Pada Jun lalu, Apple telah mengumumkan barisan sistem operasi terbaru mereka, termasuk iOS 26 semasa persidangan WWDC 2025. Sistem iOS terbaru ini hadir dengan pelbagai pembaharuan merangkumi antaramuka yang lebih segar, serta pengalaman penggunaan yang lebih pintar dan intuitif.
Versi rasmi iOS 26 dijangka akan tiba sekitar September nanti, berkemungkinan seiring dengan pelancaran iPhone 17 akan datang. Tetapi jika anda berminat untuk mencuba iOS 26 sekarang, anda kini boleh berbuat demikian kerana versi beta awam iOS 26 telah pun tersedia untuk orang ramai.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa iOS 26 Beta masih merupakan versi ujian, jadi ia mungkin mempunyai banyak pepijat dan memberikan pengalaman yang kurang lancar. Justeru, anda dinasihatkan untuk membuat salinan penuh iPhone terlebih dahulu sebelum meneruskan dengan pemasangan.
Sebelum itu, anda perlu juga memastikan iPhone anda menyokong iOS 26. Antara iPhone yang tidak lagi disokong iOS 26 adalah iPhone XS, XS Max dan iPhone XR. Secara asasnya, ia disokong untuk model iPhone yang dilancar tahun 2020 dan ke atas, menjadikan iPhone SE generasi kedua, iPhone 11, iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max model paling lama yang menyokongnya.
Cara memasang iOS 26 Beta


Untuk memasang iOS 26, anda perlu mendafar program Beta Apple melalui laman web Apple Beta Software Program. Tekan sahaja ‘Sign up’ dan log masuk menggunakan akaun Apple ID anda. Seterusnya, pergi ke Settings > General > Software Update > Beta Updates, dan pilih iOS 26 Public Beta. Tekan Back untuk patah balik ke halaman Software Update dan tekan “Update Now” untuk mulakan pemasangan.
Selain memastikan iPhone anda tersenarai sebagai model yang disokong, anda juga perlu menyediakan ruang storan tambahan, kerana pemasangan iOS 26 Beta memerlukan sekitar 9-10GB.
Antara ciri baru pada iOS 26

Antara perubahan ketara yang dibawakan iOS 26 ialah rekaan UI serba baharu yang dikenali sebagai Liquid Glass, diinspirasikan daripada visionOS. Walaupun masih mengekalkan identiti visual iOS yang biasa kita kenali, rekaan kali ini tampil dengan elemen lutsinar pada keseluruhan UI, termasuk pada ikon aplikasi, widget dan notifikasi.

Aplikasi Camera turut menerima penambahbaikan dengan antaramuka yang lebih ringkas dan mudah digunakan. Dalam aplikasi Photos pula, bahagian Library dan Collections kini diasingkan bagi menawarkan pengalaman menyemak gambar yang lebih teratur dan intuitif.

iOS 26 juga memperluas keupayaan Apple Intelligence dengan lebih banyak ciri pintar. Ini termasuk:
- Genmoji & Image Playground: Membolehkan pengguna mencipta emoji dan imej tersuai hanya dengan gabungan teks dan deskripsi.
- Live Translation: Menterjemah teks dan audio secara langsung dalam aplikasi seperti Messages, FaceTime dan Phone.
- Visual Intelligence: Mengenal pasti kandungan yang dipaparkan di skrin, seperti teks, objek atau lokasi.

Lebih menarik lagi, Apple turut memperkenalkan Call Screening untuk tapis panggilan daripada nombor tak dikenali, serta Hold Assist yang boleh tunggu bagi pihak anda semasa ‘on hold’ dan beri notifikasi apabila orang dalam talian kembali bercakap.