Berikutan pengumuman minggu lepas, kini Infinix telah rasmi melancarkan tablet terbaharu mereka, XPAD 20. Menggantikan XPAD tahun lepas, XPAD 20 masih memfokuskan kepada segmen tablet 4G mampu milik, tetapi dilengkapkan dengan fungsi AI lebih pelbagai. Malah harganya juga lebih murah, bermula bawah RM600.
Harga Infinix XPAD 20 di Malaysia

Macam yang didedahkan peruncit tempatan sebelum ini, Infinix XPAD 20 ditawarkan pada harga RM100 lebih murah berbanding XPAD. Ditawarkan dalam dua varian, berikut adalah harga jualan XPAD 20 di Malaysis:
- Infinix XPAD 20 (RAM 6GB dan storan 128GB) – RM599
- Infinix XPAD 20 (RAM 8GB dan storan 256GB) – RM799
Sebagai promosi, Infinix turut menyertakan pembelian mode 6GB+128GB dengan pelindung tablet bernilai RM99 secara percuma. Manakala, pembeli model 8GB+256GB akan menerima pelindung tablet dan papan kekunci bernilai RM299 secara percuma.
Kepada mereka yang berminat, XPAD 20 boleh mula didapatkan hari ini menerusi kedai jenama Infinix, pengedar sah Inifnix seluruh Malaysia, serta stor rasmi Infinix di Lazada, Shopee, dan TikTok Shop.
Spesifikasi Infinix XPAD 20

XPAD 20 masih sebuah tablet bersaiz 11″ seperti XPAD. Ia menggunakan panel LCD dengan resolusi 1200×1920 dengan kadar segar semula 90Hz dan kecerahan puncak 440 nits. Skrinnya turut menerima pengesahan TUV Rheindland untuk paparkan tahap cahaya biru rendah.
Di dalam, tablet ini diperkasa cip MediaTek Helio G88, iaitu cip yang sedikit lama dan kurang berkuasa berbanding Helio G99 di XPAD sebelumnya. Bersama cip itu, tablet ini dipadankan dengan RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB. Jika storan tidak mencukupi, tablet turut menerima kad mikroSD sehingga 1TB.

Sejurus keluar kotak, ia akan menjalankan sistem operasi Android 15 dan Infinix menjanjikan ia akan menerima kemas kini keselamatan 2 tahun, tetapi tiada maklumat tentang kemas kini OS diberikan.
Melaluinya, XPAD 20 hadir dengan pelbagai fungsi pintar untuk tingkatkan produktiviti, melalui ciri Infinix AI. Antaranya, pengguna boleh mengaktifkan pembantu maya Folax dengan hanya memanggil “Hi Folax”, dan Folax turut menyokong carian kandungan merentasi imej, dokumen dan laman web melalui fungsi AI Multimodal Content Search dan One-Tap Screen Inquiry.
Selain itu, terdapat juga ciri AI Homework Solver, Image-to-Document Conversion, AI Image Generation, AI Screen Recognition serta AI Translation, yang menyediakan terjemahan masa nyata sama ada melalui teks dalam bingkai kamera, dokumen, serta perbualan dalam aplikasi seperti WhatsApp dan Instagram.

Tambahan pula, tablet ini juga menyokong sambungan berbilang peranti, membolehkan ia diselarikan dengan telefon pintar atau komputer riba untuk pindahan fail serta-merta dan kolaborasi merentas skrin. ia juga menyokong Bluetooth 5.2, WiFi 5 dan ada jek audio 3.5mm.
Kapasiti bateri masih kekal pada 7,000mAh dan ia menyokong pengecasan 10W melalui USB-C. Untuk menangkap gambar, kamera belakang 8MP dan kamera depan 5MP masih disertakan pada tablet. Dengan berat 489g, badan tablet turut diiktiraf kalis percikan air dan debu IP52.
XPAD 20 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu hijau, kelabu dan ungu. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman produk Infinix XPAD 20.