Menjelang pelancaran Galaxy Z Fold 7, Honor Malaysia turut mengumumkan tarikh pelancaran untuk telefon boleh lipat mereka yang seterusnya, iaitu Honor Magic V5 di Malaysia. Dilancarkan di China minggu lepas, Magic V5 adalah telefon lipat ternipis di dunia ketika ini, dengan hanya 8.8mm dalam keadaan dilipat, mengalahkan rekod yang dipegang Oppo Find N5 sebelum ini.
Menurut Honor Malaysia, pelancaran Magic V5 telah ditetapkan akan berlangsung pada jam 2 petang pada hari Selasa, 15 Julai 2025. Seperti biasa, anda boleh tonton pelancarannya secara langsung melalui halaman Facebook Honor Malaysia. Harga jualan rasminya tentu akan didedahkan ketika pelancarannya nanti, dan pengguna akan boleh membuat tempahan untuk milikinya sejurus pelancarannya.

Macam yang didedahkan sebelum ini, Magic V5 memiliki rekaan lebih nipis dari model Magic V3 sebelumnya. Apabila lipatan dibuka, badannya hanya senipis 4.1mm, tidak termasuk bonjolan kamera yang terkeluar.
Telefon lipat ternipis tanpa sebarang kompromi

Menurut Honor, Magic V5 adalah telefon lipat ultra nipis tanpa sebarang kompromi, termasuk pada bahagian bateri, kamera dan ketahanan. Ia dikuasakan cip terbaik Qualcomm, Snapdragon 8 Elite dan dimuatkan dengan kapasiti bateri besar 5,820mAh untuk model di pasaran global (pasaran China 6,100mAh).
Skrin luarnya menggunakan panel LTPO OLED 6.43″ 120Hz, manakala skrin dalaman pula menampilkan skrin bersaiz 7.65″ jenis LTPO OLED dengan 120Hz. Honor turut telah menambah baik ketahanan telefon lipat ini dengan penggunaan teknologi bendalir bukan Newtonian (Non-Newtonian Fluid), yang memberikan perlindungan menyeluruh dan ketahanan lebih baik terhadap hentakan.

Lebih menarik, ia turut dilengkapi dengan sistem pengesanan Objek Asing dikuasakan AI yang boleh memaklumkan pengguna apabila ia mengesan zarah sekecil 0.8mm seperti pasir masuk ke dalam skrin. Skrin luarnya turut menampilkan kaca NanoCrystal Anti-Calar, dan panel belakang pula menggunakan bahan diperbuat daripada gentian karbon bergred aeroangkasa dengan ketahanan hentakan dikatakan sehingga 40 kali lebih kuat.


Bahagian engsel juga telah direka semula, menampilkan teknologi Super Steel Hinge yang dikatakan mampu menahan berat sehingga 35kg tanpa membengkok. Honor juga mendemonstrasikan bagaimana dumbell seberat 35kg boleh digantung menggunakan Honor Magic V5. Honor memaklumkan engselnya mampu bertahan sehingga 500,000 lipatan, bersamaan dengan 100 kali lipatan dalam masa sehari selama 13 tahun.

Dengan memiliki berat 217g, Magic V5 boleh dilihat lebih ringan daripada sesetengah telefon candybar biasa. Malah, tahap kalis air dan debu juga telah dipertingkatkan dari IPX8 IPkepada IP58/IP58. Untuk mengecas, ia sokong pengecasan SuperCharge 66W dan wayarles 50W.
Walaupun nipis, Honor masih berjaya untuk memuatkan kamera telefoto periskop 64MP ke dalam badan nipis ini. Kamera telefotonya mampu untuk zum digital sehingga 100x. Selain itu, telefon ini turut menerima kamera utama 50MP dan kamera ultralebar 50MP. Untuk selfie pula, kedua-dua skrinya turut lengkap dengan kamera depan 20MP.
Harga Honor Magic V5 di China

Di China, Honor Magic V5 ditawarkan dalam tiga konfigurasi, sama ada RAM 12GB dan storan 256GB, RAM 16GB dan storan 512GB atau RAM 16GB dan storan 1TB. Harga jualannya bermula dari RMB 8,999 (~RM5,309) hingga RMB 10,999 (~RM6,489).
Sebagai perbandingan, Honor Magic V3 terdahulu dilancarkan pada harga RM6,999 untuk varian RAM 12GB dan storan 512GB.