Selepas setahun melancarkan siri Pura 70, Huawei kini memperkenalkan generasi flagship terbaharu mereka, siri Pura 80 yang baru sahaja diumumkan untuk pasaran di China. Siri baharu ini merangkumi empat model, iaitu Pura 80, Pura 80 Pro, Pura 80 Pro+ dan Pura 80 Ultra.
Harga siri Pura 80 di China
Buat masa ini, Huawei hanya mengumumkan harga untuk tiga model iaitu Pura 80 Pro, Pura 80 Pro+ dan pura 80 Ultra, manakala maklumat harga Pura 80 masih belum ada. Berikut adalah harga jualannya di pasaran China:
Pura 80 Pro:
- Pura 80 Pro (RAM 12GB + storan 256GB) – RMB6,499 (~RM3,817)
- Pura 80 Pro (RAM 12GB + storan 512GB) – RMB6,999 (~RM4,111)
- Pura 80 Pro (RAM 12GB + storan 1TB) – RMB7,999 (~RM4,698)
Pura 80 Pro+:
- Pura 80 Pro+ (RAM 16GB + storan 512GB) – RMB7,999 (~RM4,698)
- Pura 80 Pro+ (RAM 16GB + storan 1TB) – RMB8,999 (~RM5,285)
Pura 80 Ultra:
- Pura 80 Pro Ultra (RAM 16GB + storan 512GB) – RMB9,999 (~RM5,872)
- Pura 80 Pro Ultra (RAM 16GB + storan 1TB) – RMB10,999 (~RM6,460)
Model Pura 80 Pro ditawarkan dalam pilihan warna emas, putih dan hitam, manakala Pura 80 Pro+ tersedia dalam warna hijau, merah, putih dan hitam. Pura 80 Ultra pula boleh didapatkan dalam dua warna emas dan hitam. Untuk model Pura 80, ia didatangkan dalam warna seperti putih, hitam, hijau dan emas.
Spesifikasi Pura 80

Bermula dari bawah, Huawei Pura 80 adalah paling mampu milik dan kompak dalam barisan. Ia dikenakan dengan paparan LTPO OLED dengan resolusi FHD+ (2760×1256), kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 2,800 nits serta sokongan PWM Dimming setinggi 1440Hz. Kaca Kunlun generasi kedua digunakan di atas skrin sebagai pelindung.

Di dalam, Huawei tidak menyatakan jenis cip yang digunakan pada Pura 80. Namun begitu, Huawei memaklumkan bahawa penggunaan Ark engine baharu pada siri pura 80 memberikan prestasi 36% lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Pura 80 tersedia dengan RAM 12GB dan pilihan storan sehingga 1TB.

Pada segi kelengkapan kamera, telefon ini dilengkapkan dengan kamera utama 50MP dengan sokongan OIS dan bukaan apertur yang boleh dilaras di antara f/1.4 hingga f/4.0, kamera telefoto periskop 12MP f/3.4 dengan OIS berkemampuan zum optikal 5.5x, serta kamera ultralebar 13MP f/2.2. Terdapat juga sensor spektrum 1.5MP yang membantu untuk mengoptimumkan warna.
Untuk selfie, lubang di atas skrin menempatkan kamera 13MP. Bateri yang dimuatkan berkapasiti 5,600mAh dan ia menyokong pengecasan Huawei SuperCharge 66W USB-C dan wayarles 50W.
Spesifikasi Pura 80 Pro dan 80 Pro+

Bergerak setahap ke atas adalah Pura 80 Pro dan Pura 80 Pro+. Kedua-duanya didatangkan dengan panel paparan LTPO OLED bersaiz 6.8″ beresolusi FHD+ (2848×1276). Ia turut menyokong kadar segar semula adaptif sehingga 120Hz, tahap PWM setinggi 1440Hz dan dilindungi kaca Kunlun generasi kedua. Namun, tahap kecerahan puncak sedikit lagi tinggi pada 3,000 nits.
Pura 80 Pro dan Pro+ hadir dengan kapasiti RAM dan storan yang berbeza. Model Pura 80 Pro datang dengan RAM 12GB dan storan dari 256GB sehingga 1TB, manakala model Pro+ ada kapasiti RAM lebih besar 16GB dan pilihan storan 512GB dan 1TB.

Berbanding Pura 80 biasa, model Pura 80 Pro dan Pro+ memiliki sistem kamera sedikit lebih baik. Pengimejan di belakang kedua-dua model menampilkan kamera utama 50MP dengan sensor besar 1″ dan bukaan apertur yang boleh dilaras antara f/1.6 hingga f/4.0 dan OIS, kamera ultralebar 40MP f/2.2 serta kamera telefoto 48MP f/2.1 dengan OIS yang menyokong zum optikal 4x.
Kamera telefotonya turut didatangkan dengan fungsi makro, serta terdapat sensor spektrum 1.5MP yang sama seperti Pura 80. Kamera selfie juga kekal sama pada 13MP f/2.0. Untuk tenaga, kedua-dua Pura 80 Pro dan 80 Pro+ dimuatkan dengan bateri 5,700mAh dan menyokong pengecasan lebih pantas 100W dan wayarles 80W.
Spesifikasi Pura 80 Ultra

Pura 80 Ultra adalah varian tertinggi dalam barisan. Ia mengekalkan kebanyakan komponen sama seperti model 80 Pro dan Pro+, seperti paparan LTPO OLED 6.8″, bateri 5,700mAh dan sokong pengecasan 100W melalui USB-C dan wayarles pada kadar 80W. Ia juga tersedia dengan RAM 16GB dan storan sehingga 1TB.



Tetapi apa yang membezakannya adalah, model Ultra hadir dengan sensor kamera telefoto periskop baharu 50MP 1/1.28″ yang menggunakan sistem dwilensa dengan mekanisme boleh laras, membolehkan sensor bertukar antara lensa dalam satu modul kamera. Satu lensa mempunyai apertur f/2.4, mankala satu lagi lensa memiliki resolusi lebih kecil 12.5MP dengan apertur f/3.6.
Menurut Huawei, kombinasi dua lensa ini menawarkan zum optikal 3.7x dan 9.4x, dengan jarak fokal dari 13mm hingga 212mm. Selain itu, seperti model Pro, Pura 80 Ultra turut mengguna pakai kamera utama 50MP dengan sensor 1″ yang bukaan aperturnya boleh diubah antara f/1.6 hingga f/4.0, kamera ultralebar 40MP serta mempunyai sensor warna 1.5MP yang sama.
Kesemua model dalam siri Pura 80 juga menerima pengiktirafan kalis air dan debu IP69, serta menyokong sambungan wayarles seperti Bluetooth 5.2, NFC, WiFi 6 dan codac LDAC dan L2HC. Terdapat juga sokongan komunikasi satelit Beidou pada semua model, tetapi model Pro+ dan Ultra diberi sokongan tambahan untuk komunikasi satelit Tiantong.


Sejurus keluar kotak. siri Pura 80 akan menjalankan sistem operasi Harmony OS 5.1, lengkap dengan ciri Hongmeng AI dan pembantu maya Xiaoyi. Tambahan pula, Huawei turut memperkenalkan Hanhan, iaitu haiwan peliharaan maya dalam bentuk wallpaper yang boleh disesuaikan serta berinteraksi dengan pengguna.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari halaman siri Huawei Pura 80.