Selain melancarkan laptop Swift Edge 14, bersempena dengan sambutan Acer Day 2025 yang bakal tiba, Acer Malaysia turut melancarkan barisan monitor terbaharu mereka. Antara yang diperkenalkan hari ini termasuk Predator X27U X2, monitor mampu milik Acer EK1, serta paparan mudah alih PM161QT.
Harga dan promosi

Jika berminat, ketiga-tiga monitor Predator X27U X2, Acer PM161QT dan Acer EK1 tersedia didapatkan di Malaysia sekarang. Berikut adalah harga jualan bagi monitor Predator X27U X2 dan Acer PM161QT:
- Predator X27U X2 – RM1,999
- Acer PM161QT – RM499

Sempena Acer Day, mereka yang mendapatkan monitor Predator X27U X2 sebelum 30 September 2025 juga berpeluang memenangi hadiah mingguan dan hadiah utama merangkumi sepasang tiket ke Jepun untuk menghadiri pusingan akhir VCT Pacific Stage 2. Manakala, Acer PM161QT ditawarkan pada harga promosi RM459 dari 24 Julai hingga 30 September.

Monitor siri EK1 pula tersedia dalam tiga varian dengan berlainan saiz, dan berikut adalah harga jualannya:
- EK241YP6 (paparan 23.8″) – RM359
- EK251QP6 (paparan 24.5″) – RM379
- EK271P6 (paparan 27″) – RM429
Jika anda membeli monitor siri EK1 ini dari 25 Julai hingga 9 September 2025, anda juga layak untuk menebus tetikus Acer bernilai RM69 secara percuma.
Spesifikasi Predator X27U X2

Predator X27U X2 merupakan model terkini dalam barisan monitor OLED Predator bersaiz 27″, dan kali ini hadir dengan harga yang lebih mampu milik. Ia menggunakan panel OLED Quantum Dot beresolusi WQHD (2560×1440), dengan cakupan warna 99% DCI-P3 untuk paparan warna yang terang dan visual yang tajam.
Untuk keperluan gaming, Predator X27U X2 menyokong kadar segar semula 240Hz, masa tindak balas sepantas 0.03ms, serta dilengkapi AMD FreeSync Premium Pro dan NVIDIA G-Sync bagi memastikan pengalaman permainan yang lancar tanpa sebarang kesan koyakan skrin.


Monitor ini juga dilengkapi teknologi Acer VisionCare™ dan BlueLightShield Pro untuk membantu mengurangkan keletihan mata ketika sesi permainan yang panjang. Selain itu, Acer turut menyertakan beberapa ciri perlindungan OLED terbina bagi mengurangkan risiko burn-in, iaitu masalah yang berlaku apabila elemen visual statik terpapar terlalu lama pada skrin.

Dari segi sambungan, monitor ini menyokong HDMI 2.1 dan DisplayPort, manakala rekaan ErgoStand membolehkan pelarasan tinggi, sudut condong dan pusingan skrin mengikut keselesaan pengguna.
Spesifikasi Acer EK1

Kemudian kita ada monitor siri Acer EK1, barisan monitor mesra bajet yang menawarkan kadar segar semula tinggi 144Hz, sesuatu yang jarang ditemui dalam julat harga ini. Ia hadir dalam tiga pilihan saiz iaitu 23.8″, 24.5″ dan 27″, semuanya menggunakan panel IPS dengan resolusi Full HD (1920×1080), masa respons sepantas 1ms dan sokongan AMD FreeSync.

Monitor ini juga menggunakan bingkai nipis ZeroFrame, dan turut dilengkapi dengan teknologi Acer VisionCare untuk keselesaan mata, kaki ergonomik bagi pelarasan sudut pandangan yang lebih selesa, dan pembesar suara terbina. Untuk sambungan, ia menyediakan satu port HDMI 1.4, satu port VGA, dan jek audio 3.5mm.
Spesifikasi Acer PM161QT

Akhir sekali adalah Acer PM161QT, sebuah paparan mudah alih 15.6″ yang menggunakan panel IPS dengan resolusi Full HD (1920×1080), kecerahan 220 nits dan masa respons 6ms. Ia turut menyokong 10 titik sentuhan, dilengkapi lapisan anti-silau dan anti-cap jari, serta hadir dengan teknologi Acer VisionCare™ untuk pengalaman visual yang lebih selesa.



Paparan mudah alih ini turut mempunyai pembesar suara terbina, dan tiga port USB-C yangt menyokong input paparan dan Power Delivery (PD), satu port mini HDMI dan jek audio 3.5mm.
Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman produk Predator X27U X2, Acer EK1 dan Acer PM161QT.