Infinix hari ini telah mengumumkan siri telefon kelas permulaan terbaru mereka, iaitu siri Smart 10 di Malaysia. Siri baru ini terdiri daripada dua model iaitu Smart 10 dan Smart 10 Plus, berbeza dengan Smart 9 yang dilancarkan hanya dalam satu model.
Sebagai pengganti kepada Smart 9 sebelum ini, siri Smart 10 ini masih mengekalkan harga mampu milik, namun masih membawakan ciri menarik seperti skrin 120Hz, speaker stereo dan juga sokongan NFC untuk model terpilih dengan harga permulaan bawah RM300.
Harga dan ketersediaan siri Smart 10 di Malaysia
Peminat di Malaysia boleh mula dapatkan Infinix Smart 10 dan Smart 10 Plus sekarang melalui stor rasmi Infinix di TikTok, serta kedai jenama Infinix dan pengedar sah Inifnix di seluruh Malaysia. Smart 10 ditawarkan dalam satu konfigurasi, manakala Smart 10 Plus datang dalam dua varian.

Berikut adalah harga jualan rasminya di Malaysia:
- Infinix Smart 10 (RAM 3GB dan storan 64GB) – RM299
- Infinix Smart 10 Plus (RAM 4GB dan storan 128GB) – RM349
- Infinix Smart 10 Plus NFC (RAM 4GB dan storan 128GB) – RM399
Nampaknya tiada sebarang promosi pelancaran yang disediakan. Namun begitu, anda boleh dapatkan Smart 10 dalam empat pilihan warna iaitu biru, perak, hitam dan emas (hanya tersedia online. Smart 10 Plus turut tersedia dalam warna yang sama, kecuali warna emas ditukar kepada merah.
Spesifikasi Smart 10 dan Smart 10 Plus

Smart 10 dan Smart 10 Plus secara asasnya adalah telefon yang sama, dengan perbezaan hanya pada konfigurasi RAM dan storan, serta bateri dan pengecasan. Kedua-duanya dijana cip Unisoc T7250, tetapi model Smart 10 dipadankan dengan RAM 3GB dan storan 64GB, manakala model Plus pula memiliki kapasiti RAM lebih besar 4GB dan storan berganda 128GB.

Daripada segi rekaan, siri Smart 10 juga didatangkan dengan rekaan baharu, khususnya pada modul kamera yang kini berbentuk petak, mirip rekaan kamera pada siri Hot 50. Namun, model Smart 10 Plus menggunakan sususnan kamera mendatar, manakala Smart 10 menggunakan susunan kamera yang lebih tradisional.

Di bahagian muka, kedua-dua model siri Smart 10 dikenakan dengan paparan LCD bersaiz 6.67″ yang menyokong resolusi HD+, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 700 nits. Lubang di atas skrin menempatkan kamera 8MP.Untuk kamera belakang, kedua-duanya mengguna pakai kamera utama 8MP bersama-sama dengan kamera depth 2MP.
Untuk tenaga, model Smart 10 Plus dilengkapkan dengan bateri 6,000mAh yang menyokong pengecasan 18W, manakala model Smart 10 pula datang dengan bateri lebih kecil 5,000mAh dan sokong pengecasan lebih perlahan 10W. Untuk menonton video atau mendengar lagu, kedua-dua telefon menggunakan speaker stereo dengan kelantangan kuat 300%.

Seperti telefon Infinix lain, siri Smart 10 juga hadir dengan pembantu AI Folax serta Dynamic Bar yang memaparkan notifikasi terus di bahagian atas skrin. Bagi yang perlukan NFC, ciri ini turut tersedia pada model Smart 10 Plus.