Bertempat di Heritage Valley, Kuala Lumpur di mana berlangsungnya konsert OOO Music Festival, Oppo telah melancarkan barisan telefon kelas pertengahan terbaru mereka, siri Reno 14 di Malaysia. Ia merangkumi tiga model yang serupa, iaitu Reno 14 5G, Reno 14 Pro 5G dan Reno 14F 5G.
Harga siri Oppo Reno 14 di Malaysia

Ditawarkan dalam beberapa konfigurasi RAM dan storan, berikut adalah harga jualan Reno 14 5G, Reno 14 Pro 5G dan Reno 14F 5G di pasaran Malaysia:
- Oppo Reno 14F 5G (8GB + 256GB) – RM1,399 (eksklusif online)
- Oppo Reno 14F 5G (12GB + 256GB) – RM1,599
- Oppo Reno 14F 5G (8GB + 512GB) – RM1,799
- Oppo Reno 14 5G (12GB + 256GB) – RM2,199
- Oppo Reno 14 5G (12GB + 512GB) – RM2,599
- Oppo Reno 14 Pro 5G (12GB + 512GB) – RM2,999
Spesifikasi Oppo Reno 14 dan 14 Pro

Spesifikasi Reno 14 dan Reno 14 Pro tidak banyak berubah berbanding model sebelumnya, Reno 13 dan Reno 13 Pro. Kedua-duanya masih mengekalkan saiz skrin sama, dengan perubahan hanya terletak pada bahagian rekaan, serta pengecasan dan kamera, yang kini telah dinaik taraf.

Reno 14 dilengkapi skrin bersaiz 6.59″ beresolusi 1256 x 2760 dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 1,200 nits, manakala Reno 14 Pro menggunakan skrin lebih bersaiz 6.83″ dengan resolusi 1272 × 2800. Kedua-dua panel juga masih dilapisi dengan kaca Corning Gorilla Glass 7i.

Kuasa Reno 14 digerakkan oleh cip MediaTek Dimensity 8350 4nm, cip yang sama digunakan pada Reno 13. Tetapi, Reno 14 Pro diperkasa cip kelas pertengahan terbaru MediaTek, Dimensity 8450 4nm. Ia dipadankan dengan RAM LPDDR5X seluas 12GB dan storan dalam jenis UFS 3.1 sebesar 512GB.
Di bahagian pengimejan, Reno 14 mengekalkan tetapan tiga kamera belakang, tetapi kini memiliki kamera telefoto 50MP f/2.8 yang sebelum ini hanya terhad pada model Pro. Lagi dua kamera masih kekal sama, iaitu kamera utama 50MP f/1.8 dengan OIS dan kamera ultralebar 8MP f/2. Untuk zum jauh, kamera telefotonya mampu zum optikal 3.5x.


Sementara itu, Reno 14 Pro turut menggunakan kamera utama 50MP f/1.8 dengan OIS dan kamera telefoto 50MP f/2.8, tetapi kamera ultralebar kini menggunakan sensor lebih besar 50MP. Untuk ambil gambar selfie, kamera depan 50MP f/2.0 masih kekal digunakan pada kedua-dua model.

Kapasiti bateri kedua-dua model juga telah diperbesar, dengan Reno 14 dimuatkan bateri 6000mAh, manakala Reno 14 Pro hadir dengan bateri lebih besar 6,200mAh. Namun, kedua-duanya masih mengekalkan sokongan pengecasan FlashCharge 80W melalui USB-C, dengan model Pro turut menyokong pengecasan wayarles 50W.

Kedua-dua peranti turut menyokong WiFi 6, Bluetooth 5.4, NFC dan diiktiraf kalis air dan debu IP69. Ia akan menjalankan sistem operasi ColorOS 15 berasaskan Android 15 sejurus keluar kotak, dan Oppo menjanjikan kemas kini OS 5 kali dan 6 tahun keselamatan untuk kedua-dua model.
Dari segi rekaan, kedua-duanya tampil dengan kemasan “Iridescent Mermaid” baharu yang boleh berubah warna mengikut sudut cahaya tertentu, untuk warna putih. Satu lagi warna ditawarkan untuk Reno 14 adalah hijau, manakala model Pro hitam.
Spesifikasi Oppo Reno 14F

Beralih kepada model paling mampu milik dalam barisan, Reno 14F, rata-rata spesifikasi masih kekal sama seperti Reno 13F. Ia diperkasa cip Snapdragon 6 Gen 1 yang digandingkan dengan RAM LPDDR4X sehigga 12GB dan storan UFS 3.1 seluas 512GB.

Skrinnya mengalami sedikit perubahan, kini menampilkan saiz lebih kecil 6.57″ jenis AMOLED dengan resolusi 2372 x 1080 dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga lebih cerah sehingga 1,400 nits dan menggunakan kaca AGC Dragontrail DT-STAR D+ sebagai pelindung.

Di belakang, anda boleh temukan tetapan kamera yang sama seperti Reno 13F, iaitu kamera utama 50MP f/1.8, kamera utlralebar 8MP dan kamera makro 2MP. Selfie boleh diambil mengguna pakai kamera 32MP f/2.0. Bateri yang dimuatkan adalah sebesar 6,000mAh yang menyokong pengecasan SuperVOOC 45W.
Pengimbas cap jari terdapat dalam skrin dan menyokong Bluetooth 5.1, WiFi 5 dan NFC. Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu merah jambu, hijau dan biru yang memiliki kemasan berkilau “Iridescent Mermaid”.
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan spesifikasi, anda boleh layari laman produk Reno 14, Reno 14 Pro dan Reno 14F.