Selepas merasmikan Swift Edge 14 AI di Computex 2025 pada hujung Mei, Acer kini melancarkan Swift Edge 14 AI secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Pelancaran ini diadakan bersempena Acer Day 2025, acara tahunan yang turut menawarkan pelbagai promosi dan diskaun menarik. Dalam majlis yang sama, Acer turut memperkenalkan beberapa produk lain, termasuk projektor mudah alih terbaharu mereka, Aopen QF23s.
Harga dan ketersediaan

Acer Swift Edge 14 tersedia didapatkan di Kedai Konsep Acer di seluruh Malaysia pada harga RM7,999. Sebagai promosi pelancarannya, pembelian dari 23 Julai hingga 6 Ogos turut akan disertakan dengan hadiah berjumlah RM449, termasuk tetikus wayarles Acer Hyperscrolling bernilai RM249 dan kredit Touch n’ Go eWallet bernilai RM200.

Sementara itu, harga jualan rasmi projektor AOPEN QF23s pula adalah RM649, tetapi ia boleh didapatkan lebih murah RM559 sempena promosi pelancarannya dari 24 Julai hingga 30 September 2025. Pembelian boleh dilakukan menerusi Lazada, Shopee serta kedai fizikal Acer dan penjual rasmi Acer di seluruh negara,
Spesifikasi Acer Swift Edge 14 AI


Swift Edge 14 AI menampilkan reka bentuk ultra ringan dengan berat hanya 0.99 kg. Ia menggunakan casis ultra nipis diperbuat daripada aloi magnesium-aluminium, yang bukan sahaja lebih ringan berbanding aluminium biasa tetapi juga lebih tahan lasak. Binaan laptop ini juga mematuhi piawaian ketahanan Military Grade MIL-STD 810H, bermakna ia cukup lasak untuk digunakan di pelbagai situasi harian.

Skrinnya menggunakan panel OLED bersaiz 14-inci dengan resolusi 3K, yang turut menyokong cakupan 100% warna gamut DCI-P3 dan VESA DisplayHDR TrueBlack 500 memberikan visual yang tajam dan warna yang tepat. Ia juga laptop pertama Acer yang menggunakan kaca Corning Gorilla Matte Pro pada permukaan skrin, iaitu lapisan khas yang mengurangkan pantulan skrin sehingga 95% sambil meningkatkan keterlihatan skrin di luar.

Atas papan utama, Swift Edge 14 AI diperkasa cip pemproses Intel Core Ultra 9 288V dengan GPU Intel Arc terbina dan NPU berkemampuan memproses AI sehingga 48 TOPS. Laptop ini turut dipadankan dengan RAM LPDDR5X sehingga 32GB dan storan PCIe Gen 4 SSD sehingga 1TB. Hayat bateri pula dijanjikan menawarkan masa penggunaan sehingga 21 jam, menggunakan bateri 65Whr di dalam.

Selain itu, pad sesentuh laptop ini dilengkapi dengan “AI Activity Indicator”, iaitu lampu khas yang menyala apabila ciri AI seperti NPU atau Copilot sedang beroperasi. Ciri ini memudahkan pengguna mengetahui secara langsung apabila fungsi AI aktif di belakang tabir. Sementara itu, papan kekuncinya menggunakan kemasan lembut dengan salutan UV khas yang tahan calar dan kotoran.



Dari segi sambungan, laptop ini menyokong satu HDMI 2.1, dua port USB-C yang menyokong Thunderbolt 4, serta sokongan untuk Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.4. Turut disertakan adalah kamera webcam IR 1080p yang menyokong pengecaman wajah melalui Windows Hello.
Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman produk Acer Swift Edge 14.
Spesifikasi projektor AOPEN QF23s

Beralih kepada AOPEN QF23s, ia adalah projektor mudah alih yang kecil, comel dan praktikal. Ia hadir dengan pemegang 2-dalam-1 yang boleh ditukar menjadi kaki sokongan untuk tayangan dari pelbagai sudut. Anda juga boleh pilih antara dua warna menarik kuning atau kelabu.

Dari segi output tayangan, QF23s mampu menayangkan video pada resolusi Full HD, dengan tahap kecerahan 250 ANSI lumens. Ia menggunakan lampu LED 6,500 lumens dan turut menyokong fokus automatik, jadi anda tak perlu laras fokus secara manual setiap kali ubah posisi projektor.


Untuk pengalaman tontonan yang lebih imersif, projektor ini dilengkapi dengan pembesar suara terbina. Ini bermakna anda juga boleh gunakannya sebagai pembesar suara Bluetooth, sesuai untuk dengar lagu bila tidak digunakan sebagai projektor.
Dari segi sambungan pula, QF23s dilengkapi dengan port HDMI, USB-A, jek audio 3.5mm, dan port IR. Ia turut disertakan dengan alat kawalan jauh untuk kemudahan mengawal projektor.
Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman produk AOPEN QF23s.