Xiaomi Malaysia telah megumumkan gelang kecergasan terbaharu, iaitu Xiaomi Smart Band 10 untuk pasaran Malaysia. Ia menggantikan Smart Band 9 terdahulu, dan membawakan beberapa naik taraf seperti skrin lebih cerah dan besar, sambil mengekalkan rekaan bujur yang serupa dan hayat bateri sehingga 21 hari.
Harga dan promosi Xiaomi Smart Band 10

Xiaomi Smart Band 10 boleh dibeli di Malaysia sekarang dan anda juga boleh nikmati lebih banyak penjimatan jika membelinya sebelum 31 Julai 2025. Berikut adalah harga jualan rasmi serta harga promosi Xiaomi Smart Band 10:
- Xiaomi Smart Band 10 – RM219 (Promosi RM179)
- Xiaomi Smart Band 10 Ceramic Edition- RM299 (Promosi RM249)
Model Smart Band 10 tersedia dalam pilihan warna hitam, perak dan merah jambu, manakala model Ceramic Edition pula hadir dengan tali berwarna putih. Untuk membuat pembelian, anda boleh singgah ke stor rasmi Xiaomi di Lazada dan Shopee.
Bagi meraikan pelancarannya dan menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup aktif, Xiaomi Malaysia akan menganjurkan larian Xiaomi POP Run 2025. Ia akan berlangsung pada 26 Julai 2025 di Anjung Floria, Putrajaya.
Acara tersebut akan menampilkan tiga kategori larian, iaitu 3km Fun Run, 10km Profesional dan buat pertama kalinya 21km Half Marathon. Orang ramai boleh mula mendaftar mulai 1 Julai hingga 15 Julai 2025 melalui pautan ini.
Spesifikasi Xiaomi Smart Band 10

Rekaan Xiaomi Smart Band 10 tidak banyak berubah berbanding Smart Band 9 terdahulu. Ia masih mengekalkan skrin berbentuk bujur, tetapi kini saiz lebih besar 1.72″ jenis AMOLED dengan resolusi 212×520 piksel. Panel yang digunakan juga ada kadar segar semula 60Hz dan lebih cerah sehingga 1,500 nits.
Sebagai perbandingan, model Smart Band 9 tahun lalu memiliki skrin AMOLED 1.92″ dengan kecerahan puncak 1,200 nits.
Model standard Smart Band menggunakan badan diperbuat dari aluminium sementara model Ceramic Edition yang lebih premium menampilkan badan diperbuat dari seramik. Dari segi dimensi, badan Smart Band 10 ketebalan 10.95mm dan berat 15.95g. Dan seperti sebelum ini, model baru ini turut diiktiraf kalis air 5ATM.

Menurut Xiaomi, gelang Smart Band 10 baharu ini menawarkan penjejakan bertaraf profesional, hasil penggunaan sensor gerakan 9-paksi dengan algoritma yang dipertingkatkan. Ia menyokong lebih 150 mod kecergasan dan mampu menjejak metrik seperti VO₂ max, beban latihan dan masa pemulihan.
Selain itu, Smart Band 10 turut menyokong penjejakan tidur dan boleh bantu memberikan cadangan untuk menambahbaik kualiti tidur anda, melalui aplikasi Mi Fitness. Ia turut menyokong pemantauan kadar degupan jantung, Sp02, tahap tekanan serta kitaran haid wanita.

Dengan bateri 233mAh, gelang ini boleh bertahan sehingga 21 hari dengan penggunaan biasa, manakala sehingga 9 hari jika fungsi AOD dihidupkan, sama seperti sebelum ini. Xiaomi turut menyatakan Smart Band 10 kini menerima motor linear yang lebih baik untuk getaran yang boleh diubah suai dengan beberapa preset tersedia.
Ia menggunakan Bluetooth 5.4 dan serasi dengan telefon Android 8 dan ke atas atau peranti iOS 12 dan ke atas. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari lama produk Xiaomi Smart Band 10.