Infinix Malaysia telah mengumumkan telefon pintar terbaru dalam barisan Hot, iaitu Hot 60 5G dan Hot 60i untuk pasaran tempatan. Masing-masing adalah pengganti kepada Hot 50 5G dan Hot 50i tahun lepas dan membawakan peningkatan prestasi, kapasiti bateri serta butang fizikal baru dipanggil Advanced One-Tap.
Harga Infinix Hot 60 5G dan Hot 60i

Terdapat satu varian yang ditawarkan bagi setiap Hot 60 5G dan Hot 60i, dan berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- Infinix Hot 60 5G (8GB + 256GB) – RM599
- Infinix Hot 60i (8GB + 256GB) – RM499
Sebagai perbandingan, harga Hot 60 5G tidak berubah dari model sebelumnya, tetapi Hot 60i kini meningkat sedikit, RM30.
Kalau berminat, anda boleh dapatkan Hot 60 5G dan Hot 60i mulai hari ini, 10 Julai 2025 di kedai jenama Infinix, pengedar sah Infinix, serta stor dalam talian Inifinix di melalui pautan di bawah:
Infinix Hot 60 5G – Shopee, Lazada, TikTok Shop
Infinix Hot 60i – Shopee, Lazada, TikTok Shop
Tiada promosi pembelian awal yang disediakan untuk pelancaran kali ini. Tetapi, anda boleh dapatkan Hot 60 5G secara percuma apabila mendaftar untuk pelan pascabayar UNI5G 69 Unifi Mobile, yang berharga RM69/bulan. Ketahui lebih lanjut atau anda boleh dapatkannya di sini.
Spesifikasi Infinix Hot 60 5G

Rekaan Infinix Hot 60 5G tidak berubah berbanding model sebelumnya. Ia masih ada bentuk modul kamera petak dengan badan berketebalan 7.8mm. Tapi, kini didatangkan dalam pilihan warna baru, hitam, biru, hijau, dan warna perang yang menampilkan kemasan kulit tiruan dengan haruman lembut.
Skrinnya masih rata bersaiz 6.7, jenis LCD dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 700 nits. Telefon ini juga diiktiraf kalis air IP64, serta menyokong WiFi 5, 5G, Bluetooth 5.4 dan juga NFC.

Prestasinya digerakkan oleh cip MediaTek Dimensity 7060 5G 6nm, bersama RAM 12GB dan storan dalaman 256GB. Untuk gaming, telefon ini turut dilengkapi Enhanced Esports Pro Engine, membolehkan Hot 60 5G menjalankan permainan seperti Free Fire pada kadar bingkai 90FPS.

Bateri yang dimuatkan di dalam telefon berkapasiti 5,200mAh, 200mAh lagi besar tapi menyokong pengecasan sama 18W USB-C. Hanya ada satu kamera dibelakang, iaitu kamera utama 50MP, manakala di depan terdapat kamera selfie 8MP yang ditempatkan dalam lubang di dahi skrin.
Khas untuk model Hot 60 5G, ia turut didatangkan dengan AI Vouge Portraits yang membolehkan anda tambah kesan khas menggunakan AI pada imej untuk hasil yang lebih bergaya. Bukan setakat itu, ia juga lengkap dengan fungsi seakan Circle to Search, dipanggil Circle It dan Search It, membolehkan anda mencari maklumat dengan hanya bulatkan kandungan pada skrin.

Selain daripada itu, terdapat juga beberapa ciri AI lain yang disertakan pada siri Hot 60 terbaru. Ini termasuk ciri AI Sketch to Image dan AI Text to Image untuk penjanaan imej AI melalui lakaran atau arahan teks, AI Writing untuk bantuan penulisan serta AI Summary yang bantu ringkaskan panggilan, rakaman suara, dokumen ke dalam bentuk poin.
Kedua-dua model turut datang dengan butang fizikal Adaptive One-Tap AI Button di bahagian kanan telefon. Tekan sekali akan mengaktifkan pembantu maya Folax, manakala tekan dua kali boleh disesuaikan untuk melancarkan aplikasi pilihan anda untuk akses yang lebih pantas.
Spesifikasi Infinix Hot 60i

Model Hot 60i turut mengekalkan rekaan yang serupa, dengan badan sedikit lagi nipis pada 7.7mm. Ia ditawarkan dalam warna hitam, perak, merah, biru dan ungu. Skrinnya sama seperti Hot 60 5G, iaitu bersaiz 6.7″ jenis LCD dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 700nits.


Disebabkan ia hanya menyokong 4G, Hot 60i dikuasakan cip MediaTek Helio G81 Ultimate. Ia dipadankan bersama RAM 8GB dan storan 256GB. Bateri yang dibekalkan sedikit lebih kecil dari model 5G iaitu 5,160mAh, tapi menariknya ia menyokong pengecasan jauh lebih pantas 45W melalui USB-C.

Hot 60i turut diiktiraf kalis percikan air dan debu IP64, serta menyokong WiFi 5 dan NFC. Namun, selain 4G, ia juga hanya gunakan sambungan Bluetooth 5.3.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Infinix Hot 60 5G dan Hot 60i.