Di samping telefon pintar dan tablet baru, Xiaomi juga memperkenalkan Xiaomi Mijia Air Conditioner Pro Eco, penyaman udara pintar yang tampil dengan ciri penjimatan tenaga dikuasakan AI. Ia tersedia untuk dibeli di Malaysia dan ditawarkan dalam dua varian 1.0HP dan 1.5 HP.
Harga Xiaomi Mijia Air Conditioner Pro Eco di Malaysia

Ini adalah harga rasmi penyaman udara Mijia Air Conditioner Pro Eco di Malaysia:
- 1.0HP Inverter – RM1,699
- 1.5HP Inverter – RM1,899
Harga yang disenaraikan adalah termasuk penghantaran dan pemasangan, selain didatangkan dengan jaminan umum 3 tahun dan jaminan pemampat selama 10 tahun. Sebagai tawaran pelancaran, Xiaomi Malaysia juga menyertakan pembelian dengan Xiaomi Smart Multifunctional Rice Cooker bernilai RM279 secara percuma.
Kalau anda berminat, anda boleh dapatkan penyaman udara ini melalui stor rasmi Xiaomi di Lazada dan Shopee. Sewaktu artikel ini ditulis, Xiaomi turut menawarkan baucar tambahan di mana anda boleh dapatkan versi 1.0HP pada harga RM1469 dan versi 1.5HP pada harga RM1,659.
Spesifikasi Xiaomi Mijia Air Conditioner Pro Eco

Mijia Air Conditioner Pro Eco adalah penyaman udara inverter yang mempunyai kecekapan tenaga luar biasa. Kedua-dua model 1.0HP dan 1.5HP menerima pengiktirafan kecekapan tenaga 5 bintang dari Suruhanjaya Tenaga Malaysia. Malah, anda juga boleh jimat tenaga dengan lebih banyak dengan mod penjimatan tenaga AI.
Dengan memanfaatkan pembelajaran berasaskan awan, Xiaomi mendakwa penyaman udara boleh menawarkan menawarkan penjimatan tenaga jangka panjang. Kalau anda perlu menyejukkan bilik dengan cepat, ia dilengkapi dengan mod “Turbo” yang dapat menawarkan penyejukan pantas dalam masa 30 saat.

Mijia Air Conditioner juga dilengkapi dengan fungsi “gentle airflow” yang menggunakan 14 bilah kipas dengan 602 lubang mikro untuk melembutkan aliran udara. Ini membenarkannya untuk menyejukkan bilik tanpa aliran udara kuat yang menembak ke muka pengguna.

Terdapat juga sensor cahaya terbina yang boleh melaraskan tahap keceharan cahaya di dalam bilik secara automatik dan boleh dikonfigurasi dengan tahap kefungsian tersuai untuk anda cipta persekitaran tidur yang ideal. Maka, anda boleh tidur dalam suhu yang berbeza untuk masa tertentu untuk jimat tenaga.
Sebagai peranti pintar rumah, Mijia Air Conditioner boleh dipantau dan diuruskan secara jarak jauh menggunakan aplikasi Xiaomi Home. Ia juga adalah sebahagian daripada ekosistem HyperOS Connect, dan turut menyokong kawalan suara melalui Amazon Alexa dan Google Assistant.

Penyaman udara ini juga boleh diperbaiki dari semasa ke semasa dengan kemas kini OTA. Selain anda boleh menjejak penggunaan kuasa penyaman udara dalam masa nyata, apilkasi juga boleh mengingatkan anda apabila tiba masanya untuk membersihkan penapis.

Model 1.0HP memiliki kapasiti penyejukan 10,000 Btu/h dan kuasa penyejukan 700W, manakala model 1.5HP ada kapasiti penyejukan 125,000 Btu/h dan kuasa penyejukan 1030W.
Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh layari laman produk Mijia Air Conditioner 1.0HP dan 1.5HP.