci iFresh. Sementara itu, bahagian pembeku menampilkan empat laci bertutup dan dua laci terbuka. Dari segi rupa, peti sejuk ini hanya ditawarkan dalam warna kelabu gelap dengan kemasan bertekstur seperti batu.

Di tengah-tengah peti sejuk 510L ini terdapat ruang penyimpan iFresh, yang membolehkan anda menetapkan suhu antara -1°C hingga 5°C, sesuai untuk menyimpan pelbagai jenis makanan, dari daging hingga hasil segar. Ruang ini juga boleh digunakan untuk mencairkan daging beku secara perlahan sebagai persiapan memasak.
Selain itu, peti sejuk ini turut dilengkapi dengan teknologi Ag+ Fresh, yang menurut Xiaomi mampu menghapuskan bau dan menghalang pertumbuhan bakteria dengan keberkesanan sehingga 99.99%.



Peti sejuk Mjia Refrigerator turut menyokong sambungan WiFi, dan boleh dikawal dari jauh melalui aplikasi Xiaomi Home. Anda boleh melaras suhu untuk ketiga-tiga ruang berasingan (peti sejuk, iFresh dan pembeku), serta menukar mod penyejukan seperti Auto, Super Cool dan Super Freeze terus dari telefon pintar atau tablet anda.

Aplikasi ini juga boleh memberi amaran jika pintu peti sejuk dibiarkan terbuka. Ia turut menyokong kemas kini perisian secara OTA (over-the-air) dan mampu menjalankan diagnosis kendiri bagi memastikan peti sejuk sentiasa berfungsi dengan baik. Peti sejuk pintar ini juga menyokong arahan suara melalui Google Assistant.
Di bahagian hadapan, terdapat panel skrin sentuh yang membolehkan anda melihat dan mengawal suhu setiap zon serta menetapkan mod penyejukan dengan mudah.

Dengan dilengkapi sistem dwi-inverter, Xiaomi mendakwa peti sejuk ini menawarkan kestabilan lebih baik, penjimatan tenaga serta tahap bunyi yang rendah. Dari segi saiz, ia berukuran 852mm lebar, 600mm dalam dan 1912mm tinggi, dengan berat 85kg.