Samsung baru sahaja melancarkan peranti terbaru mereka untuk pasaran Malaysia, Galaxy S25 FE dan siri Galaxy Tab S11. Sempena pelancaran itu, Samsung Malaysia juga tidak melepaskan peluang untuk menyediakan promosi menarik dengan diskaun sehingga RM250 untuk kedua-dua peranti ini sebaik sahaja ia tersedia di Malaysia mulai 19 September.
Untuk menikmati diskaun ini, anda perlu beli baucar Samsung Reservation+ secara dalam talian terlebih dahulu yang berharga RM50. Baucar ini boleh digunakan untuk pembelian Galaxy S25 FE ataupun siri Galaxy Tab S11, bermula dari 19 September hingga 19 Oktober 2025.

Menurut Samsung Malaysia, menariknya, anda boleh beli lebih daripada satu baucar. Namun hanya satu baucar boleh digunakan bagi setiap transaksi. Sekiranya anda bercadang untuk dapatkannya, baucar ini sudah pun boleh dibeli pengguna Malaysia bermula sekarang sehingga 22 September 2025.
Dengan baucar RM50 ini, harga yang perlu dibayar hanya RM2,849 untuk Galaxy S25 FE dengan storan 256GB atau RM3,649 untuk Galaxy Tab S11 dengan storan 256GB WiFi pada 19 September 2025.
Samsung Galaxy S25 FE

Sekiranya anda terlepas, Samsung Galaxy S25 FE adalah varian mampu milik dalam siri Galaxy S25. Ia mengekalkan skrin AMOLED 6.7″ beresolusi Full HD+ dengan kadar segar semula 120Hz dan dipacu oleh cip Exynos 2400, sama seperti Galaxy Z Flip 7 FE.
Walaupun mengekalkan tetapan tiga kamera seperti model sebelumnya iaitu kamera utama 50MP, ultra-lebar 12MP dan telefoto 8MP dengan zum optikal 3x, kamera swafoto telah dinaik taraf daripada 10MP ke 12MP.

Bateri juga telah dipertingkat daripada 4,700mAh ke 4,900mAh. Pengecasan kini lebih pantas dengan sokongan 45W pengecasan berwayar USB-C, membolehkan telefon dicas sehingga 65% dalam hanya 30 minit.
Walaupun bateri lebih besar, Galaxy S25 FE tetap lebih nipis berukuran 7.4mm dan lebih ringan 190g berbanding Galaxy S24 FE. Ia ditawarkan dalam empat warna, biru gelap, biru cair, hitam dan putih.
Harga rasmi Galaxy S25 FE di Malaysia:
- 8GB + 512GB – RM3,699
- 8GB + 256GB – RM3,099
Samsung Galaxy Tab S11

Sementara itu, Galaxy Tab S11 (11″) dan Tab S11 Ultra (14.6″) adalah tablet flagship terbaru Samsung. Kedua-duanya dilengkapi skrin Dynamic AMOLED 2X dengan kecerahan maksimum sehingga 1,600 nits dan dipacu oleh cip MediaTek Dimensity 9400+.
Galaxy Tab S11 Ultra merupakan tablet berskrin besar paling nipis Samsung setakat ini, hanya 5.1mm, dengan bezel lebih nipis 5.2mm. Takuk kamera di hadapan juga kini lebih kecil, menempatkan kamera swafoto 12MP tunggal.

Antara naik taraf lain termasuk S Pen yang direka semula berbentuk heksagon dan kini dicas secara magnetik di bahagian atas tablet. Penyambung pin Pogo juga telah dipindahkan dari tepi bawah ke belakang bawah tablet.
Selain mendapat ciri Galaxy AI terkini, siri Tab S11 turut menerima peningkatan Samsung DeX. Ia menyokong Extended Mode, membolehkan anda sambung secara wayarles ke monitor atau telefon sebagai paparan kedua, dan kini membolehkan sehingga empat ruang kerja tersuai.
Dari segi bateri, Tab S11 hadir dengan kapasiti 8,400mAh, manakala Tab S11 Ultra membawa 11,600mAh. Kedua-duanya menyokong pengecasan pantas 45W melalui USB-C.
Harga rasmi siri Tab S11 di Malaysia:
- Galaxy Tab S11 WIFI (12GB + 256GB) – RM3,899
- Galaxy Tab S11 5G (12GB + 256GB) – RM4,399
- Galaxy Tab S11 Ultra WIFI (12GB + 256GB) – RM5,999
- Galaxy Tab S11 Ultra WIFI (12GB + 512GB) – RM6,499
- Galaxy Tab S11 Ultra 5G (12GB + 256GB) – RM6,499
- Galaxy Tab S11 Ultra 5G (12GB + 512GB) – RM6,999