Sebelum pelancaran rasmi untuk orang ramai, Ryt Bank kini memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasi perbankan digital mereka iaitu Ryt PayLater. Seperti namanya, ia adalah kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian atau singkatannya BNPL, yang membolehkan anda berbelanja dengan kredit, kemudian bayar balik sama ada penuh bulan depan atau secara ansuran sehingga 12 bulan.
Buat masa ini, Ryt Bank menawarkan had kredit sehingga RM1,499 dan pelanggan layak boleh aktifkan Ryt PayLater serta-merta tanpa perlu sebarang dokumen.
Ryt PayLater tawar kredit sehingga RM1,499, faedah 0 %untuk 1 bulan

Untuk aktifkan Ryt PayLater, anda hanya perlu tekan ikon Ryt PayLater di skrin utama aplikasi. Berdasarkan kelayakan anda, ia menawarkan had kredit sehingga RM1,499 yang boleh diaktifkan serta-merta tanpa sebarang dokumen tambahan.
Sama seperti Shopee PayLater ketika ini, Ryt Bank kenakan kadar faedah 0% untuk bulan pertama. Jadi kalau anda bayar penuh pada atau sebelum tarikh akhir, tiada faedah atau caj tambahan akan dikenakan untuk penggunaan Ryt PayLater.
Kalau anda mahu lanjutkan tempoh bayaran, anda boleh pilih ansuran 3, 6, 9 atau 12 bulan, tetapi pilihan ini hanya muncul empat hari sebelum tarikh akhir bulan pertama.
Ryt PayLater mengenakan kadar faedah 8.87% setahun

Namun, sekiranya anda gagal membayar tepat pada waktunya, Ryt Bank akan automatik tukarkan bayaran tersebut kepada ansuran 3 bulan. Menurut helaian pendedahan produk, memang tiada caj lewat atau penalti, tetapi anda akan dikenakan kadar faedah 8.87% setahun (kadar faedah efektif: 26.80% setahun).
Berdasarkan contoh yang diberi, kalau anda gunakan RM1,499 dengan Ryt PayLater, bayaran ansuran bulanan adalah RM510.74 selama 3 bulan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar adalah RM1,532.23.
Ini kadar faedah efektif (EIR) Ryt PayLater seperti yang disenaraikan pada halaman mereka:
- 1 bulan – 0.00%
- 3 bulan – 26.80%
- 6 bulan – 30.23%
- 9 bulan – 31.32%
- 12 bulan – 31.72%
Kalau anda gagal penuhi bayaran balik, talian kredit anda akan digantung sehingga semua tunggakan diselesaikan. Walaupun tiada caj lewat dikenakan, nama anda akan dilaporkan kepada CCRIS dan Ryt Bank berhak untuk tolak baki kredit dalam akaun simpanan atau semasa anda untuk bayar baki tertunggak di Ryt PayLater.
Ryt PayLater boleh digunakan untuk pembayaran DuitNow QR

Buat masa ini, Ryt PayLater hanya boleh digunakan untuk transaksi DuitNow QR. Maksudnya, ia terhad kepada bayaran QR di kedai sahaja dan tak boleh digunakan untuk pindahan duit sesama individu (P2P) atau pindahan terus ke akaun. Kaedah bayaran lain seperti Ryt Card dan transaksi atas talian masih dalam perancangan akan datang.
Selepas anda aktifkan kemudahan BNPL ini, Ryt PayLater akan jadi akaun default untuk semua bayaran QR. Kalau tak nak guna PayLater, anda boleh tukar secara manual kepada akaun simpanan Ryt masa buat bayaran, atau terus matikan pilihan PayLater sebagai default dalam tetapan.
Berbeza dengan bank digital lain macam GXBank dan Aeon Bank yang tawarkan pembiayaan kepada pengguna, Ryt PayLater adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang menyediakan BNPL dan pilihan 0% faedah untuk 1 bulan.
Dengan cara ini, pengguna Ryt Bank boleh maksimumkan pulangan simpanan mereka dalam Save Pockets (faedah 4% p.a.), sambil berbelanja menggunakan kredit BNPL, asalkan bayar penuh bulan berikutnya.
Namun seperti biasa, kemudahan BNPL ada risikonya, pastikan anda guna dengan berhemah dan hanya berbelanja mengikut kemampuan.
Untuk info lanjut, boleh layari laman rasmi Ryt PayLater.