Rakyat Malaysia kini disarankan untuk mendaftar MyDigital ID secepat mungkin bagi memastikan akses yang lancar kepada dua platform utama kerajaan, iaitu MyJPJ dan MyBayar PDRM. Bagi yang tidak tahu, MyDigital ID adalah sistem pengenalan diri yang menyediakan kaedah log masuk tunggal untuk pengesahan ideniti secara dalam talian, yang diumumkan pada April tahun lalu.
Tarikh sebenar penguatkuasaan log masuk wajib menggunakan MyDigital ID masih belum diumumkan. Namun, pihak MyDigital ID menegaskan bahawa kaedah log masuk tunggal ini akan dilaksanakan sepenuhnya dalam masa terdekat. Ketika ini, pengguna masih boleh memilih untuk log masuk menggunakan ID dan kata laluan sedia ada selain MyDigital ID.
MyJPJ dan MyBayar PDRM akan menggunakan kaedah log masuk tunggal melalui MyDigital ID

Melalui aplikasi MyJPJ, pengguna boleh menyemak dan memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) serta Lesen Kenderaan Motor (LKM), semakan mata demerit, semakan status senarai hitam, saman, pembayaran saman dan menghantar aduan. Manakala, MyBayar PDRM pula digunakan untuk menyemak dan membayar saman trafik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam pada itu, untuk pengguna warganegara asing yang menggunakan MyBayar PDRM, pihak MyDigital ID menyatakan mereka boleh terus log masuk menggunakan kaedah log masuk sedia ada.
Sebelum ini, MyDigital ID sepatutnya diwajibkan untuk aplikasi MyJPJ pada hujung tahun lalu, namun rancangan itu ditangguhkan selepas menerima aduan orang ramai.
Menurut Nik Hisham Nik Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID berkata, ” Penggunaan MyDigital IS sebagai log masuk tunggal menjanjikan satu era baharu pengesahan identiti digital yang lebih mudah, selamat dan telus. Kami komited untuk memastikan setiap pengguna mendapat kemudahan maksimum dengan tahap keselamatan yang tinggi, sekali gus mempercepatkan transformasi digital negara secara inklusif dan berdaya tahan”.
MyDigital ID mengesahkan identiti pengguna secara tepat dan telus melalui pangkalan data Kerajaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tanpa menyimpan sebarang data peribadi pengguna. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan transaksi digital, malah memastikan pengalaman pengguna yang lebih mudah, lancar dan dipercayai, tanpa perlu mengingati pelbagai kata laluan.
MyDigital ID kini sokong pengesahan biometrik

Bagi memudahkan proses log masuk, MyDigital ID juga memperkenalkan ciri pengesahan biometrik, membolehkan pengguna log masuk dengan lebih pantas dan selamat dengan menggunakan cap jari atau pengecaman wajah seperti Face ID di telefon pintar, tanpa perlu kata laluan.
Untuk menggunakan fungsi ini, pengguna perlu mengemas kini aplikasi MyDigital ID ke versi terbaharu dan aktifkannya di tetapan di aplikasi MyDigital ID. Kata laluan akan diperlukan untuk mengaktifkannya.
Setakat ini, MyDigital ID telah mencatatkan lebih 3 juta pengguna berdaftar dan digunakan di lebih 45 platform kerajaan dan swasta. Namun, kadar penggunaannya masih rendah dan kerajaan dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah undang-undang baharu untuk mewajibkan rakyat Malaysia mendaftar MyDigital ID.
Cara daftar MyDigital ID
Untuk mendaftar MyDigital ID, terdapat dua cara sama ada melalui aplikasi atau pergi ke kiosk berdekatan. Aplikasi MyDigital boleh dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
Selepas memuat turun aplikasi, anda boleh terus mdaftar menggunakan telefon pintar dan ikuti arahan yang diberikan. Prosesnya melibatkan pengesahan alamat e-mel dan juga eKYC (Electronic Know Your Customer). Anda juga perlu menetapkan kata laluan untuk memastikan akaun MyDigital ID anda kekal selamat.
Sekiranya tidak mahu daftar melalui telefon pintar, anda boleh aktifkan akaun di kiosk MyDigital ID. Buat masa ini, kiosk ditempatkan di cawangan Tealive, pusat NADI dan Sentuhan Madani. Senarai lokasi kiosk terdekat boleh disemak melalui portal rasmi MyDigital.

Jika menggunakan kiosk, prosesnya lebih mudah. Anda hanya perlu masukkan MyKad, ikuti arahan di skrin dan sahkan identiti dengan cap jari. Selepas berjaya disahkan, anda hanya perlu imbas kod QR dan isi kata laluan.
Perlu diingatkan, sijil digital ini sah untuk tempoh setahun dan pengguna akan diberi peringatan untuk memperbaharuinya dalam masa 90 hari sebelum tamat tempoh.