Garmin Malaysia hari ini telah mengumumkan jam pintar Venu terbaharu mereka, iaitu Venu X1. Ia direka khas untuk mereka yang mahukan gabungan antara gaya, fungsi dan prestasi dalam jam pintar, dengan menampilkan skrin besar 2-inci, rekaan ultra nipis dan juga hayat bateri panjang.
Harga dan ketersediaan Garmin Venu X1 Malaysia

Untuk mereka yang berminat dengan jam pintar Garmin Venu X1, ia akan boleh mula dibeli pada pertengahan Julai 2025 pada harga RM3,479. Pembelian boleh dibuat melalui laman web Garmin, Lazada, Shopee atau kedai jenama Garmin dan pengedar sah di seluruh negara.
Ia tersedia dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan hijau dengan tali jam nylon bersaiz 24mm.
Spesifikasi Garmin Venu X

Garmin Venu X1 mengekalkan rekaan berbentuk segi empat seperti model Venu Sq 2, tetapi hadir dengan skrin jauh lebih besar, seluas 2-inci jenis AMOLED dengan resolusi 448 x 486., menjadikannya jam Garmin terbesar setakat ini. Malah, saiz ini lebih besar dari Apple Watch Ultra 2 yang ada skrin 1.92-inci.
Skrinnya dilindungi kaca sapphire tahan calar, sementara badan jam diperbuat daripada titanium dengan ketebalan hanya 8mm, menjadikannya ringan dan lasak untuk kegunaan seharian. Ia juga memiliki penarafan kalis air 5ATM.

Jam ini dipadankan dengan tali nylon 24mm yang boleh ditukar dengan mudah melalui mekanisme quick-release. Pelbagai muka jam terbina turut disediakan, memaparkan data seperti langkah harian, degupan jantung, altitud dan tahap kecergasan.


Salah satu fungsi menarik pada Venu X1 adalah ia dilengkapkan dengan lampu suluh LED terbina dengan empat tahap kecerahan. Venu X1 juga dilengkapi dengan mikrofon dan speaker terbina, membolehkan pengguna membuat atau menerima panggilan terus dari jam apabila dipadankan dengan telefon pintar yang serasi. Malah, ia turut menyokong arahan suara untuk membalas mesej, menetapkan pemasa, atau memulakan larian.






Pelbagai ciri pemantauan kesihatan turut disediakan pada Venu X1, ini termasuk seperti Body Battery mengukur tahap tenaga harian pengguna, pemantauan kualiti tidur, kadar denyutan jantung, tahap oksigen dalam darah dan tahap stres. Pengguna juga boleh mendapatkan laporan fizikal dan mental melalui ciri Health Snapshot.

Untuk peminat kecergasan, jam ini menyokong lebih 100 mod sukan termasuk berlari, golf, yoga dan banyak lagi. Ia juga hadir dengan Garmin Coach serta sokongan peta TopoActive untuk navigasi luar. Namun, model ini tidak menyokong GPS multiband seperti yang terdapat pada model siri Fenix dan MARQ.

Walaupun dilengkapi skrin besar dan rekaan nipis ,Venu X1 mampu bertahan sehingga 8 hari dalam penggunaan biasa, atau 11 hari dalam mod penjimatan bateri. Ia turut dilengkapi storan terbina 32GB, dan boleh disambung ke peranti Android dan iPhone melalui aplikasi Garmin Connect.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Garmin Venu X1.